KABUL -  AFGANISTAN. Pelantikan Mullah Akhtar Mohammad Mansoor atau Mullah Mansoor sebagai pemimpin pejuang Taliban bagi menggantikan Mullah Omar mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin senior kumpulan itu.
Laporan yang dipetik agensi berita Turki Anadolu berkata, beberapa pemimpin Taliban dan komander tentera kecewa dengan keputusan berkenaan.
Mereka mahukan anak Mullah Omar iaitu Mullah Yaakub bagi menggantikan tempat bapanya.
Selain itu, mereka menuduh Mullah Mansoor disokong oleh kumpulan pro Pakistan.
Taliban mengumumkan pelantikan baharu pemimpin mereka dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman webnya, semalam.
Mullah Mansoor adalah bekas gabenor Kandahar semasa pemerintahan Taliban ke atas Afghanistan sebelum pencerobohan Amerika Syarikat pada 2001. - Press TV