Monday, August 31, 2015

Tiada lagi amaran

Ipoh: Penganjur dan peserta perhimpunan di beberapa lokasi di seluruh negara semalam dan kelmarin bakal berdepan dengan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada termasuk mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana ia perhimpunan haram.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada lagi amaran diberikan kepada penganjur dan peserta perhimpunan haram seperti sebelum ini dengan pendekatan terus mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, sama ada tindakan pencegahan atau selepas perhimpunan.
Menurutnya, pihak yang terbabit harus tahu apabila warta kerajaan ditandatangani, perhimpunan itu adalah haram mengikut Akta Perhimpunan Aman atau undang-undang lain.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, segala tindak-tanduk mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram dipantau pihak berkuasa dan tidak bermakna tiada tindakan ketika perhimpunan berlangsung bermakna mereka terlepas daripada undang-undang.
“Tidak semestinya tiada penangkapan dibuat sepanjang perhimpunan berlangsung bererti Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil tindakan pencegah an dan lepas tangan.
“Pihak PDRM boleh mengambil tindakan, biar pun selepas perhimpunan…kami memantau siapa tokoh di sebalik perhimpunan ini dan kami juga mengikuti setiap patah ucapan mereka…kami tahu tindakan yang dilakukan sebahagian daripada mereka,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Timur, di Bangunan UMNO Perak, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman.
Ahmad Zahid berkata, antara tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap penganjur dan peserta perhimpunan haram adalah mengikut Akta Perhimpunan Aman, Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Polis.
Menurutnya, sekiranya dikenakan tindakan kelak, pihak berkenaan jangan menyalahkan pihak berkuasa kerana mereka perlu terima akibat tindakan yang mereka sendiri lakukan.
“Saya bersetuju dengan Tan Sri IGP (Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar), yang mengatakan berani buat berani tanggung. Jangan menuduh pihak berkuasa terutama kerajaan berlaku zalim...kerana sebenarnya mereka yang menzalimi diri mereka sendiri,” katanya.
Ditanya sama ada mantan Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad akan dikenakan tindakan kerana turut hadir pada perhimpunan itu, beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana bekas PM hanya berada di kawasan perhimpunan itu selama enam minit.
“Dia ada di sana hanya enam minit...saya serahkan kepada polis, kuasa diberikan kepada polis, saya bukan IGP, saya keluarkan arah
an berdasarkan apa yang ditetapkan dalam akta dan undang-undang, saya serahkan sepenuhnya kepada mereka (polis) untuk mengambil tindakan atau apa apa tindakan,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, orang Melayu tidak seharusnya membiarkan diri mereka menjadi ‘kuda tunggangan’ DAP untuk tujuan politik.
“Kita sering dicabar kerana mereka (DAP) anggap kita lemah...jadi mereka akan cuba melaga-lagakan kita antara satu sama lain,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:19 AM


Anggota keselamatan mengawal Dataran Merdeka, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74102#sthash.xS3828oA.dpuf

No comments:

Post a Comment