Friday, November 13, 2015

Desak naikkan cukai gula




SEBAHAGIAN gula yang dijual di pasaran. – Gambar hiasan


BRUSSELS, Belgium – Sekumpulan pakar diabetes semalam menggesa para pemimpin dunia meningkatkan cukai gula bagi melawan obesiti sekali gus menyelamatkan nyawa dan mengurangkan bajet penjagaan kesihatan.
Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) berkata, mesyuarat ketua-ketua negara G20 yang akan berlangsung hujung minggu ini perlu menjadikan masalah duo iaitu obesiti dan diabetes sebagai agenda global bersama isu-isu utama geopolitikal dan kewangan.
Dengan satu kematian setiap enam saat, diabetes atau kencing manis kini merupakan pembunuh utama manusia berbanding gabungan antara HIV, batuk kering dan malaria.
IDF menjangkakan kebanyakan negara membelanjakan antara lima hingga 20 peratus untuk bajet penjagaan kesihatan bagi penyakit tersebut.
Diabetes Tahap 2 yang berkait rapat dengan obesiti dan gaya hidup tidak aktif mencakupi kira-kira 90 peratus kes dan meningkat dengan pantas terutamanya di negara-negara ekonomi membangun yang mana penduduknya beralih kepada diet Barat.
China kini mencatatkan rekod dengan jumlah pesakit diabetes paling tinggi di dunia.
Menurut Ketua Eksekutif IDF, Petra Wilson, penyakit diabetes bukan hanya meletakkan pesakit dalam risiko tetapi juga melibatkan ekonomi sesebuah negara.
"Jika kita bersetuju mengenakan cukai yang tinggi terhadap tembakau bagi membawa mesej bahawa merokok tidak baik untuk kesihatan, tiba masanya ia juga boleh diguna pakai untuk gula," katanya kepada Reuters.
Justeru, dia menggesa para pemimpin G20 yang akan mengadakan pertemuan di Turki pada 15 dan 16 November ini untuk bekerjasama melawan masalah obesiti dengan cara yang sama ketika mereka bertindak menangani krisis kewangan 2008.
Menjelang 2040, seorang daripada setiap 10 orang dewasa di dunia ini dijangka menjadi pesakit diabetes dengan peningkatan kes mencecah 642 juta berbanding 415 juta pada 2015, manakala perbelanjaan penjagaan kesihatan meningkat kepada AS$802 bilion (RM3.5 trilion) daripada AS$673 bilion (RM2.93 trilion).
Beberapa negara, termasuk Mexico, Chile dan Perancis telah bereksperimen terhadap cukai gula tetapi terdapat halangan politik yang besar selain tentangan daripada industri makanan.
– REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3rK3wxP3X 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment