Friday, January 15, 2016

Hasutan: Hishamuddin Rais dipenjara 9 bulan



HISHAMUDDIN hari ini dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei 2013. - Foto Khairull Azry Bidin
KUALA LUMPUR: Aktivis Hishamuddin Md Rais hari ini dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei 2013.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen pada 9 Januari 2015 dan memerintahkan Hishamuddin menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Syahredzan Johan yang mewakili Hishamuddin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di
Mahkamah Rayuan dengan jaminan RM6,000.
Dalam penghakimannya, Nordin berkata hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak setimpal dengan kesalahan selain tidak memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain yang melakukan kesalahan sama.
"Justeru itu, hukuman denda diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara sembilan bulan bermula hari ini manakala wang denda dikembalikan," katanya.
Terdahulu Nordin menolak rayuan Hishamuddin untuk mengetepikan sabitan selepas bersetuju dengan Mahkamah Sesyen bahawa maksud konteks ucapan tertuduh adalah untuk mengubah kerajaan.
Katanya, tertuduh ada hak untuk berucap tetapi ia tidak boleh dijadikan asas untuk melanggar undang-undang.
"Oleh itu, mahkamah berpendapat keputusan Mahkamah Sesyen terhadap sabitan tidak perlu diganggu dan rayuan terhadap sabitan ditolak," katanya.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya A.S Thangavelu dan Syahredzan.
Mengikut pertuduhan, Hishamuddin didakwa memberi ucapan menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara tidak sah.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment