SHAH ALAM - Kerajaan tidak boleh membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik berdasarkan keputusan undi ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun ahli Parlimen diberi peluang berbahas mengenainya, namun ia mungkin sekadar lakonan menunjukkan bahawa kerajaan masih sedia mendengar kebimbangan rakyat.
"Ahli-ahli Parlimen BN telah diberi arahan oleh pihak atasan untuk mengundi menyertai TPP.
"Kerajaan tidak boleh membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian TPP berdasarkan keputusan 134 ahli Parlimen BN yang sudah terbukti bakal bertindak seperti lembu dicucuk hidung," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dewan Rakyat dijangka membahas dan menjalankan proses mengundi mengenai Perjanjian TPP dalam sesi dua hari persidangan khas pada 26 dan 27 Januari ini.
Manakala Dewan Negara pula akan membahaskan dan mengundi isu sama pada 28 Januari ini.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga berkata perjanjian itu berisiko besar ketika negara berdepan dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit, pendapatan negara menurun akibat kejatuhan harga minyak dan skandal kewangan melibatkan pemimpin negara.
"Hak rakyat perlu dipelihara dan dipertahankan kerana keadaan kos sara hidup yang semakin menghimpit kualiti kehidupan mereka.
"Jangan kerana TPP menyebabkan hanya rakyat kaya sahaja mampu menikmati perubatan," ujarnya.
Tuan Ibrahim berkata, perjanjian TPP didakwa akan memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat asing untuk menembus pasaran negara-negara TPP.
"Malangnya negara kita tidak akan menikmati perkara ini malah ia membahayakan ekonomi syarikat tempatan.
"Nilai ringgit rendah menyukarkan syarikat kecil tempatan untuk menyaingi syarikat-syarikat asing yang mempunyai kemampuan besar, akhirnya, syarikat tempatan terpaksa gulung tikar," tegasnya.
Beliau mendakwa, perjanjian itu secara langsung akan meletakkan Malaysia di dalam blok Amerika dan sekutunya.
"Apakah Malaysia masih bebas bersuara tatkala Amerika dan sekutunya Israel menindas negara-negara Islam seperti Palestin tanpa sebarang risiko dikenakan sekatan ekonomi kerana TPP selepas ditandatangani nanti?" soalnya.
Sehubungan itu, Pas mencadangkan satu referendum rakyat perlu dibuat bagi kerajaan mendapatkan mandat sama ada menandatangani perjanjian atau sebaliknya.
"Dengan referendum ini, rakyat akan lebih jelas implikasi baik buruk keterlibatan negara dalam perjanjian TPP ini melalui siri penerangan dan penjelasan semua pihak," katanya lagi
.