Sunday, October 30, 2016

Orang asli Pos Bihai pula sekat pembalak


29 OKTOBER 2016
BALAK

BALAK Gambar hiasan
GUA MUSANG - Selepas sekatan ke atas lori mengangkut keluar balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah di Kampung Petei, Pos Bering di sini sejak 26 Sept lepas, lebih 600 Orang Asli dari enam kampung di Pos Bihai pula berbuat demikian hari ini.

Penduduk bertindak demikian bagi membantah aktiviti pembalakan selepas mendakwa kerajaan Kelantan membenarkan aktiviti itu dijalankan di kawasan kira-kira 150 hektar sejak beberapa minggu lepas.

Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (Jaringan) Kelantan, Mustafa a/l Along berkata, tempoh seminggu diberi kepada kerajaan negeri untuk mengadakan rundingan dengan Orang Asli berhubung perkara itu atau berdepan sekatan seperti yang dilakukan di Kampung Petei.

"Kami tak halang pembalakan dilakukan namun pada masa sama kerajaan negeri diharap tidak melaksanakan aktiviti tebangan habis," katanya ketika ditemui pemberita di sekatan itu di Kampung Sungai peralong, di sini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pelindung  Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, sekatan hari ini, kali keenam dilakukan penduduk Orang Asli setelah kehidupan mereka terjejas akibat aktiviti pembalakan di jajahan itu.

"Sebelum ini kita mengadakan dua sekatan di Pos Parik, satu di Pos Belau, satu di Pos Gob dan satu di Kampung Petei, dan ini merupakan kali keenam kita mengadakan sekatan pembalakan di jajahan ini.

"Empat daripada sekatan tersebut gagal manakala sekatan di Kampung Petei membuahkan hasil apabila dua syarikat telah menghentikan pembalakan di kawasan tersebut," katanya.

Pada 3 Oktober lepas, kerajaan negeri mengeluarkan arahan menangguhkan aktiviti pembalakan di HSK Balah selepas lebih 200 penduduk Orang Asli membuat sekatan menghalang laluan keluar masuk lori pengangkut  balak di Kampung Petei sejak 26 Sept.

Kumpulan itu menggesa semua aktiviti pembalakan di HKS Balah berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan dengan mendakwa ia merosakkan alam sekitar dan kepupusan hutan hingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Sementara itu, Shariffa Sabrina berkata masyarakat Orang Asli kini semakin berpelajaran dan tahu hak mereka dan menggesa perkara yang dibangkitkan dibawa ke meja rundingan. - Bernama

No comments:

Post a Comment