Tuesday, March 30, 2010

Sidang DUN Perak Seperti Perhimpunan Polis



Oleh Faizal Ezzany
IPOH 30 Mac - Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak ke duabelas bagi penggal ketiga hari ini yang sepatutnya berjalan dengan lancar telah dicemari dengan kehadiran pihak polis yang telah menguasai perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan dan juga Dewan Negeri.
Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam sidang medianya kesal dengan tindakan kasar yang telah dilakukan oleh Umno-Barisan Nasional.
"Saya ingin katakan bahawa seolah-olah kami baru balik dari perhimpunan Polis DiRaja Malaysia apabila kami melihat bilangan anggota polis melebihi Ahli Dewan Undangan Negeri.
"Hari ini kami melihat kedua-dua galeri awam dipenuhi oleh mereka yang tidak dikenali yang kemungkinan besar mereka adalah anggota polis. Kalau di luar kita lihat ramai anggota telah ditempatkan.
"Apabila masuk ke dalam perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan tadi kami telah dihalang oleh polis yang tidak membenarkan ADUN Pakatan Rakyat memasuki kawasan tersebut. Selain itu juga kami telah dihalang memasuki Dewan, lebih kurang 20 minit menunggu baru kami dibenarkan masuk. Kami kesal kerana pintu utama E hanya untuk BN sahaja manakala ADUN Pakatan perlu menggunakan laluan lain yang telah diletakkan mesin pengimbas.
"Tidak ada dalam sejarah di Malaysia ini ADUN dihalang untuk bergerak bebas, semua pergerakan dipantau, diambil gambar seolah-olah kami ini umpama penganas," jelas Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang.
Beliau juga menegaskan bantahan yang dikemukakan oleh ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham yang membantah kehadiran polis di dalam Dewan telah ditolak.
"Kami telah membantah dengan tindakkan kehadiran pihak polis yang ramai di dalam Dewan tetapi ditolak oleh Speaker haram. Nampaknya BN telah memperalatkan agensi kerajaan seperti polis untuk kepentingan mereka.
"Kita telah hadir ke Dewan yang mulia ini dengan  aman dan ini tujuan sebenar kita memanggil Menteri Besar haram itu hadir mesyuarat untuk berbincang tentang penjalanan persidangan kali ini agar lebih teratur. Niat kita bukannya nak buat kacau tetapi Umno-BN yang telah memulakan situasi tersebut dengan menggunakan polis untuk halang kami.
"Saya telah menerima satu SMS yang memberi amaran jika berlaku kekecohan kami akan ditangkap. Ini menunjukkan kami tidak berada dalam keadaan bebas. Tindakan Umno-BN ini telah mencemari Dewan yang mulia dan juga telah melanggar demokrasi di negeri Perak.
"Umno-BN jelas menggunakan apa jua yang ada demi kepentingan mereka dan mereka tidak kisah jika itu telah melanggar hak asasi perlembagaan," tegasnya lagi.
Speaker Dewan Negeri Perak V.Sivakumar juga kesal dengan tindakan Umno-BN menggunakan anggota polis untuk mengekang kebebasan media membuat liputan sidang DUN.
"Inilah kerja jahat Umno-BN mereka bukan sahaja menggunakan polis dari menghalang kami memasuki Dewan tetapi telah menghalang media memasuki Dewan dan ini jelas sikap mereka yang telah menghalang kebebasan media. Mereka sepatutnya membenarkan media masuk ke Dewan kerana titah ucapan Sultan sangat penting dan rakyat perlu tahu tetapi mereka menafikan hak media.
"Saya juga bersetuju bahawa Perak sekarang sudah manjadi negeri polis di bawah kepimpinan kerajaan BN yang haram," jelas Sivakumar.
Ngeh juga membidas sikap berat sebelah pihak polis menghalang ADUN Pakatan Rakyat daripada menghadiri sidang Dewan pada hari ini.
"Saya ingin tegaskan pihak polis tidak boleh menghalang ADUN memasuki Dewan kerana itu bukan hak dan bidang kuasa polis. Pada masa sekarang pihak polis menghalang kita dari memasuki Dewan mungkin satu masa pihak polis yang membuat arahan soalan apa yang boleh ditanya, tak mustahil tindakan  polis menghalang ADUN 
Pakatan memasuki Dewan jika BN ingin memdapat undi untuk sesuatu persetujuan, ini yang kita risau sekarang.
"Saya cabar Zambry esok jangan benarkan pihak polis memenuhi Dewan dan jika ini berlaku kita akan mengambil tindakan dan membuat laporan polis ke atas tindakan Zambry memperalat pihak polis untuk kepentingan mereka," tegas Ngeh.
Sidang DUN pada hari ini telah ditangguh sehingga pukul 10 pagi esok tanpa diberitahu berapa lama ia akan berlangsung. 
Permohonan Pakatan Rakyat agar sidang itu diadakan selama lima hari telah ditolak tanpa sebarang alasan.
Beberapa kekecohan telah berlaku sewaktu ADUN Pakatan Rakyat berjalan ke Wisma DAP yang mana penyokong Umno telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada ADUN Pakatan seperti "pergi berambus" serta "tidak sedar diri". 

Kroni Umno-BN Seleweng Wang Ihsan Punca Bangunan Runtuh




KUALA TERENGGANU 30 Mac - Pemberian wang ihsan antara faktor utama kejadian bangunan runtuh yang semakin menjadi di Terengganu kebelakangan ini disebabkan gejala rasuah berleluasa yang berlaku dengan penyalahgunaan wang tersebut.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Terengganu, Abdul Rahman Yusof berkata kejadian bangunan runtuh yang terjadi adalah akibat daripada penyelewengan spesifikasi dan ciri-ciri keselamatan yang diragui akibat amalan rasuah berhubung pengagihan wang ihsan kepada kroni Umno dan Barisan Nasional.
"Semua pembinaan di Terengganu yang dibuat sejak tahun 1999 melalui Jabatan Pembangunan Pusat yang mengunakan wang royalti yang dipanggil wang ihsan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional ini seharusnya disiasat.
"Kebanyakan projek pembangunan yang melalui JPP ini memerlukan siasatan terperinci kerana tidak melalui proses tender biasa dan diberikan kepada kroni-kroni Umno melalui  proses rundingan terus atau 'direct negotiation'.
"Bangunan  yang dibangunkan atas nama wang ihsan ini tidak mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan dan mengancam nyawa orang ramai," tegas beliau semasa dihubungi Suara Keadilan.
Kejadian terbaru petang semalam mengakibatkan seorang buruh warga Bangladesh maut, manakala empat lagi rakannya cedera apabila para besi bagi pembinaan bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh.
Sebelum ini, bumbung Sekolah Menengah Ajil,  bumbung stadium Sultan Mizan, bangunan stesen bas Kuala Berang  dan bumbung masjid Kampung Puteh di Kemaman juga dilaporkan runtuh.
Selain itu, kolam renang yang pernah digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Batu Burok pula dilaporkan bocor.
Dalam satu kenyataan hari ini Abdul Rahman juga berkata terlalu banyak kejadian keruntuhan dan kecacatan dalam pembangunan projek-projek di Terengganu yang mengancam keselamatan dan nyawa orang awam. 

"Antaranya, keruntuhan Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, keruntuhan kubah Masjid Kampung Puteh, keruntuhan Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai, keruntuhan Terminal Pengangkutan Awam Kuala 
Berang, kebocoran Pusat Akuatik Batu Burok, keretakan Pusat latihan Antarabangsa (ITC) yang menjadi fakulti Baru Kolej Universiti Institiut Teknikal Tinggi Terengganu (TATIUC), kebocoran siling Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Terengganu dan pelbagai lagi.

"Kejadian keruntuhan dan kecacatan ini berlaku bukan secara kebetulan tetapi akibat kecuaian di semua peringkat dari proses tender hingga kelulusan pembangunannya. Kejadian ini mengancam keselamatan dan nyawa orang awam. Projek prasarana ini akan digunakan ramai orang awam dan perlu penyelesaian segera sebelum lebih banyak nyawa akan terkorban," kata beliau.

Abdul Rahman  menyeru kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas bagi menyiasat semua pembangunan projek prasarana sejak 1999 kerana mutu dan spesifikasi pambangunannya menjadi 
tandatanya.

Khairy Bermatian Pertahan Apco Kerana Kawan Baik Omar Mustapha Ong?



Oleh Jamilah Kamarudin
KUALA LUMPUR 30 Mac - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap dakwaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang cuba menggaitkan beliau dengan pegawai tinggi Apco Worldwide sebagai satu usaha mengalihkan persoalan sebenar yang membabitkan keselamatan negara.
Sambil menyifatkan dakwaan Khairy sebagai sebagai tidak berasas, Anwar turut mempersoalkan tindakan Khairy yang cuba melarikan diri daripada berbincang perkara pokok berhubung Apco.
"Saya kenal Khairy, saya juga kenal Najib, saya kenal Muhyiddin, jadi isunya apa?
"Isunya sekarang Apco memainkan peranan dalam kerajaan Malaysia dan pimpinan kerajaan Malaysia. Soal saya hadir dalam persidangan dengan orang Israel sebanarnya ramai juga hadir dalam persidangan termasuk dengan tokoh ulama Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, begitu juga saya hadir dalam persidangan persatuan Hindu, Kristian dan sebagainya, itu bukan isu.
"Isunya sekarang Khairy cuba nak lari daripada isu penglibatan dia dan Omar Mustapha Ong  dengan syarikat Ethos yang boleh  menjejaskan keselamatan negara.
"Soal siapa kenal siapa tak penting kerana yang menjadi persoalan utamanya adalah menggunakan kepakaran Israel yang mendedahkan rahsia keselamatan dan strategi negara kepada bahaya. 
"Tiada negara yang berbuat demikian melainkan anda sangat terdesak," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi. 
Khairy dan Omar Mustapha Ong dikatakan mempunyai hubungan persahabatan yang rapat.
Anwar turut mempersoalkan tindakan Khairy yang selama ini bertanggungjawab menjadi wakil 'jurucakap' mempertahankan tindakan bagi pihak Apco di Parlimen.
"Kenapa Khairy bertanggungjawab menjawab kepada pihak Apco. Ini sangat meragukan. Anda merujuk kepada soal keselamatan negara dan Perdana Menteri yang sepatutnya jawab isu ini. Khairy bukan sebahagian daripada kerajaan, dia hanya Ketua Pemuda Umno. Saya minta kerajaan beri penjelasan bukan dia, kenapa dia beriya sangat nak pertahankan Apco?," katanya.
Beliau turut menyelar dakwaan fitnah Khairy yang mengatakan ini hanyalah cubaannya untuk mengalih pandangan rakyat kepada krisis parti KEADILAN yang kini dikatakan bermasalah. 
"Bukan saya yang minta dan mengarahkan untuk membuka isu ini. Saya diarah oleh Speaker. Jika saya tolak untuk jawab saya akan didakwa. Ini bukan nak alih pandangan, ini helah kerajaan nak tekan saya tapi saya bangkit dan kemukakan fakta mengenai perisikan tentera Israel dalam seluruh jentera kita disini. 
Mereka ingat saya tidak ada bahan tapi mereka silap besar," katanya," tegas Ketua Pembangkang itu.
Anwar juga menggesa supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara dan mampu mengeruhkan hubungan dengan negara Islam lain.
"Pemimpin Pakatan Rakyat yang lain mencapai kata sepakat agar usul menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan dan kita akan kemukakan usul itu kemudian," katanya.

Dr Setev Hanya Perlu Bayar Bon Sekuriti RM60,000



SHAH ALAM 30 Mac - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menurunkan jumlah bon sekuriti yang dikenakan ka atas ayah Altantuya Shaariibuu, Dr Setev Shaariibuu berhubung tindakan saman beliau terhadap kerajaan Malaysia dan mereka yang terbabit di dalam pembunuhan kejam anaknya pada tahun 2006.
Mahkamah membuat keputusan Dr Setev hanya perlu membayar RM60,000 setelah mendengar permohonan peguam Karpal Singh pagi tadi.
Hakim Zaleha Yusof bersetuju mengurangkan kuantum sekuriti bon kepada RM30,000 bagi pihak kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang sebelum ini masing-masing menuntut bon sebanyak RM1.25 juta.
Bagaimanapun dua anggota polis yang dijatuhkan hukuman mati, Azilah Hadri dan Sirul Azhar tidak mengemukakan syarat bon sekuriti.
Karpal berkata Dr Setev juga terpaksa mengeluarkan RM10,000 untuk menampung kos guaman tetapi satu tabung akan disediakan untuk mengutip derma daripada Ahli-ahli Parlimen bagi membantu beliau.
"Saya akan meminta bantuan rakan-rakan di Parlimen dan meminta sumbangan mereka untuk mengurangkan beban keluarga Dr Setev. Kita mungkin memerlukan masa tiga bulan untuk mendapatkan jumlah sebelum perbicaraan boleh bermula," kata Karpal.
Permohonan saman ayah Altantuya dijangka akan bermula sebaik sahaja selesai proses rayuan yang dikemukakan oleh Azilah dan Sirul.

Zambry, Ganesan Takut Jumpa Pakatan Rakyat




Oleh Norasikin Samsi
SHAH ALAM 29 Mac- Keputusan Menteri Besar 'Mahkamah' Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Speaker 'Haram', Datuk R. Ganesan tidak mahu bermesyuarat bersama Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat bagi membincangkan kelancaran dan kelicinan perjalanan sidang DUN esok dianggap sebagai tindakan pengecut dan bacul. 
Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim kedua-dua pemimpin Barisan Nasional itu gagal hadir pada mesyuarat di Dewan Bandaraya Ipoh pukul 9 pagi tadi. 
"Seperti hasrat yang dihantar melalui surat rasmi pada Jumaat lepas, hari ini kami berkumpul di Dewan Bandaraya Ipoh tepat pada waktunya dan kami menunggu kedatangan Zambry dan Ganesan bagi membincangkan kelancaran perjalanan sidang pada esok hari. Namun mereka tidak hadir malah kami juga tidak dapat tindak balas dari mereka," kata beliau kepada Suara Keadilan. 
Turut hadir pada mesyuarat itu termasuk Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Adun Sitiawan Datuk Ngeh Khoo Ham, Adun Pantai Remis Datuk Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran, Adun Tronoh merangkap Speaker Pakatan Rakyat V. Sivakumar, Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow dan Adun Bercham, Sum Cheok Leng.  
Menurut Drs Khalil lagi sehari sebelum sidang DUN diadakan terdapat tanda-tanda halangan jalan raya serta lain kekangan akan dijalankan oleh pihak berkuasa dengan menyalahguna jentera kerajaan. 
"Kita minta rakyat menilai dan kami datang hari ini untuk memastikan supaya persidangan menjadi lebih baik tanpa ada sekatan jalan, penggunaan jentera polis dan FRU (Polis Simpanan Persekutuan). 
"Inilah sikap penakut dan angkuh Zambry. Kalau sebelum ini beliau berkata mahu bekerjasama dengan rakyat maka sepatutnya dia datang untuk berbincang bersama kami," ujar beliau lagi. 

Kementerian Kesihatan diminta perjelas syarikat RM2



Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  menjelaskan kaedah perlantikan syarikat 'RM2'  sama ada menggunakan kaedah rundingan terus atau sebaliknya.
Ini ekoran cadangan kementerian mahu menswastakan semua makmal patologi di hospital-hospital awam tempatan pada Syarikat Akar Mulia Sendirian Berhad dipersoal.

Berdasarkan makluman rasmi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Salahuddin mendakwa syarikat tersebut didaftarkan dengan RM2 secara segera supaya boleh mendapatkan tender penswastaan daripada KKM.

Bercakap di lobi Parlimen petang tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian meminta kementerian menafikan dakwaan-dakwaannya itu.

Ini kerana, menurut beliau, syarikat tersebut telahpun menyertai satu mesyuarat rasmi di kementerian terbabit sendiri pada 17 Julai tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, kementerian sekali lagi mengadakan mesyuarat eksklusif rasmi bersama-sama syarikat tersebut pada 25 Mac lalu supaya langkah penswastaan itu direalisasikan.
Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa wujudnya amalan kronisme yang membabitkan individu tertentu dalam kementerian dan syarikat 'RM2' tersebut.
Selain itu, beliau turut mencabar pemilik syarikat tersebut mendedahkan profil syarikat serta rekod kemampuan syarikat dalam mengendalikan prasarana kesihatan, termasuk pengalaman menguruskan makmal patalogi tersebut.

Sekiranya kerajaan meneruskan niat menswastakan makmal-makmal patologi tersebut kepada syarikat misteri itu, beliau menganggap penswastaan tersebut sebagai malapetaka bagi kesihatan rakyat dan keselamatan tanah air.

Malaysia antara 10 tertinggi ambil arak di dunia



Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Biarpun mempunyai bilangan rakyat hampir 26 juta sahaja, namun Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi dalam pengambilan arak di dunia, kata Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud(gambar).
Mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat lewat petang ini, beliau berkata, rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.
"Penjualan beer berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun," dedahnya lagi sewaktu membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun semakin meningkat iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.
Antara faktor peningkatan itu, jelasnya kerana mungkin arak jenis beer sangat mudah diperolehi di kedai-kedai.
Lebih membimbangkan apabila pendedahan arak dibuat di peringkat umur yang lebih awal.
Beliau sewaktu mengemukakan satu kajian, 19 peratus di kalangan pelajar sekolah menengah mengaku pernah meminum arak, manakala 1 peratus mengaku mengambilnya secara berterusan.
"Dalam satu kajian yang dilakukan ke atas pesakit yang dimasukkan ke hospital KL pada tahun 1993, 48 peratus daripada yang ditanya mengaku minum arak.
"Satu pertiga ketagih arak, 61 peratus adalah Cina, 60 peratus India dan 30 peratus Melayu,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, kerajaan dilihat tidak memberi perhatian sewajarnya kepada isu ketagihan arak dan sering mengatakan ianya isu kaum India.
Arak juga jelasnya, dibuktikan bukan sahaja membahayakan kesihatan dan menyebabkan gejala sosial, namun kos rawatan penyakit disebabkan arak juga lebih tinggi berbanding pendapatan penjualannya.
"Negara kita dalam fasa lima mengaku bahawa Islama adalah agama Persekutuan, apakah menyebabkan dadah kita panggil najis dan sekiranya didapati mengedar dadah boleh dihukum gantung sampai mati.
"Tapi minuman keras, nikotin pada rokok, diberi layanan yang lain dan boleh didapati dengan berleluasa. Atas alasan apakah minuman keras tidak dimasukkan sekali dalam akta dadah merbahaya sedangkan kesannya atas kehidupan rakyat begitu meluas sekali," soalnya lagi.
Trend di Asia, katanya menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun berbanding trend di negara Eropah yang semakin menunjukkan penurunan akibat kempen mereka yang agresif.
Peningkatan di negara ini juga, jelasnya akibat undang-undang terlalu longgar seperti Akta Aksais Seksyen 32 (1)(a) dan (b) mengecualikan penjualan todi dan beer dalam tin dan botol.
"Apabila saya menang di Kota Raja, saya didatangi sekumpulan India dari golongan pertengahan dan rendah.
"Mereka meminta tolong saya supaya memastikan arak dan todi tidak dijual secara mudah di kedai-kedai runcit," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, arak dan todi di kedai-kedai runcit pada waktu ini boleh diperolehi dalam plastik dengan harga RM2 atau RM3.

Menteri mesti bertanggungjawab Pos Malaysia rugi RM546 juta



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 30 Mac: PAS mahu kerajaan mengkaji kegagalan urusniaga Pos Malaysia dan mahu Pengerusi Pos Malaysia, Pengerusi Khazanah Nasional dan Menteri Kewangan bertanggungjawab di atas kerugian berjumlah RM546 juta itu.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, Pos Malaysia sebagai GLC milik negara membelanjakan wang rakyat untuk urusniaganya seharusnya memberikan pulangan yang positif bukannya memberikan kerugian yang besar.
Sehubungan itu, katanya, PAS mengambil pandangan yang serius terhadap ucapan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong di parlimen berhubung pendedahan bekas ahli parlimen yang juga mantan Pengerusi Pos Malaysia & Services Holdings Bhd, Tan Sri Adam Kadir dalam majalah Malaysian Business bertajuk 'Is whistle-blowing really serious'.
Katanya, artikel berkenaan turut menyentuh secara langsung isu kehilangan wang rakyat berjumlah RM546 juta dalam pelaburan Pos Malaysia.
Tambahnya, tindakan Khazanah Nasional yang mempengaruhi Pos Malaysia untuk melambatkan penjualan sahamnya dalam syarikat pengendali kargo yang bermasalah, Transmile Group Bhd telah menyebabkan negara rugi bila mana sahamnya jatuh kepada harga 35 sen seunit dengan nilai keseluruhan hanya RM14 juta pada 26 Februari 2010.
Sebelum ini, Pos Malaysia boleh menjual saham itu pada harga tinggi iaitu RM14 dengan nilai keseluruhan adalah RM546 juta, namun percaturan yang dibuat jelas merugikan rakyat.
Pos Malaysia adalah pemegang saham kedua terbesar dalam Transmile Group Bhd selepas raja gula Malaysia, Robert Kuok (Kuok Brothers Sdn Bhd).
Pada tahun 2004, Pos Malaysia menjual 30 peratus kepentingan dalam Transmile Air Services Sdn Bhd iaitu anak syarikat Transmile Group Bhd sebelum membeli saham Transmile Group Bhd.
Walau bagaimana pun penjualan dan pembelian saham-saham itu ternyata tidak mendatangkan faedah bila mana Transmile Group Bhd selepas itu mengalami kemerosotan dan nilai sahamnya jatuh teruk selepas itu.
Tahun lepas sahaja, Pos Malaysia mengumumkan kerugiannya sebanyak RM113.20 juta, di mana RM107.19 juta adalah kerugian yang diterima dalam pelaburan di Transmile Group Bhd.
“Rakyat pasti bertanya, kenapa Pos Malaysia tidak mahu melabur dalam Malaysia Airlines Cargo Sdn Bhd (Mas Kargo) yang juga salah satu GLC milik negara yang lebih menguntungkan dalam operasi penghantaran kargonya?
“Adakah pelaburan sebelum ini ada kepentingan untuk membantu menyelamatkan syarikat Transmile Group Bhd yang turut dimiliki bersama dengan Robert Kuok?” tanya Idris.
Menurutnya, PAS hanya melihat kes itu sebenarnya mengulangi insiden kegagalan pengurusan GLC milik negara seperti Proton yang menjual sahamnya dalam MV Agusta dengan harga 1 Euro sahaja. 
Tambahnya, pendedahan mantan Pengerusi Pos Malaysia itu juga harus disiasat dan rakyat mahukan jawapan.

Arak di Malaysia semudah beli air minuman



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 30 Mac: Arak di Malaysia boleh diperolehi dengan mudah seumpama membeli air minuman yang lain sama ada di pasar raya, restoran, hotel, kedai runcit mahupun di kedai serbaneka seperti 7 Eleven yang dijual tanpa kawalan ketat.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang mendedahkan bahawa Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi di dunia dalam pengambilan arak di dunia.
Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, dalam kenyataan di Parlimen semalam, Dr Mariah juga mendedahkan bahawa rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.
Penjualan arak berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun.
Mohamad Suhaimi juga merasa terkejut dengan pendedahan AJK PAS Pusat itu bahawa terdapat peningkatan kadar pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.
“DPPWP juga merasa kesal kerana arak dengan mudah mendapat tempat untuk tajaan dan iklan di mana-mana akhbar media arus perdana mahupun di televisyen,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Kerajaan pula, katanya dengan sengaja memberikan lesen kepada pengusaha kelab-kelab malam dan pusat hiburan untuk beroperasi tanpa kawalan yang sewajarnya.
“Kelab-kelab malam inilah juga penyumbang kepada berleluasanya minuman arak sehingga menyumbang kepada gejala sosial yang lebih parah,” ujarnya lagi.
Soalnya, bagaimanakah penjualan dan pengambilan arak boleh bertambah dalam keadaan negara Malaysia yang sudah diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam dan termaktub juga di dalam Perlembagaan bahawa agama rasmi negara ini adalah Islam.
Beliau juga mempersoalkan mengapa tidak ada kawalan keras dari kerajaan sebagaimana kawalan yang sama dilakukan terhadap penyalahgunaan dadah yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
“Dalam Islam, hukuman yang sewajarnya kepada peminum arak adalah disebat dengan 40 hingga 80 kali sebatan. Soalnya, mengapa undang-undang ini tidak terpakai khususnya kepada umat Islam?” soalnya lagi. 
Sepatutnya, kata beliau arak perlu diharamkan terus di Malaysia dan alasan bahawa negara ini mempunyai masyarakat majmuk tidak boleh diterima sama sekali kerana kesan arak yang boleh membahayakan kesihatan sama seperti penyalahgunaan dadah dan menghisap rokok.
Tambahnya, arak juga sebagai salah satu penyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.
Justeru, beliau menggesa kerajaan mengetatkan kawalan terhadap penjualan arak seperti mengharamkan penjualannya di kedai-kedai runcit dan serbaneka seperti di kedai 7 Eleven di samping premis-premis hiburan pula perlu ditutup kerana ia langsung tidak memberi kebaikan kepada rakyat.
DPPWP juga, katanya meminta kerajaan mengharamkan arak untuk diiklankan di mana-mana media eletronik mahupun cetak agar tidak mendapat publisiti murahan.
“Apakah gunanya hasil cukai yang haram dari arak ini kepada kerajaan sedangkan dalam masa yang sama ribuan umat Islam menderita akibat ketagihan arak dan hidup dalam keadaan berdosa,” ujarnya.

Apco: PAS cadang Majlis Raja-Raja campur tangan



Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 30 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfiz Omar (gambar) mencadangkan Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan dalam inisiatif kerajaan melantik Majlis Penasihat Antarabangsa Apco Worldwide (IAC) sebagai syarikat perundingan total kepada komunikasi negara.

Cadangan sedemikian penting kerana dengan partisipasi syarikat yang dikaitkan dengan jaringan Zionis-Israel, meletakkan tahap keselamatan negara dalam bahaya.

"Selain mengusahakan tubuh Suruhanjaya Diraja, Majlis-Majlis Raja Melayu juga perlu campur tangan kerana isu ini secara tak langsung membabitkan kepentingan negara, kepentingan Islam.

"Isu ini adalah isu yang serius kerana berkiatan keselamatan negara dan boleh menjadi ancaman pada keamanan negara," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan mustahil membekalkan maklumat biasa berkaitan tanah air kerana fungsi sebenar Apco adalah menguruskan komunikasi strategik ke atas rakyat.

Ujarnya lagi, seperti suatu syarikat komunikasi antarabangsa yang pernah menjual maklumat strategik kepada Amerika ketika meletusnya Perak Teluk di Asia Barat, tidak mustahil perkara demikian berulang di Malaysia.

Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir kerajaan kerana melantik Apco sebagai firma perunding imej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan serta gagasan 1Malaysia.

"Tentang 1Israel' (dan) 1Malaysia', ia tidak boleh semuanya dianggap sebagai kebetulan," ujarnya.
Tambahnya lagi, dengan penyertaan beberapa bekas perisik Agensi Keselamatan Israel (ISA) dalam firma perundingan itu seharusnya memerlukan penjelasan jujur daripada Najib sendiri, mewakili Presiden Umno/BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, sekurang-kurangnya Najib wajar menafikan segala dakwaannya di Dewan Rakyat pada sesi penghujahan semula, tengah hari tadi.

Turut menyertai Mahfuz dan Anwar di lobi Parlimen adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dakwaan Apco seolah-olah mempunyai hubungan langsung dengan jaringan Zionis-Israel sekaligus mencemarkan wawasan 1Malaysia yang cuba diperkenalkan Najib

Monday, March 29, 2010

SOFI WAHAB: Tukar kerajaan cegah anak luar nikah



Sofi Wahab   
Gejala buang bayi memang sudah lama berlaku. Sudah ratusan malah mungkin ribuan bayi yang tidak berdosa dibuang di merata tempat oleh manusia berhati iblis. Darjat manusia ini lebih teruk dari binatang kerana binatang pun tahu sayang kepada anaknya.
Hari ini (22 Mac) media sekali lagi melaporkan kejadian buang bayi yang berlaku dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu. Bayi ini masih hidup walaupun basah kuyup ditimpa hujan.
Semalam (21 Mac), media juga melaporkan bahawa terdapat 17,303 orang anak luar nikah didaftarkan pada tahun 2009.
Apa maknanya kedua-dua fakta di atas? Maknanya ialah gejala maksiat zina sudah menjadi perkara biasa di Malaysia. Kalau dikira purata anak luar nikah yang dilahirkan di Malaysia ialah 47 orang sehari, kira-kira dua orang setiap jam.
Saya lebih suka membicarakan punca kepada perkara sebelum kita berfikir tentang cara penyelesaiannya. Mengikut kaedah problem solving, sebelum kita membuat correctieve action atau langkah pembetulan kita mesti mencari punca-punca masalah ini.
Di bawah ini adalah punca-punca kepada gejala zina, buang bayi dan anak luar nikah:-
1) Tiadanya kesedaran agama di kalangan penzina kerana mereka sudah tidak takut kepada Allah sehingga sanggup melakukan dosa besar iaitu perzinaan. Mereka ini mungkin tidak mempunyai asas agama yang kuat.
2) Pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita disebabkan ibu bapa tidak melarang mereka, keluar rumah dan bergaul bebas, kawan-kawan dan masyarakat tidak memberi nasihat dan membiarkan maksiat terus berlaku.
3) Persekitaran yang sudah rosak dengan program-program maksiat/pergaulan bebas seperti konsert, kelab malam, dangdut, disko dan sebagainya. Selain itu gejala berdua-duaan ke sana ke mari sudah menjadi tidak salah di sisi masyarakat dan ibu bapa serta undang-undang.
4) Gejala meminum arak dan dadah di kalangan muda-mudi juga sudah menjadi perkara biasa dan bila kepala sudah khayal maka mudah maksiat berlaku.
5) Tiadanya undang-undang yang mampu mencegah perbuatan mungkar yang berlaku sekarang. Undang-undang yang ada sekarang adalah ciptaan manusia yang tidak mampu menggerunkan manusia. Sedangkan Allah sudahpun menurunkan undang-undang-Nya untuk mencegah perbuatan zina dan maksiat ini. Malangnya kerajaan yang ada sekarang terus berdegil tidak mahu melaksanakan hukum Allah ini.
6) Sistem pendidikan yang ada di negara kita sekarang gagal melahirkan pelajar yang beriman dan berakhlak kerana apa yang diutamakan ialah pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan kesedaran Islam dan kekuatan Iman di kalangan pelajar-pelajar. Sebab itulah generasi muda hari ini amat rapuh pegangan agamanya sehingga sanggup berzina dan bergaul bebas tanpa rasa berdosa.
7) Program mencegah kemungkaran dibuat sambil lewa sehingga membiarkan tempat-tempat hiburan, rumah pelacuran dan lain-lain dibiarkan beroperasi macam cendawan lepas hujan.
8) Banyak lagi punca-punca lain yang ada tetapi bagi saya fakta di atas adalah antara perkara asas yang menjadi penyebab kepada gejala ini.
Pagi tadi semasa saya mendengar siaran radio Ikim.FM saya mendapati 100% pendengar mahukan undang-undang Islam ditegakkan di Malaysia dan kata mereka itulah sahaja jalan penyelesaian yang mampu menyelesaikan masalah tersebut. Ini kerana menurut mereka hanya undang-undang Allah yang ada keberkatan dan pencegahan dari Allah sedangkan akal manusia tidak mampu untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah ini. Ada juga pendengar yang secara tegas menyatakan supaya ditukar kerajaan.
Di bawah ini saya cadangkan beberapa jalan penyelesaian kepada perkara ini.
1) Tukar kerajaan yang ada hari ini kerana dengan menukar kerajaan kepada kerajaan PR, insya Allah undang-undang Islam akan ditegakkan; sistem pendidikan akan diubah dengan menekankan ilmu Islam; program amar makruf dan nahi mungkar akan ditingkatkan; tempat-tempat maksiat ditutup, program-program maksiat dan pergaulan bebas dihentikan dan sebagainya.
2) Ibubapa mestilah menghadkan pergaulan anak-anak dengan tidak membenarkan mereka keluar malam dan tidak membenarkan anak-anak gadis keluar secara bersendirian bila-bila.
3) Dan lain-lain.
BAGI SAYA, SELAGI KERAJAAN BN MEMERINTAH SELAGI ITULAH MEREKA TIDAK AKAN MENEGAKKAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAN MEREKA HANYA MEMANDANG ISU INI SEBAGAI REMEH. DARI ITU, RAKYAT MESTI MENUKARKAN KERAJAAN YANG ADA PADA HARI INI IAITU KERAJAAN BN KEPADA KERAJAAN PR.
Sofi Wahab adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka.

Muhyidin tolak Muhamad Taib sebagai calon BN Hulu Selangor



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin secara lembut menolak cadangan agar Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib dicalonkan Umno sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Saya tak fikir Muhamad Mohd Taib setuju," kata Muhyidin ketika ditanya wartawan tentang cadangan Umno Hulu Selangor agar bekas MB Selangor itu dipilih sebagai calon BN.

Muhamad adalah bekas Adun Batang Kali, salah satu DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor. Umno Hulu Selangor mencadangkan beliau dipilih sebagai calon dalam pilihan raya kecil kawasan itu nanti.

Mereka yakin, jika Muhamad dipilih, BN akan menang mudah sebagaimana rekod yang ditunjukkan BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang apabila bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dipilih sebagai calon.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu masih yakin kerusi Parlimen Hulu Selangor akan diperuntukkan kepada wakil parti itu walaupun Umno terus menggesa agar ia diserahkan kembali kepada parti dominan Barisan Nasional (BN) itu.

“Saya berharap begitu, berharap MIC akan dibolehkan bertanding lagi di Hulu Selangor dan kekal pada tradisi yang telah pun dipersetujui selama ini,” kata Samy Vellu (gambar) ketika dihubungi laman web The Malaysian Insider hari ini.

PKR pula sedang mempertimbangkan lima nama yang telah disyorkan untuk dipilih sebagai calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

“Kami ada terima tiga hingga lima nama. Pucuk kepimpinan akan mempertimbangkan nama-nama ini,” kata Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh.

Nama yang disebut-sebut ialah Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Cabang Kelan Jaya Syed Shahir Syed Mohamud yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Ketua Cabang Sabak Bernam Badrul Amin, peguam dan akitivis N. Surendran dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Datuk Zaid Ibrahim.

Sebelum ini, Harakahdaily menyiarkan tulisan Ketua Pengarangnya, Zulkifli Sulong yang meramalkan Datuk Zaid Ibrahim bakal menjadi calon PKR dalam pilihan raya Hulu Selangor ini.

Tee Keat terima kekalahan dengan hati terbuka



KUALA LUMPUR 28 Mac – Datuk Seri Ong Tee Keat yang terlepas jawatan Presiden MCA kepada Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada pemilihan baru parti itu hari ini menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka.
Tee Keat yang juga Menteri Pengangkutan berkata, walaupun kalah jawatan tertinggi parti itu, beliau masih mempunyai tugas iaitu sebagai Ahli Parlimen Pandan.
“Adat bertanding ada yang menang, ada yang kalah. Jadi, semua pihak perlu menerima keputusan yang dibuat oleh perwakilan parti.
“Saya masih lagi Ahli Parlimen Pandan dan akan terus menjalankan tugas saya. Itu komitmen saya kepada rakyat yang mengundi saya dan komitmen itu tidak akan berubah berikutan keputusan ini,” katanya ketika ditemui selepas keputusan diumumkan Speaker, Datuk Yip Phooi Hong hari ini.
Mengenai jawatan Menteri Pengangkutan yang dipegangnya kini, Tee Keat berkata, keputusan mengenai perkara itu merupakan hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, semua pihak harus komited terhadap transformasi parti bagi memastikan MCA akan terus relevan.
“Saya harap mulai sekarang yang penting sekali parti kena maju ke depan di bawah pucuk pimpinan baru. Tak kisah siapa yang menerajui parti ini, transformasi tetap perlu menjadi agenda parti,” katanya yang menerajui MCA selama 17 bulan.

Sunday, March 28, 2010

Elok masukkan nama Mahathir, Najib dan kroninya sekali



Muzium Pengkhianat cari calon 100 kaki rasuah



2010/03/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BEIJING: Pemilik muzium antirasuah yang bakal dibuka di Chengdu meminta orang ramai mencalonkan 100 pegawai kerajaan paling rasuah sejak 100 tahun lalu, lapor media semalam.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Fan mula menerima sebarang cadangan nama tokoh negara itu daripada orang ramai untuk didokumentasikan di muziumnya.

“Mulai sekarang, kami akan menerima pencalonan dan orang ramai boleh mengundi di laman web muzium ini,” katanya.

Ketika ini, lapor Xinhua, kebimbangan utama Fan adalah sambutan melampau daripada orang ramai.

“Tentulah tempat terhad dan kami perlu memberi pertimbangan kepada tahap rasuah dilakukan tokoh terbabit,” katanya.

Antara kriteria ditetapkan Fan adalah, semua nama dicalonkan mesti mempunyai kedudukan dalam kerajaan, jumlah wang diseleweng, kaedah digunakan dan kesan rasuah kepada masyarakat.

“Pada masa sama, muzium ini akan menyediakan maklumat bagi mencegah amalan rasuah,” katanya.

Fan berkata, dia akan mendapatkan sokongan Jawatankuasa Disiplin Parti Komunis China bagi menjayakan muzium berkenaan.

“Saya berharap muzium ini menjadi pusat pendidikan kesedaran rasuah.

“Mungkin kerajaan boleh menyediakan jadual lawatan kepada banduan untuk datang ke sini,” katanya.

Tidak dapat dipastikan bila muzium itu dibuka. - AFP

Perkasa buat 3 laporan polis terhadap PKR



KUALA LUMPUR 27 Mac - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat tiga laporan polis serentak termasuk pendedahan rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.
Dua lagi laporan itu berkaitan dengan pengedaran risalah yang mengandungi laporan klinikal forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) bahawa pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan tidak diliwat dan cakera padat (CD) mengandungi fatwa imam terkemuka dari Mesir, Syeikh Yusuf al-Qaradawi.
Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Wira Perkasa, Arman Azha Abu Hanifah, 36, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada pukul 12.30 tengah hari.
Sebelum itu, Arman Azha dan kira-kira 40 ahli Perkasa berarak dari Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke IPD itu sambil mengibarkan bendera Perkasa dan melaungkan 'Allahuakbar' serta 'Hidup Perkasa'.
Arman Azha yang ditemui pemberita berkata, laporan pertama berkaitan dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mengenai lapan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti dalam percubaan mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.
Dalam pada itu, Amran Azha berkata, laporan kedua mengenai sebuah risalah yang ditanda tangani Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail bertajuk 'Fitnah dahsyat berulang kembali' sementara laporan ketiga laporan ketiga mengenai pengedaran cakera padat (CD) PKR yang menggunakan fatwa Syeikh Yusuf al-Qaradawi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika ditemuiUtusan Malaysia hari ini mengesahkan telah menerima laporan tersebut.