Wednesday, March 28, 2012

Hidup merempat di Watt Siam

Kosmo! Online - Negara:



AZMI (meriba salah seorang anak Noriza) bermesra dengan anak-anak Noriza (belakang, dua dari kanan) di rumah mereka di Watt Siam, Baling di Kedah semalam.


BALING - Seorang ibu dan lapan orang anaknya terpaksa menyewa sebuah rumah di dalam kawasan Watt Siam di Kampung Watt Baling di sini kerana dihimpit kemiskinan hidup sejak dua tahun lalu.
Keluarga berkenaan, Noriza Hassan, 35, berkata, dia terpaksa menyewa rumah di kawasan itu kerana tidak memiliki rumah sendiri selepas suaminya menghilangkan diri sejak dua tahun lalu.
Tambah wanita itu, dia terpaksa membesarkan lapan orang anaknya yang berusia antara tiga hingga 18 tahun dengan bergantung pada wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan untuk keperluan harian.
"Saya tidak mampu bekerja kerana anak masih kecil dan bersekolah tetapi mujurlah JKM menyalurkan bantuan sebanyak RM400 sebulan melalui Bantuan Kanak-Kanak (BKK) bagi menampung keperluan hidup.
"Saya juga terpaksa menyerahkan dua anak saya kepada JKM bagi meneruskan persekolahan agar mereka tidak tercicir dalam persekolahan," katanya.

'via Blog this'

Awal, Scha kahwin 4 Mei ini

Kosmo! Online - Negara:


AWAL dan Scha pada majlis pengumuman tarikh 
pernikahan mereka di Flora Cafe, Amwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pasangan pelakon dan pengacara popular, Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 29, atau Scha akhirnya sepakat untuk mendirikan rumah tangga pada 4 Mei ini.
Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Ampwalk, Jalan Ampang semalam, Awal menjelaskan, dia memilih bulan Mei untuk majlis pernikahannya kerana dia dan Scha mempunyai kelapangan pada waktu tersebut.
"Sebelum ini saya dan keluarga telah merisik Scha pada 30 Mei tahun lalu. Mengikut perancangan, kami sepatutnya bernikah pada bulan lepas, tetapi jadual kerja kami yang padat serta masalah tempahan dewan membuatkan kami terpaksa menangguhkannya.
"Bagaimanapun, saya tetap gembira kerana hasrat untuk memperisterikan Scha bakal menjadi kenyataan setelah kami menjalinkan hubungan cinta selama lebih dua tahun," ujarnya.

'via Blog this'

Tuesday, March 27, 2012

James Cameron berjaya ekspedisi selam

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Gambar yang baru didedahkan kelmarin, menunjukkan kakitangan misi projek Cabaran Laut Dalam memeriksa kapal selam khas Deepsea Challenger untuk ujian pertama di Jervis Bay, selatan Sydney, bulan lalu. – REUTERS


WASHINGTON 26 Mac – Pengarah filem Titanic, James Cameron selamat naik ke permukaan laut selepas melakukan ekspedisi solo menyelam di dasar laut paling dalam di Lautan Pasifik, Jurang Mariana, menggunakan kapal selam.
Penganjur ekspedisi projek Cabaran Laut Dalam di laman Twitter menyatakan bahawa ‘Jim Cameron sudah sampai ke permukaan laut! Tahniah kerana melakukan penyelaman bersejarah itu secara solo ke pusat paling dalam di laut berkenaan’.
Rakan misi ekspedisi tersebut, National Geographic berkata, Cameron menyelam pada kedalaman 10,898 meter pada pukul 7.52 pagi ini waktu tempatan (5.52 pagi waktu Malaysia) di Jurang Mariana menggunakan kapal selam yang direka khas.
Pengarah itu ialah individu pertama melakukan penyelaman secara solo di Jurang Mariana, barat daya Guam.
Penyelaman terakhir ke kawasan tersebut dilakukan oleh sepasukan terdiri daripada dua orang pada 1960.
Pengarah filem itu meluangkan masa selama beberapa jam di dasar laut bagi mengumpul sampel untuk kajian saintifik dan mengambil gambar.
Misi Cameron bertujuan membawa balik data dan spesimen dari kawasan yang masih belum dijelajah manusia itu.
Dia dijangka mengumumkan keputusan eksperimen itu tidak lama lagi. – AFP

'via Blog this'

Demonstrasi kenaikan harga minyak di Jakarta

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Polis menghalang tindakan kumpulan mahasiswa menyekat laluan sebuah trak membawa petrol milik syarikat minyak Pertamina, semasa satu bantahan menentang cadangan kerajaan menaikkan harga bahan api di Bondowoso, semalam. - AFP


JAKARTA 26 Mac - Polis Jakarta meminta bantuan 8,000 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk mengawal keselamatan di ibu negara ini menjelang tunjuk perasaan besar-besaran yang dijadual berlangsung esok bagi membantah kenaikan harga bahan bakar.
Dengan gabungan askar TNI dan anggota polis Jakarta, sejumlah 22,000 anggota pasukan keselamatan akan ditugaskan untuk berkawal semasa protes itu, menjelang kenaikan harga bahan bakar yang dijadual dikuatkuasakan oleh kerajaan pada 1 April ini.
"Tentera Nasional Indonesia (TNI) tidak akan bersemuka dengan orang ramai, tetapi akan berkawal di sekitar objek-objek penting," kata jurucakap Polis Jakarta, Komander Kanan Rikwanto, di sini hari ini.
'Objek penting' yang dimaksudkannya termasuk pelabuhan, lapangan terbang dan jalan bertol.
Polis menerima laporan sekurang-kurangnya 8,000 penunjuk perasaan sudah bersedia untuk melancarkan protes di sini esok bagi membantah kenaikan harga bahan bakar.
Bagaimanapun angka sebenar dijangka jauh lebih besar kerana kesatuan sekerja dan pertubuhan pelajar sudah berikrar akan menyertai demonstrasi itu esok.
Kemungkinan besar mereka akan tertumpu di kawasan protes yang biasa diadakan iaitu di bulatan lalu lintas di Hotel Indonesia dan Istana Presiden di Jakarta Tengah, serta kompleks Parlimen di Jakarta Barat.
Kerahan askar TNI bagi mengawal tunjuk perasaan, yang mula dilancarkan ketika kerajaan mengumumkan pelan kenaikan harga bahan bakar pada awal bulan lepas, mencetuskan pelbagai kritikan termasuk daripada ahli Parlimen dan pemerhati politik.
"Kami berharap protes akan diadakan secara aman dan jika orang ramai berasa bimbang mengenai kemungkinan meletusnya kekacauan, mereka boleh melaporkannya kepada polis," ujar Rikwanto. - AGENSI

'via Blog this'

Tiga juta belum namakan waris

Berita Harian Online | Tiga juta belum namakan waris:
KUALA LUMPUR: Kira-kira tiga juta atau 43 peratus daripada tujuh juta pendeposit Lembaga Tabung Haji dikesan masih belum membuat penamaan waris bagi simpanan mereka. 

Jurucakap Tabung Haji berkata, keadaan itu boleh mendatangkan kesukaran kepada ahli keluarga membuat tuntutan wang pusaka sekiranya pendeposit itu meninggal dunia.
Katanya, Tabung Haji sentiasa merujuk kepada borang penamaan waris sebelum memutuskan sebarang tuntutan wang pusaka bagi kes-kes kematian pendepositnya.
“Pengurusan Tabung Haji menyeru semua pendepositnya yang belum membuat sebarang penamaan waris agar bertindak segera membuat penamaan waris di mana-mana 119 cawangan Tabung Haji di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. 

Tabung Haji berkata, borang penamaan waris boleh didapati di semua cawangannya atau muat turun dari laman www.tabunghaji.gov.my yang memerlukan pendeposit menyerahkan borang itu di cawangan Tabung Haji berdekatan bagi tujuan keselamatan dan pengesahan. 

Tabung Haji juga menyarankan pendeposit yang membuat penamaan supaya menyemak dan mengemas kini penamaan waris mereka jika ada perubahan membabitkan perkahwinan, perceraian, kelahiran dan kematian. 

Katanya, pendeposit boleh menghubungi Tabung Haji ‘Contact Centre’ di talian 03-62071919 atau faks, 03-77284959 atau e-mel ke th-info.gov.my.

'via Blog this'

Hasan cabar Azmin

Berita Harian Online | Hasan cabar Azmin:
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dicabar supaya menjelaskan butiran sumber kewangannya untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994 daripada terus mencari kesalahan orang lain.

Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa itu diminta segera berbuat demikian kerana ketika itu beliau hanya pegawai kerajaan biasa yang tidak mampu memiliki banyak wang untuk membeli saham bernilai berjuta-juta ringgit.
Bekas EXCO Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berkata Mohamed Azmin sepatutnya terlebih dulu mencermin diri sebelum melemparkan sebarang tuduhan jahat terhadapnya.
“Sila jelaskan dari mana sumber kewangan YB Bukit Antarabangsa dan isterinya membeli saham yang nilainya mencecah RM2 juta, sedangkan ketika itu saya difahamkan beliau hanya menerima gaji kira-kira RM2,000 saja.

“Sila nafikan laporan yang menyatakan Pengerusi Yayasan Pembangunan India Malaysia, S A Vickneswaran yang mendakwa Azmin dan isteri termasuk seorang ipar memiliki saham mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an. Saya timbulkan perkara ini kerana bagi saya Mohamed Azmin tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk berbicara soal kredibiliti, integriti dan ketelusan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Hasan menganggap tuduhan Mohamed Azmin beliau menggunakan ratusan ribu ringgit untuk membaikpulih pejabat EXCO Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam serta program Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri, sebagai tindakan tersirat yang mahu menjatuhkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Tindakan mempersoalkan kewibawaan saya di DUN baru-baru ini secara langsung mempertikai kredibiliti kerajaan negeri pimpinan Khalid. Ini kerana kelmarin Khalid sendiri sudah mengesahkan perbelanjaan itu mengikut tata cara perbendaharaan negeri. 
“Ini seperti membunuh dua burung dengan sebiji batu. Memang PKR ada perbalahan dalaman di Selangor kerana Azmin menggantikan Khalid sebagai Pengerusi PKR negeri. Malah, dengan kedudukan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai penasihat ekonomi negeri, pasti lebih selesa buat Azmin,” katanya.

Hasan turut mencadangkan supaya semua perbelanjaan EXCO dan pengarah agensi serta anak syarikat kerajaan negeri diisytiharkan kerana ada pihak lain yang mengeluarkan belanja lebih besar untuk membaik pulih pejabat.

“Saya merasakan jumlah yang saya belanjakan sederhana kerana pengubahsuaian termasuk untuk semua pegawai dan kakitangan Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) berjumlah 19 orang. Mengikut maklumat, kosnya lebih rendah jika dibandingkan pengubahsuaian pejabat EXCO lain,” katanya.

Mengulas isu lain, Hasan berkata, beliau menyokong langkah Datuk S Nallakarupan untuk berdepan dengan Anwar di mahkamah kerana baginya “biar orang yang paling rapat dengan Anwar mendedahkannya kerana rakyat mahu pemimpin yang mempunyai moral tinggi saja berada di Putrajaya.”

Saranan supaya Mohamed Azmin mendedahkan sumber kewangannya, disokong Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim yang menegaskan tidak wajar mencari kesalahan pihak lain sedangkan beliau belum menjawab perkara itu selepas didedahkan bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari.

“Kita ingin tahu siapa insan yang bermurah hati memberikan begitu banyak wang kepada Mohamed Azmin. Isu ini asalnya didedahkan oleh Anuar, iaitu orang yang pernah bersama-sama dengan Mohamed Azmin ketika berkhidmat untuk Anwar. Rakyat juga berharap polis dapat mendedahkan hasil siasatan kerana Anuar sudah menyerahkan segala bukti kepada pihak berkuasa pada 2009,” katanya.

Sementara itu, pada sidang DUN pagi semalam, Hasan mempersoalkan dana RM300 juta di bawah geran Selangorku yang dikatakan tidak direkodkan dalam akaun Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

'via Blog this'

Monday, March 26, 2012

Bantah kerajaan di jalan

myMetro | Bantah kerajaan di jalan:

JAKARTA: Puluhan ribu penyokong Kongres Rakyat Sumatera Utara (KRSU) akan menyertai perhimpunan besar-besaran di Medan hari ini untuk membantah rancangan kerajaan mengurangkan subsidi ke atas petrol.
Pemimpin KRSU, Mangaliat Simarmata, berkata perhimpunan itu turut membabitkan sekurang-kurangnya 65 pertubuhan.

“Kira-kira 10,000 hingga 15,000 orang akan hadir ke jalanan dan kami berhimpun semata-mata mahu melindungi rakyat.
“Kenaikan harga minyak tidak akan membawa apa-apa faedah, sebaliknya hanya menyukarkan orang ramai,” katanya.

Jakarta bercadang menaikkan harga petrol pada 1 April ini selepas diluluskan Parlimen.

Melalui rancangan pengurangan subsidi itu, harga minyak di Indonesia akan meningkat dari Rp4,500 (RM1.51) kepada Rp6,000 (RM2.01) seliter.
Bagaimanapun, peluang itu dikatakan semakin sempit kerana sebahagian parti yang bersekutu dalam kerajaan menolak usul berkenaan.

Khamis lalu, Parti Keadilan Sejahtera dan Parti Persatuan Pembangunan menyatakan, mereka belum membuat keputusan sama ada akan menyokong rancangan itu.
Turut mengambil sikap sama, parti Golkar. Sementara itu, Pengerusi Lembaga Eksekutif Mahasiswa Universiti Indonesia, Faldo Maldini, mengesahkan mereka akan mengadakan demonstrasi bagi tujuan sama.

Kata Faldo, kira-kira 100 hingga 150 mahasiswa akan menyertai perhimpunan di depan bangunan Parlimen Indonesia bagi memberi tekanan kepada wakil rakyat supaya menyebelahi orang ramai.

Minggu lalu, Faldo berkata, mereka cuba menemui wakil rakyat terbabit tetapi dilarang memasuki kawasan Parlimen.

Pemimpin Penyatuan Kebangsaan Mahasiswa Indonesia, Jati Pramestianto, pula berkata ribuan ahli pertubuhan itu turut turun ke jalan di Jakarta dan bercadang untuk terus mengadakan protes di situ sehingga kerajaan membatalkan rancangan menaikkan harga petrol. - Antara

'via Blog this'

Mangsa bunuh tentera AS dapat pampasan

Berita Harian Online | Mangsa bunuh tentera AS dapat pampasan:BEBERAPA lelaki melihat kesan darah dan mayat rentung di salah sebuah rumah mangsa serangan askar Amerika di Panjwai,  selatan Kabul, pada 11 Mac lalu.
BEBERAPA lelaki melihat kesan darah dan mayat rentung di salah sebuah rumah mangsa serangan askar Amerika di Panjwai, selatan Kabul, pada 11 Mac lalu.
KANDAHAR: Keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai oleh anggota tentera Amerika Syarikat (AS) akan menerima pampasan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). 
Tentera AS membayar ganti rugi sebanyak AS$50,000 (RM150,000) bagi setiap mangsa yang terbunuh dan AS$11,000 (RM33,000) bagi setiap seorang yang cedera. 
BBC melaporkan, keluarga mangsa menghadiri pertemuan sulit dengan pegawai tentera AS dan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di pejabat gabenor Kandahar untuk membincangkan mengenai perkara itu. Anggota majlis daerah Kandahar, Agha Lalai, berkata wang itu dipercayai diperoleh daripada Presiden Barack Obama tetapi pegawai AS enggan memberikan sebarang reaksi.

Keluarga mangsa diberitahu sebahagian saksi sudah dibawa ke AS untuk memberikan keterangan manakala yang lain akan mengambil bahagian menerusi video apabila Staf Sarjan Robert Bales dibicarakan berhubung tragedi di daerah Panjwai pada malam 11 Mac lalu. 

Jumaat lalu, tentera AS berkata, Bales akan didakwa dengan 17 tuduhan secara rasmi melakukan pembunuhan terancang membabitkan sembilan kanak-kanak dan lapan orang dewasa Afghanistan. 

Bales, 38, juga didakwa dengan enam tuduhan cubaan membunuh seorang lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak.
Dia kini ditahan dipenjara tentera di Fort Leavenworth, Kansas, selepas dibawa keluar dari Afghanistan minggu lalu. 

Peguam Bales, John Henry Browne yang tidak mempedulikan laporan bahawa anak guamnya mabuk pada malam pembunuhan, berkata Bales tidak ingat mengenai kejadian itu. 

John Henry Browne berkata, tiada bukti forensik terhadap Bales dan tidak pengakuan dibuat. 

Bales ialah satu-satunya suspek dalam pembunuhan berkenaan di sebalik dakwaan Afghanistan lebih daripada seorang tentera AS terbabit dalam kejadian itu. 

Perbicaraannya mungkin mengambil masa bertahun-tahun, bertentangan dengan tuntutan Afghanistan yang mahukan keadilan pantas dan tegas, dan dia berdepan hukuman mati jika disabitkan. 

Kes terbabit mengeruhkan lagi hubungan Kabul dan Washington manakala Taliban menarik diri daripada rundingan damai berikutan kejadian itu. – Agensi/AP 
'via Blog this'

Mangsa ragut terbaring lumpuh

Kosmo! Online - Negara:


Sunday, March 25, 2012

Lebih 20 rumah rosak dilanda ribut

Berita Harian Online | Lebih 20 rumah rosak dilanda ribut:KANGAR: Lebih 20 buah rumah rosak terutama pada bahagian bumbung dalam kejadian ribut yang melanda sekitar bandar Kangar hari ini. 

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika hujan lebat.
Antara lokasi terjejas ialah Kampung Bakau dan Taman Hijrah di sini namun JKM masih menjalankan bancian dan nilai kerugian belum diketahui setakat ini.
Turut mengalami kerosakan ialah gerai makanan yang turut terbalik akibat angin kencang manakala beberapa batang pokok turut tumbang. 

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) masih bertungkus lumus mengalihkan pokok yang tumbang berhampiran jalan raya terutama berhampiran Padang Bandaran di sini. 

Akibat kejadian itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memotong sementara bekalan elektrik di kawasan terbabit demi keselamatan orang ramai. - BERNAMA
'via Blog this'

Suspek bakar kereta ditahan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 24 Mac - Kes bakar kenderaan mewah yang semakin menjadi-jadi di ibu negara terungkai apabila polis berjaya menahan seorang lelaki di sini hari ini yang dipercayai terlibat dalam jenayah itu.
Suspek berusia 42 tahun ditahan di Kampung Pauh, Sentul kira-kira pukul 10.30 pagi dan dia dipercayai terlibat dalam kes bakar 18 buah kenderaan mewah sejak 10 Mac lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek ditahan hasil siasatan lanjut polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di salah satu lokasi kejadian.
"Polis turut merampas tuala mempunyai kesan petrol, minyak petrol serta pemutar skru yang telah ditajamkan, dipercayai untuk digunakan bagi memancitkan tayar kereta," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Jinjang hari ini.
Kebakaran kenderaan mewah antaranya Skoda Octavia, BMW 523i, Kia Sorento dan Honda Accord sebelum ini dilaporkan semakin menjadi-jadi di ibu negara apabila sekurang-kurangnya 18 kes dilaporkan.
Terbaru malam tadi, empat buah kereta dibakar di sekitar Sentul termasuk satu di Titiwangsa.
Menurut Chin Wah, polis sedang menyiasat motif tindakan lelaki itu dan kemungkinan dia melakukan jenayah ini bersama individu lain.

'via Blog this'

Tiga penjenayah ditembak mati

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


TELOK KEMANG 24 Mac – Benar kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Itulah padah yang menimpa tiga penjenayah lelaki warga asing apabila mereka akhirnya maut akibat ditembak polis ketika cuba memecah masuk rumah seorang penduduk di sebuah kampung dekat Linggi, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, kesemua suspek cuba memecah masuk sebuah rumah penduduk di kampung itu namun, terserempak dengan sebuah kereta peronda polis.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, polis yang curiga dengan tindakan tiga lelaki itu menghampiri mereka sambil mengarahkan semua lelaki itu menyerah diri.
“Bagaimanapun, tiga penjenayah tersebut bertindak agresif apabila menyerang anggota polis yang menghampiri mereka dengan menggunakan parang.
“Berikutan itu, polis tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa melepaskan tembakan ke arah ketiga-tiga penjenayah berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Osman, hasil pemeriksaan, polis menemui beberapa peralatan pecah rumah iaitu pemotong besi, pemutar skru, sarung tangan dan topeng pada tiga suspek itu.
“Kita percaya mereka masuk ke dalam kawasan rumah dengan memotong pagar, tetapi sebelum memecah masuk ke dalam rumah, suspek terserempak dengan anggota polis yang kebetulan sedang meronda.
“Rumah yang menjadi sasaran penjenayah ini didiami enam beranak. Kesemua mereka tidak mengalami kecederaan dalam kejadian ini,” jelasnya.

'via Blog this'

Wanita ditahan bantu kes tembak

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KOTA BHARU 24 Mac - Polis menahan seorang wanita yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kes tembak seorang peniaga pasar malam di persimpangan lampu isyarat berhampiran pintu masuk Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, wanita berusia 36 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Binjai, dekat sini, pukul 4.30 petang, semalam.
"Dengan penahanan wanita tersebut, pihak kami percaya dapat menyelesaikan kes tersebut," katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi 220 buah motosikal berkuasa tinggi sempena Hari Polis ke-205 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pagi ini.
Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu merupakan aktiviti pasukan polis dalam usaha membanteras jenayah terutama golongan muda sebagai sasaran utama program Jom Cegah Jenayah.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Loi Yong Heng serta Ketua Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam IPK Kelantan, Supritendan Azli Mohd. Noor.
Penjelajahan bermula dari perkarangan IPK sejauh 60 kilometer itu akan tamat di Pantai Tujuh, Tumpat di mana mereka menyertai program interaksi bersama masyarakat, khasnya anak-anak muda. - BERNAMA

'via Blog this'

‘Segera saman saya’

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:
DATUK S. Nallakaruppan (enam kanan); Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor (dua kanan); Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah (kanan); peguam Hasral Rezua Merican (tiga kanan); Ummi Hafilda Ali (kiri); bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari (terlindung, dua kiri) dan bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd. Nazmi Rosli (empat kiri) bersama-sama berpegang tangan sebagai simbol bersatu hati pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/ABDUL RAZAK LATIF


KUALA LUMPUR 24 Mac – Ancaman saman RM100 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak menggentarkan Datuk S. Nallakaruppan (gambar), sebaliknya Ahli Dewan Negara itu konsisten mendakwa ketua pembangkang tersebut adalah biseksual.
Malah, beliau secara terbuka mencabar Anwar supaya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya seawal minggu hadapan bagi membolehkan segala bukti yang menyokong dakwaan biseksual itu dapat didedahkan di mahkamah.
Sambil mengakui beliau sangat gembira jika Anwar berani menyahut cabarannya itu, Nallakaruppan berkata, terlalu banyak bukti mengenai salah laku moral membabitkan pemimpin itu termasuk siapa lelaki dan isteri orang yang pernah ‘disimpan’ kini berada dalam tangannya.
“Saya mendapat notis daripada N. Surendran (peguam Anwar) mengarah berhenti bercakap mengenainya dan memohon maaf dalam masa 48 jam tetapi saya tidak akan endah notis ini. Saya akan terus bercakap mengenai Anwar sehingga beliau membawa saya ke mahkamah.
“Saya gembira jika Anwar boleh membawa saya ke mahkamah minggu depan, saya mahu jumpa dengannya di mahkamah dan saya akan dedah segala bukti yang menyokong dakwaan bahawa beliau seorang biseksual,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor; bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari; bekas saksi kes liwat membabitkan Anwar pada 1998, Ummi Hafilda Ali dan peguam Nallakaruppan, Hasnal Rezua Merican.
Pada sidang akhbar itu juga, Mohamad Ezam, Anuar dan Ummi Hafilda sepakat mencabar Anwar menyaman mereka sebagaimana tindakan yang mahu diambil ke atas Nallakaruppan kerana mereka juga yakin dan percaya, ketua pembangkang seorang biseksual.
Ditanya apakah bukti yang mahu didedahkan di mahkamah jika ketua pembangkang benar-benar menyaman beliau, Nallakaruppan berkata, ia terlalu banyak dan tidak menolak kemungkinan salah satu daripadanya adalah buku log yang tercatat aktiviti songsang Anwar.
Sementara itu, beliau berkata, tindakan Anwar memfailkan notis tuntutan maaf dan mengugut mahu menyaman RM100 juta hanya bermotif politik iaitu demi meyakinkan penyokong pembangkang kerana tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 semakin dekat.
“Sudah terlalu banyak salah laku moral Anwar saya dedah sejak 2007 tetapi beliau tidak saman, kenapa baru sekarang Anwar mahu saman? Baru sekarang hantar notis undang-undang? Sebab dia mahu tutup mulut saya kerana pilihan raya sudah dekat,” katanya.
Sementara itu, Nallakaruppan menempelak Anwar kerana bertindak menyaman Utusan Malaysia sebanyak RM100 juta ekoran penyiaran dakwaan mengenai biseksual tetapi pada masa yang sama tidak pula mengambil tindakan serupa ke atas beberapa blog.
Katanya, Anwar sepatutnya berdepan dengannya di mahkamah kerana beliau yang bertanggungjawab membuat dakwaan berhubung biseksual dan Utusan Malaysia sekadar medium yang melaporkan perkara itu demi kepentingan orang ramai.

'via Blog this'

Israel aktif curi sumber air Palestin

Berita Harian Online | Israel aktif curi sumber air Palestin:PENDATANG Yahudi yang bersenjata lengkap mencuri air penduduk Palestin di perkampungan Karawa Bani Hassan di Tebing Barat.
PENDATANG Yahudi yang bersenjata lengkap mencuri air penduduk Palestin di perkampungan Karawa Bani Hassan di Tebing Barat.
NEW YORK: Kerajaan Israel menutup mata dan secara aktif menyokong pendatang Yahudi merampas mata air di tanah persendirian Palestin di Tebing Barat, menurut laporan terbaru agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Hari ini, jurang penggunaan air antara penduduk Israel dan Palestin amat tinggi. Berdasarkan data Amnesty International pada 2009, 450,000 pendatang Israel tinggal secara haram di Tebing Barat menggunakan lebih air daripada 2.3 juta penduduk Palestin.
Dianggarkan setiap penduduk Palestin menggunakan hampir 70 liter air setiap hari, kurang 100 liter yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Secara perbandingan, penggunaan air harian penduduk Israel adalah secara purata 200 liter atau hampir empat kali lebih daripada penduduk Palestin.
Di beberapa kawasan di Tebing Barat, penggunaan air penduduk Palestin adalah lebih rendah kira-kira 20 liter sehari 

“Semua pembangunan di kawasan terbabit dilakukan dengan sokongan pihak berkuasa,” kata ketua Unit Analisis dan Penyelidikan di Pejabat bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Yehezkel Lein. 

“Majlis Serantau Binyamin adalah paling aktif dalam perkara ini,” kata Lein merujuk kepada pihak berkuasa tempatan yang mentadbir lebih 50 penempatan Yahudi. 

Ia dijelaskan dalam laporan bertajuk ‘Bagaimana Rampasan Berlaku: Kesan Kemanusiaan Pengambilalihan Mata Air Palestin oleh Pendatang Yahudi.’. 
OCHA mengenal pasti 56 mata air di kawasan penempatan Israel yang sama ada diambil alih secara keseluruhan atau pada masa ini menunggu masa dirampas pendatang Yahudi. 

Empat daripada mata air berkenaan berada di Kawasan B Tebing Barat. Di bawah perjanjian Oslo, zon ini ditetapkan berada di bawah kawalan umum pihak berkuasa Palestin (PA) tetapi ditadbir tentera Israel. 

Sumber air lain berada di Kawasan C iaitu di bawah kawalan penuh dan pentadbiran tentera Israel. Berdasarkan kepada laporan itu, 84 peratus mata air dikenal pasti oleh Pentadbiran Awam Israel (badan yang memantau pendudukan Tebing Barat) sebagai tanah persendirian milik Palestin. 

Laporan itu mendapati, kaedah utama digunakan pendatang Yahudi untuk mengawal mata air adalah secara peras ugut, pencerobohan, mencuri dan membina tanpa permit yang menyalahi undang-undang tentera Israel serta antarabangsa. 

Kegagalan sistematik pihak berkuasa Israel menghentikan amalan ini dan melindungi penduduk Palestin yang hidup di bawah pendudukan Yahudi di Tebing Barat adalah disebabkan Israel dan pendatang bekerjasama, kata OCHA. 

Israel mengawal seluruh sumber air penduduk Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Di Tebing Barat, Israel menggunakan 80 peratus air dari Bukit Aquifer, sumber tunggal air bawah tanah di kawasan itu, yang sepatutnya dikongsi secara adil antara penduduk Israel dan Palestin dan air diperoleh dari Sungai Jordan. – Agensi

'via Blog this'

Ariel menyesal

Kosmo! Online - Negara:


ARIEL (empat dari kiri) ketika ditemubual oleh sekumpulan wartawan di Bandung, Indonesia semalam.


BANDUNG – Bermula dengan hidup sebagai anak seni yang dijulang kemasyhuran sebelum beralih kepada kehidupan sebagai banduan nyata bukan sesuatu yang dibanggakan oleh Ariel Peterpan.
Kalau dahulu dia sibuk menghiburkan peminat dan dikawal pengawal peribadi, kini gaya hidup vokalis utama kumpulan Peterpan itu sejak hampir dua tahun lalu jauh berubah.
Kini dia sentiasa dikawal pihak berkuasa selepas didapati bersalah oleh mahkamah gara-gara pengedaran rakaman video dan gambar lucahnya dengan dua artis wanita popular, Luna Maya dan Cut Tari pada tahun 2010.
Akibatnya, Ariel atau nama sebenarnya Nazril Irham, 31, terpaksa menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di Rumah Tahanan Negara Bandung.
Dalam satu temu bual dengan wartawan semalam, Ariel mengaku dia terlalu mengikut nafsu dan pemikirannya yang dangkal.
“Hanya orang yang melakukan kesilapan seperti saya sahaja yang tahu apa itu maksud menyesal,” kata Ariel.
Selama dalam tahanan, penyanyi itu menganggap pengalaman yang dilaluinya memberikan rahmat yang bukan sedikit.

'via Blog this'

Saturday, March 24, 2012

Susulan sekatan AS, Malaysia henti import minyak Iran

Susulan sekatan AS, Malaysia henti import minyak Iran - Nasional - Sinar Harian: "KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan menghentikan pengimportan minyak mentah Iran.

Beliau mengesahkan satu laporan berita asing bahawa syarikat minyak negara, Petronas, akan menghentikan pengimportan minyak mentah Iran mulai April, iaitu
dua bulan sebelum sekatan Amerika Syarikat berkuat kuasa.

"Ia hanya jumlah yang kecil," katanya dalam jawapan singkat kepada para pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari
ini.

Menurut laporan itu hari ini, Petronas kini mengimport kira-kira 50,000-60,000 tong minyak minyak mentah Iran sehari.

Kini, China, India, Jepun dan Korea Selatan adalah empat pembeli terbesar minyak mentah Iran di Asia.

Sehingga ini, Iran menjual kebanyakan daripada 2.6 juta tong sehari (bpd) yang dieksport di rantau ini. - Bernama"

'via Blog this'

Lapan beranak merempat




SURAYA Ismail bersama tujuh anaknya yang tinggal di tepi tangga di kaki lima tingkat 10, Flat Seri Kelantan, Sentul Pasar, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 23 Mac - Akibat kesempitan hidup, seorang ibu yang disyaki menghidap kanser payu dara, terpaksa merempat di kaki lima bersebelahan tempat pembuangan sampah di sebuah rumah pangsa di sini bersama tujuh anaknya yang masih kecil, sejak seminggu lalu.
Disebabkan keadaan itu, kesemua anak Suraya Ismail, 35, kini menghidap jangkitan kurap di kepala, muka dan anggota badan lain yang memerlukan perhatian perubatan segera.
Kedaifan itu turut menyebabkan tiga anaknya iaitu Nurul Haizatul Ardiela Abdullah, 12; Nurul Anis Farhana Abdullah, 11; dan M. Aieman Hakim Abdullah, 8, terpaksa berhenti bersekolah sejak tiga bulan lepas.
Suraya berkata, dia tidak mampu membeli barangan keperluan untuk keluarganya kerana tiada kerja tetap dan terpaksa merayu belas ihsan jiran tetangga serta saudara-mara untuk mendapatkan bekalan susu buat anak bongsu, M. Fizz Iqram Badrisya Hamidi.
"Keadaan kami sekeluarga bertambah teruk selepas suami saya perlu menjalani program pemulihan dadah di Karak, Pahang sejak tahun lalu. Kami telah dihalau dari rumah kerana gagal membayar sewa yang tertunggak.
"Justeru, saya merayu budi baik sesiapa sahaja yang prihatin terhadap nasib kami sekeluarga untuk menghulurkan bantuan. Anak saya berhak meneruskan persekolahan dan menerima penjagaan yang sebaik-baiknya," ujarnya di sini hari ini.
Tersentuh dengan nasib malang keluarga itu, Pasukan Petugas 1Malaysia MCA Wilayah Persekutuan (MCAFT) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini mengunjungi mereka dan menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan dan wang tunai.
Jelas Penolong Pengarah Bahagian Ekonomi dan Bantuan JKM, Abdul Razak Che Embi, keluarga berkenaan akan ditempatkan di sebuah rumah sementara berdekatan kawasan rumah pangsa tersebut sebelum menerima rumah baru dalam masa yang terdekat.
"JKM juga telah meluluskan permohonan Suraya untuk menerima bantuan kewangan khas RM450 sebulan berbanding kebiasaannya RM350 memandangkan keadaan keluarga ini yang begitu daif," ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Suraya di talian 014-7316541 dan 012-6674184.

Friday, March 23, 2012

Usir Hamza: Gambar buktikan k'jaan tipu, kata NGO

Usir Hamza: Gambar buktikan k'jaan tipu, kata NGO:

NGO Lawyers for Liberty mendakwa gambar-gambar yang diperolehinya membuktikan bahawa kerajaan Malaysia telah berbohong apabila mendakwa wartawan Arab Saudi Hamza Kashgari di itu.ditahan semasa ketibaannya di negara ini.

NONE"Lawyers for Liberty telah memperolehi gambar-gambar menunjukkan Hamza Kashgari sebenarnya berada di negara ini untuk beberapa hari sebelum beliau ditangkap pada 9 Februari, 2012," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan semalam.

NGO itu mendedahkan beberapa gambar yang menunjukkan Hamza berada di Taman Tasik Titiwangsa dan Istana Budaya di Kuala Lumpur manakala satu lagi dirakamkan di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut mereka, gambar-gambar itu menyangkal dakwaan Kementerian Dalam Negeri bahawa Hamzah yang dikehendaki di Arab Saudi, ditangkap semasa ketibaan.

"Menteri Dalam Negeri dan polis mempertahankan kenyataan mereka bahawa Hamza ditangkap apabila tiba di KLIA pada 9 Februari, sedangkan hakikatnya beliau ditangkap oleh pihak imigresen di dewan berlepas KLIA ketika cuba untuk menaiki pesawat ke Auckland, New Zealand selepas tiba di Malaysia pada 7 Februari," kata kumpulan itu.
Hamzai melarikan diri Arab Saudi selepas membuat komen di Twitter yang dianggap menghina Nabi Muhammad, dan mencetuskan kemarahan rakyatnya.
Pada sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW, wartwan berusia 23 tahun itu didakwa menulis kata-kata yang menyinggung perasaan umat Islam.
Hamza Kashgari at KLIA departure hallDalam kicauannya itu, beliau menulis, dia amat mengagumi sifat yang ada pada Nabi tetapi mahu bersalaman dengan baginda bukan sebagai pengikut tetapi setaraf dengannya.

Beliau kemudian memohon maaf dan mahu bertaubat tetapi sekumpulan ulama terkemuka negara itu melabelkan beliau sebagai murtad dan mahu beliau dibicarakan dan dihukum di negara itu.

Menghina Islam dan Nabi adalah satu jenayah yang boleh dihukum mati di Arab Saudi.

'via Blog this'