Thursday, March 22, 2012

Selangor biaya tambang mangsa culik

Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor membiayai kos penerbangan pulang mangsa culik, Nazatul Fardiana Mohd Izwan, 14, yang ditemui di Bangkok, Thailand 11 Mac lalu.

Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari berkata, ibu remaja itu, Norazura Roski, 37, menemuinya meminta bantuan untuk membawa anaknya pulang.

“Ini kerana, remaja itu perlu dibawa pulang melalui jalan udara atas sebab keselamatan. Saya difahamkan, peruntukan Kerajaan Pusat hanya untuk perjalanan darat,” kata Yaakob pada sidang media di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah menghantar dua pegawai untuk mengiringi Norazura ke Bangkok, Jumaat lalu.

Yaakob berkata, Nazatul sepatutnya pulang pada 17 Mac namun ditangguh sehingga 19 Mac bagi membolehkan urusan dokumentasi diselesaikan.

Remaja itu yang tiba di LCCT Sepang jam 8.50 malam 19 Mac, terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Difahamkan, sehingga kini dia masih ditempatkan di hospital itu dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Remaja itu dilaporkan hilang 31 Januari lalu selepas dikatakan keluar ke rumah rakannya sehari sebelum itu.

12 Mac lalu, dia dikatakan menghubungi ibunya memberitahu berada di Thailand dan baru melepaskan diri daripada penculik.

Sehari sebelum itu, dia ditemui di stesen kereta api Hua Lampong, Bangkok bersama lima lagi remaja dari Myanmar berusia antara 15 hingga 17 tahun yang dipercayai turut menjadi mangsa culik.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, Nazatul hingga kini masih trauma dan masih dirawat di hospital.

“Dia hanya beritahu polis diculik dan dibawa dalam sebuah van putih dari Seksyen 9, Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Pada 30 Januari, penuntut tingkatan tiga itu diturunkan ibunya di hentian bas di sini kira-kira 1 tengah hari. Esoknya, apabila dia tidak pulang ke rumah, ibunya membuat laporan polis di sini.

Siapa serah tanah Singapura kepada asing


Datuk Mohd Amar Abdullah 
 Rizal Tahir,
22 Mac 2012
KOTA BHARU, 22 Mac: Kerajaan Umno dan BN diminta menjawab isu Singapura yang telah terkeluar dari Malaysia sebenarnya angkara siapa.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) berkata, sekiranya ingin mempertikaikan soal bangsa  akibat tanah rizab Melayu digadai, beliau meminta kerajaan menjawab siapa yang menyerahkan Singapura kepada pihak luar.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat exco sebagai mengulas  laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 21 Mac, mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Mustapha mendakwa ramai rakyat teraniaya dengan tindakan kerajaan negeri yang dilihat ghairah mengejar pembangunan walaupun tanpa perancangan teliti hingga memajak tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan bumiputera dari luar Kelantan.

Katanya, kalau ingin menyentuh soal tanah yang diberikan pada syarikat bukan Melayu sebagaimana yang didakwa akhbar berkenaan, siapa yang menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew.

“Jika ingin menyentuh tentang bangsa sebagaimana laporan Utusan Malaysia kita boleh menyoal mereka balik, siapa yang menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew.

“Singapura bukan lagi dipajak oleh bangsa asing, malah diberikan sampai bila-bilapun, siapa yang memberikannya sehingga terkeluar dari Malaysia,”ujarnya lagi.

Katanya, begitu juga Pulau Redang diberikan kepada Berjaya Group, Genting Hiland, diberikan kepada Lim Goh Tong, separuh Pulau Langkawi pernah menjadi milik Bon Siew Honda.

Tambahnya, malah  Balik Pulau, Pulau Pinang juga turut dijajah oleh bukan Melayu.

Jadi, sekiranya isu rizab tanah Melayu di Kelantan yang didakwa telah dipajak pada syarikat bukan bumiputera hingga menyusahkan rakyat itu, sepatutnya rakyat perlu menilai tentang tanah rizab Melayu di negeri lain yang sebenarnya makin terhakis.

“Itupun kalau Umno ingin mainkan isu bangsa, kita bukan fitnah perkara memang betul berlaku terutama sekali Singapura di mana rakyat Melayu hanya menumpang sahaja di republik itu,”ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri itu juga berkata, isu tanah rizab Melayu yang dikatakan terancam, tidak berbangkit.

Sambungnya, ini kerana tanah rezab Melayu tidak ditukar status walaupun ianya diberi pajakan, jadi ianya masih kekal sebagai tanah rizab Melayu yang langsung tidak berkurangan atau terhakis.

“Lagipun di Kelantan  tanah ini dipajak seperti disewa kepada individu atau syarikat tidak bertukar milik atau status sebagai contoh selama 66 tahun atau 99 tahun.

“Bila cukup tempoh yang telah ditetapkan dalam perjanjian, ianya akan menjadi hak milik kerajaan negeri semula,”ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, apabila kerajaan memberi pajakan pada syarikat atau individu tentu sekali mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Sambungnya, pertama sekali tanah berkenaan tidak boleh dicagar atau dijadikan jaminan kepada bank, jadi tidak timbul lagi soal tanah rizab kena lelong atau sebagainya.

Nik Amar berkata, laporan berkenaan dibuat kerana tindakan politik untuk menghadapi perang pilihanraya semakin hampir.

Sambungnya, jika diperhatikan ada sifat terdesak di kalangan pemimpin Umno untuk mendapat sokongan rakyat di Kelantan.

“Kerana menyedari isu tanah begitu sansifit termasuk isu air, pihak Umno menjadikannya sebagai modal murah sebagai kempen pilihanraya umum apa lagi tidak mempunyai isu lain untuk menghentam kerajaan negeri,”ujarnya lagi.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru rakyat di negeri itu supaya tidak termakan dengan propaganda murahan yang dimainkan pihak Umno khususnya melalui akhbar pro mereka Utusan Malaysia.

Beliau meminta mereka merujuk kerajaan negeri untuk mendapatkan fakta.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa gembira kerana akhbar berkenaan mengakui rizab tanah Melayu di negeri itu sebanyak 95 peratus daripada lebih sejuta hektar tanah.

Tiada negeri yang mempunyai rizab Melayu yang lebih tinggi berbanding Kelantan sehingga 95 peratus.

Ini bermakna kerajaan BN selama ini telah gagal mempertahankan tanah rizab Melayu di negeri yang diperintah mereka.

Sambungnya, tindakan undang-undang yang bakal diambil tidak bererti kerajaan negeri tidak boleh dikritik, namun apa yang berlaku adalah fitnah.

“Jika niat politik, mengelirukan rakyat apa lagi berniat menghasut rakyat, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,”ujarnya lagi.

Lima sertai perhimpunan haram didenda RM2,000


       
KUALA LUMPUR: Lima individu dihukum penjara sehari dan didenda RM2,000 atau penjara seminggu jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah kerana menyertai perhimpunan memansuhkan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), tiga tahun lepas.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kelima-lima tertuduh di akhir kes pembelaan. Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.


Mereka yang dijatuhi hukuman itu ialah Mohamad Sukri Mohamad Sirat, 27, Syaza Muaz Shaharudin, 22, Norazam Sakib, 47, Zul Sifli Kamma Kutty, 26, dan Hayati Abd Samad, 62.

Mereka didakwa menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang di beberapa kawasan di pekarangan Masjid Negara dekat sini antara jam 9 dan 11 pagi, pada 1 Ogos 2009.


Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun dan denda tidak melebihi RM10,000.


Kelima-lima tertuduh mem- bayar denda berkenaan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim manakala barisan pembelaan diketuai peguam Azizul Shariman Mat Yusoff.


Pada 22 Februari lalu, seramai 11 individu dihukum penjara sehari dan denda RM2,000 oleh mahkamah yang sama kerana menyertai perhimpunan memansuhkan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). - Bernama

Warga tua hilang gembira bertemu semula anak

ZABEDAH (kanan) ditemukan semula dengan Haryati di pejabat JKM, semalam.
ZABEDAH (kanan) ditemukan semula dengan
Haryati di pejabat JKM, semalam.
 

KUALA LUMPUR: Wanita warga tua yang dilaporkan hilang ketika membeli-belah bersama anak dan cucunya di Jalan Masjid India, Ahad lalu, ditemukan semula dengan keluarganya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.

Zabedah Masood, 70, jelas gembira ketika ditemukan semula dengan anak perempuannya, Siti Haryati Ariffin, 43, di pejabat JKM, di sini selepas hampir tiga hari diletakkan di bawah jagaan JKM.
Siti Haryati turut melahirkan rasa syukur kerana ibunya ditemui semula dalam keadaan selamat dengan bantuan polis yang kemudian menghantar warga emas itu kepada JKM Kuala Lumpur.
“Saya amat bersyukur bila mendapat panggilan polis memberitahu ibu saya sudah ditemui dan ditempatkan di rumah perlindungan JKM di Sungai Buloh kira-kira jam 10 malam, semalam (kelmarin). 

“Ketika itu, saya, suami dan seorang anak kami dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mencarinya. 

“Kami lega sejurus menerima berita itu. Saya akan jadikan insiden ini sebagai pengajaran untuk saya dan keluarga,” katanya ketika di temui di pejabat JKM, di sini, semalam. 

Menceritakan semula detik terpisah daripada keluarganya ketika menemankan mereka membeli baju di sebuah gedung pakaian di Jalan Masjid India, Zabedah memberitahu beliau menangis selepas gagal menemui anak serta cucunya. 
“Tidak dapat saya gambarkan perasan masa itu, saya menangis dan jerit panggil nama anak dan cucu tapi gagal berjumpa mereka. 

“Saya menunggu di gedung itu hingga 10 malam tetapi tidak juga berjumpa dengan mereka (keluarga). Mujur ada anggota polis sudi menolong dan hingga jam 1 pagi saya tunggu di sebuah balai polis bergerak sebelum dihantar ke Anjung Singgah (rumah bagi golongan gelandangan),” katanya. 

Zabedah berkata, kegagalannya untuk mengingati nombor telefon anak atau saudara mara menyebabkan polis dan JKM gagal menghubungi keluarganya. 

Siti Haryati yang tinggal di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor Bahru datang ke ibu negara untuk menemankan anaknya menghadiri pertandingan hoki di sini, sebelum singgah di Jalan Masjid India untuk membeli pakaian bersama suami, tiga anak serta Zabedah.

Wednesday, March 21, 2012

Semua pemimpin Islam patut tinggalkan Umno


Rizal Tahir,21 Mac 2012
KOTA BHARU, 21 Mac:Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat, semua pemimpin Umno beragama Islam sepatutnya sudah lari meninggalkan Umno sebagaimana Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil.

“Sepatutnya semua orang Umno yang beragama Islam lari dari menyertai perjuangan kebangsaan,”ujarnya.

Bagi beliau, setelah Umno semakin menyimpang dari perjuangannya, amat wajar lebih ramai pemimpin Umno keluar parti itu dan bukan hanya Tan Sri Abdul Kader sahaja.

Nik Abdul Aziz berkata sepatutnya pemimpin Umno telah ramai dan sudah lama keluar dari parti itu untuk menyertai PAS.

Tambahnya, ini kerana perjuangan PAS  sendiripun ditubuh oleh  Biro Agama Umno yang  menyedari perjuangan parti itu tidak selari dengan kehendak Rasulullah.

Menyentuh tentang penarikan diri Kadir sebagai ahli Umno oleh Datuk Kader, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai sudah terlewat.

Ini kerana katanya  Umno sudah pecah serta berbau busuk menembusi hidup seluruh rakyat di negara ini Kader baru berbuat demikian.

“Ketika suasana begini baru istihar keluar Umno, jadi rasanya sudah tidak begitu strategik lagi,”ujarnya.

Katanya, rakyat juga sepatutnya sudah lama tidak menyokong Umno dan BN dengan gejala buruk seperti rasuah, penculikan kanak-kanak, penyalahgunaan wang zakat dan berbagai lagi.

Sambungnya, gejala itu berlaku berikutan pemimpin salah mentadbir negara seumpama memandu sebuah kereta yang tidak mempunyai ‘break’, akibat kerosakan.

Sambungnya, tidak ada perkara yang boleh menyekat golongan itu dari melakukan perkara mungkar ekoran break (iman) yang telah rosak.

Katanya lagi, pengertian maksiat juga telah disempitkan oleh manusia yang hanya melihat pada perbuatan zina sahaja, sedangkan derhaka pada Allah juga sebagai maksiat.

“Apa sahaja perbuatan yang derhaka kepada Allah, zina, tak solat, rasuah, culik manusia dan berbagai lagi adalah perbuatan maksiat,”ujarnya.

Tambahnya, ini kerana manusia sudah tidak ada lagi kuasa radhi’ (kuasa menyekat) dari mereka melakukan kejahatan.

Semua pemimpin Islam patut tinggalkan Umno:

Ubah wang haram RM935,000

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

SHAH ALAM 20 Mac - Bekas Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Hasbie Satar hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 28 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram sebanyak RM935,000 antara Disember 2008 dan Jun 2009.
Hasbie yang sebelum ini berdepan dengan tuduhan serupa melibatkan wang RM2.13 juta di Butterworth, Pulau Pinang pada awal tahun lalu, mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan tersebut selepas kesemuanya dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
Bagi 28 pertuduhan ini, Hasbie, 39, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mendepositkan kesemua wang tunai itu ke dalam akaun bank milik 11 individu termasuk beberapa ahli keluarganya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank, CIMB, RHB dan Tabung Haji di beberapa lokasi seperti Salak Tinggi, Sepang; Bandar Baru Bangi serta Putrajaya antara 14 Disember 2008 dan 18 Jun 2009.
Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Ketua Unit Pelucutan Hak Harta, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam negara, Anselm Charles Fernandis menawarkan jaminan RM100,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.
Pihak pendakwaan turut memohon agar kesemua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth untuk dibicara bersama kes yang dihadapi oleh Hasbie di negeri tersebut.
Sementara peguam Y. Sheelan Samuagam yang mewakili Hasbie memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya hanya dikenakan jaminan RM60,000 bagi kes sebelum ini sedangkan jumlah wang yang terlibat lebih besar.
Aslam kemudiannya menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Butterworth, sebaliknya beliau mengarahkan kesemua 28 pertuduhan itu dibicara bersama di sini.
Beliau turut membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM90,000 beserta seorang penjamin serta menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes itu.
Pada 10 Februari tahun lalu, Hasbie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram sebanyak lebih RM2.13 juta.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di alamat 4-10 Pangsapuri Sri Molek, Jalan Laksamana, Telok Air Tawar, dekat sini pada 11 Februari 2010.
Hasbie kemudian memohon dia dilepas tanpa dibebaskan dengan alasan kertas pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan cacat dan tidak jelas tetapi ditolak mahkamah.

'via Blog this'

Anwar saman Nalla, Utusan RM100j

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:




Anwar Ibrahim, S. Nallakaruppan



KUALA LUMPUR 20 Mac - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan tindakan undang-undang ke atas Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan dan Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) berhubung penyiaran berita ‘Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang-Nalla’ di akhbar ini hari ini.
Menurut Naib Presiden PKR, N. Surendran, Anwar melalui firma Edwin Lim Suren & Soh hari ini menghantar surat tuntutan bagi meminta UMMB dan Utusan Malaysia menarik semula berita itu, memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta ekoran penyiaran artikel tersebut.
“Notis serupa telah dihantar kepada Nallakaruppan dan Anwar mengambil tindakan ini demi kepentingan awam,” katanya.
Surendran berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi blog Anwar di http://anwaribrahimblog.com hari ini.
Nallakaruppan bagaimanapun sehingga kini belum menerima writ saman tersebut.
Dalam satu sidang akhbar semalam, Nallakaruppan secara terbuka mendakwa Anwar seorang biseksual dan tidak layak untuk mengetuai pembangkang di negara ini.

'via Blog this'

Dua beradik derita diebetes

Dua beradik derita diebetes - Melaka & NS - Sinar Harian:
WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mac 2012
Dua beradik derita diebetes
JASIN – Akibat penyakit diebetes yang dihidapi sejak lima tahun lalu, dua beradik di Kampung Serkam Darat, di sini kini hidup dalam kesempitan hidup kerana tidak mampu bekerja.
Sebelum ini, Zamri Atan, 32, bekerja di kantin sebuah kilang, bagaimanapun terpaksa berhenti sejak dua tahun lalu akibat luka di tapak kakinya yang berlubang semakin teruk.
“Bukan saya tidak mahu bekerja tetapi apabila bekerja banyak bergerak kaki akan bertambah teruk. Sudah tiga kali kaki saya dibedah dan sehingga sekarang setiap hari perlu mengambil insulin,” katanya.
Menurutnya, permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak dua kali sejak empat tahun lalu tidak diluluskan atas alasan dirinya masih mampu bekerja untuk menanggung kehidupan sendiri.
Sementara itu, abangnya, Ramlan, 40, turut mengalami nasib sama apabila jari kakinya dipotong sejak dua bulan lalu akibat penyakit sama.
Akibatnya, dia juga sukar untuk bergerak dan bekerja sebagai tukang masak kerana akan menyebabkan luka lambat pulih dan kaki semakin membengkak.
“Tugas sebagai tukang masak, ada kerja ada gaji. Sekarang ini, saya masih tidak bekerja menjadi pembantu kedai kerana kaki membengkak,” katanya.
Kedua-dua mereka kini hidup dengan simpati abang dan adik mereka yang bekerja kilang.

'via Blog this'

Tanah rizab Melayu: Kelantan saman Utusan


(Laporan Utusan hari ini yang membawa tindakan saman ke atas akhbar itu)



KOTA BHARU, 21 Mac: Kerajaan negeri Kelantan mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia yang memfitnah mereka berkaitan isu tanah.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

"Laporan itu kami sifatkan sebagai tidak berfakta, menghasut agar membenci kerajaan negeri dan fitnah," kata Dr Mohd Fadhli Hassan, Exco kerajaan negeri Kelantan.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan muka depan kononnya rakyat Kelantan dianiaya ekoran dakwaan tindakan kerajaan negeri memajak tanah kepada syarikat bukan bumiputra.

Laporan itu memetik kenyataan Datuk Mustapha Mohamad, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar notis saman kepada Utusan ekoran laporan media itu yang mendakwa beliau seorang biseksual.

Anwar menuntut penarikan balik berita itu, permohonan maaf dan bayaran gantirugi RM100 juta.

Dr Fadzli, exco penerangan Kelantan dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan tindakan itu dilaksanakan.

"Laporan itu berunsur fitnah dan ada niat politik untuk burukkan Kelantan," kata Dr Fadzli selepas menghadiri mesyuarat Exco pagi ini.

Beliau mempertikaikan, bagaimana akhbar itu boleh menyiarkan berita sebegitu sedangkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang dikatakan dilelong dan sebagainya tidak berbangkit langsung kerana ia tidak dijual.

Susilo cuba diguling?



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mac 2012
Susilo cuba diguling?
JAKARTA - Polis Indonesia akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan presiden Susilo Bambang Yudhoyono bahawa ada kumpulan cuba untuk menggulingkannya melalui satu rampasan kuasa sebelum 2014.

Bagaimanapun, beberapa pihak lain menolak dakwaan Susilo itu dan menganggap ia sebagai ‘usaha’ untuk mengalihkan perhatian terhadap rancangan kerajaan bagi menaikkan harga bahan api.

Ketua Polis Nasional, Timur Pradopo berkata, semasa mesyuarat bersama Parti Demokratik pada Ahad lalu, presiden mendedahkan kewujudan kumpulan yang telah mula bergerak dalam senyap untuk menjatuhkannya.

Menurutnya, Susilo mendakwa kumpulan tersebut akan menggunakan momentum kenaikan harga bahan api untuk mencetuskan provokasi dan hasutan.

“Setiap hari saya menerima pelbagai mesej berbentuk sokongan dan ada juga yang berbaur ugutan,” kata presiden itu.

Dakwaan pemimpin tersebut turut mendapat reaksi dari ahli parti gabungannya termasuk timbalan pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Nasir Ali yang menyifatkan kenyataan presiden itu hanya akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.

“Sebagai pemimpin tertinggi negara, beliau sepatutnya kuat menghadapi cabaran dan bukannya merungut untuk menunjukkan dia seorang lelaki yang lemah,” jelasnya.

Rais: 716 aduan berkaitan kandungan laman sosial tahun lepas




21 Mac 2012
Rais Yatim
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 716 aduan berhubung kandungan laman sosial seperti Facebook dan Twitter pada tahun lepas, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 289 merupakan aduan berkenaan kandungan jelik atau mengancam, kandungan palsu (247), kandungan lucah dan sumbang (40), penggodaman (124) manakala yang lain sebanyak 16 aduan.

Selain laman rangkaian sosial, SKMM juga menerima 1,112 aduan berkaitan laman web, blog dan emel, katanya semasa menjawab menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rais berkata SKMM juga menerima 693 aduan berkaitan phishing (percubaan mengambil data dari kumpulan data pihak lain).

"Masalah penyamaran, penipuan dan salah guna laman rangkaian sosial berpunca daripada perasaan seronok untuk meluaskan pandangan masing-masing melaluinya; tanpa mengambil kira aspek negatif yang timbul akibat perbuatan itu.

"Sebahagian anggota masyarakat lupa kita mempunyai kekangan dan cara hidup yang harus dilandaskan kepada nilai-nilai murni, agama dan amalan budaya," katanya.

Beliau berkata tidak kurang 15 kes telah diambil tindakan di mahkamah tetapi masyarakat masih perlu diberi didikan dan penerangan mengenai perkara itu.

"Penggunaan jalur televisyen, ceramah dan ikhtiar pencegahan terus dilaksanakan dan pengurangan dilihat menggalakkan. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam bentuk kekangan sosial yang diperlukan," katanya.

Kepada soalan sama ada kementerian bercadang memantau atau menyekat akaun Facebook yang sering dicemari penyalahgunaan, Rais berkata setiap kandungan atau komen yang dibuat pengguna laman sosial tidak melalui sebarang proses tapisan, kelulusan atau penilaian mana-mana pihak berkuasa termasuk SKMM.

Beliau berkata semua kandungan rangkaian adalah tertakluk kepada undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Selain pendakwaan di mahkamah, SKMM juga mengambil tindakan menyekat akses ke laman-laman web untuk meningkatkan kesedaran dari semasa ke semasa kepada orang ramai tentang isu sosial dan teknologi yang dihadapi pengguna internet," katanya. - Bernama

Nik Aziz: Yahudi lain, Zionis lain



NORHASRAM MOHAMAD
20 Mac 2012
Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan, kekeliruan orang ramai selepas Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan yang hanya menentang urus niaga dengan kerajaan Zionis yang menguasai tanah Palestin secara haram.

Nik Abdul Aziz berkata, Yahudi merupakan bangsa seperti bangsa-bangsa lain di dunia sedangkan Zionis sebagai ‘parti’ dalam Yahudi itu sendiri.

Katanya, Yahudi lain, Zionis lain kerana Zionis merupakan parti dalam Yahudi yang mempunyai agenda jahat sejak lebih 100 tahun lalu.

“Yahudi ni bangsa, bangsa tidak ada yang jahat tapi yang jahatnya ialah manusia, begitu juga Melayu dan Arab, Melayu dan Arab tidak jahat tapi yang jahatnya ialah perangai orang Melayu dan Arab itu sendiri.

“Orang Yahudi tidak minta untuk jadi Yahudi dan saya sendiri tidak nak jadi Melayu tapi bangsa saya bangsa Melayu, apa boleh buat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan kelmarin mempertahankan kenyataan Abdul Hadi dengan mendakwa berurus niaga dengan Zionis bererti mengiktiraf kewujudan mereka.

Beliau juga kecewa kerana larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994.

Kenyataan Abdul Hadi sebelum ini mendapat respons daripada pimpinan Umno termasuk Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menganggap Pas tidak konsisten apabila menyokong umat Islam bekerjasama dan menjalin hubungan dengan Yahudi.

Mohd Shafie berkata, kenyataan itu menunjukkan parti Pas menyimpang daripada prinsip asal mereka.

Ketika menjawab soalan media selepas sesi dialog program bersama pemimpin bagi mengutip dana menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 di Pusat Konvensyen Shah Alam Sabtu lalu, Abdul Hadi menegaskan, Pas tidak akan bekerjasama dengan negara yang mengamalkan fahaman Zionis.

Katanya, berniaga dengan Yahudi dibolehkan kerana Nabi Muhammad SAW juga pernah berurus niaga dengan bangsa itu ketika berada di Madinah.

Pas katanya, menolak Zionis kerana ia kefahaman anarki Yahudi yang menganggap bangsa Yahudi sebagai bangsa mulia serta menganggap bangsa lain adalah binatang.

Azmin, isteri didesak isytihar harta

Azmin, isteri didesak isytihar harta - Nasional - Sinar Harian:
WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mac 2012
Azmin, isteri didesak isytihar harta
SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan isteri, Shamsidar Taharin didesak mengisytihar keselu­ruhan harta bagi membuktikan mereka tidak mempunyai saham mencecah RM2 juta.

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari, 42, berkata, ia adalah kerana semasa Azmin bekerja dengan Anwar pada 1992 hingga 1994, gajinya tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Menurutnya, oleh sebab itu beliau mendesak Azmin menjelaskan dari mana beliau mendapat saham dan wang tersebut dalam akaun pada waktu itu.

“Saya membuat laporan polis pada 17 November 2009 berhubung pemilikan saham oleh Timbalan Presiden PKR dan isterinya. Saya juga telah menyerahkan salinan dokumen asal,” katanya.

Katanya, Azmin tidak mungkin mempunyai wang sebanyak itu kerana setahunya, isteri Azmin tiada kerja tetap dan tiada kerja sambilan lain.

Sebelum ini beberapa akh­bar melaporkan Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, SA Vickneswaran mendakwa memiliki dokumen berkaitan urusan pembelian saham melibatkan Azmin dan isterinya, Shamsidar termasuk iparnya, Jamal Taharin yang mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an.

Anuar pada 2004 pernah menjadi Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum mengumumkan keluar parti PKR pada Mei 2007.

'via Blog this'

Tuesday, March 20, 2012

'Tiada desakan mana-mana pihak keluar UMNO'

Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir
Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir

KUALA LUMPUR: Bekas veteran UMNO, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir semalam menegaskan keputusannya untuk keluar daripada UMNO dibuat tanpa desakan mana-mana pihak.

Beliau yang dihubungi pemberita bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebab mengapa keputusan keluar daripada parti keramat Melayu itu dilakukan.
Katanya, persoalan berkaitan karier dan perjalanannya dalam politik hanya akan dijelaskan secara terperinci pada satu sidang media yang akan diadakan di pejabatnya di Mines Waterfront Business Park, Mines Resort City, jam 10 pagi, Jumaat ini.
Kita akan adakan sidang media nanti (Jumaat ini). Di situ, saya akan jelaskan semua perkara, termasuk sebab musabab berhubung pengumuman keluar daripada UMNO serta tumpuan saya selepas ini. - Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir
“Kita akan adakan sidang media nanti (Jumaat ini). Di situ, saya akan jelaskan semua perkara, termasuk sebab musabab berhubung pengumuman keluar daripada UMNO serta tumpuan saya selepas ini,” katanya. 

Semalam, dalam satu kenyataan ringkas yang diterima media, bekas menteri Kabinet itu mengisytiharkan keputusannya untuk keluar daripada UMNO mulai semalam.

Beliau yang tidak menyatakan sebab pengunduran itu turut memaklumkan sudah pun mengirimkan surat (keluar daripada UMNO) kepada Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Minggu lalu, Abdul Kadir meletakkan jawatannya selaku Bendahari UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, iaitu jawatan terakhirnya dalam UMNO. 
Isu itu timbul apabila sebuah berita portal melaporkan Abdul Kadir mendakwa beliau diberikan sejumlah wang tunai dan diagihkan kepada pengundi antara RM200 hingga RM1,000 bertujuan membeli undi pada pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu, baru-baru ini Abdul Kadir menyatakan wang yang digunakan untuk kempen pilihan raya umum lalu bagi membeli undi disifatkan sebagai taktik ‘bom’.

Syria terus dihujani peluru, bom

Syria terus dihujani peluru, bom - Global - Sinar Harian:
Syria
DAMSYIK - Pasukan keselamatan Syria bertempur dengan kumpulan bersenjata di kawasan kejiranan golongan kelas atasan di daerah Mazzeh, barat Damsyik yang menempatkan kediaman kedutaan asing dan pegawai kanan sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya tiga terbunuh.

Pusat kemudahan keselamatan di Damsyik turut menjadi sasaran baru serangan pengeboman sejak Sabtu lalu.

Menurut saksi, bandar itu terus dibedil dan dihujani peluru selepas pasukan keselamatan menyerbu apartmen yang kononnya menjadi tempat persembunyian pengganas bersenjata di Mazzeh.

Kerajaan berterusan menuduh pengganas asing sebagai dalang bertanggungjawab melancarkan beberapa siri pengeboman di Damsyik tetapi pihak pembangkang berkeras menyatakan ia adalah helah rejim presiden Bashar al-Assad sejak setahun lalu.

Kelmarin, tiga orang dilaporkan terkorban dan sekurang-kurangnya 25 lagi cedera dalam insiden pengeboman kereta di utara bandar Aleppo.

'via Blog this'

Pas minta Yayasan Terengganu beri pelajar peluang kedua

Satiful (tiga dari kanan) ketika pertemuan dengan Zakaria (empat dari kanan) di Bangunan Yayasan Ter
KUALA TERENGGANU – Pas berharap Yayasan Terengganu memberi peluang kedua kepada pelajar-pelajar yang ditarik balik pinjaman kerana dikatakan terlibat dengan perhimpunan haram berkaitan Bersih 2.0 di Mesir, tahun lalu.

Justeru, budi bicara yayasan yang bertanggungjawab meluluskan pinjaman kepada pelajar di negeri ini amatlah ditagih kerana rata-rata pelajar yang dikenakan tindakan itu memiliki latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa pelajar yang terlibat boleh membuat rayuan dan keputusan bakal diketahui sebaik mesyuarat lembaga pengarah Yayasan Terengganu  diadakan pada 10 April ini.

“Kita dimaklumkan bahawa pelajar boleh membuat rayuan yang mana pinjaman mereka ditamatkan kerana hadir ke perhimpunan Bersih di Kaherah (Mesir) dan mereka sebenarnya boleh membuat rayuan.

“Justeru, kita (Pas) harap Yayasan Terengganu mengembalikan pinjaman mereka berdasarkan budi bicara, malah kita difahamkan mereka terlibat dalam perhimpunan bukan di bawah tajaan mana-mana parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika hadir menemui Pengarah Yayasan Terengganu, Zakaria Yusof bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu di Bangunan Yayasan Terengganu di sini, semalam.

Menurut Satiful Bahri lagi, adalah tidak wajar tindakan diambil berdasarkan maklumat dan gambar yang diambil menerusi laman sosial Facebook dan blog-blog kerana belum tentu kesemua mereka terlibat dalam demostrasi berkenaan.

Katanya lagi, berdasarkan maklumt yang diperoleh pihaknya berhubung latar belakang keluarga pelajar-pelajar yang ditarik balik pinjman berkenaan adalah terdiri daripada kelurga yang tidak berkemampuan.

“Daripada sembilan pelajar yang ditarik balik pinjaman berkenaan, dua daripada mereka mengambil jurusan perubatan dan sudah pasti ia memerlukan kos yang tinggi, justeru kita berharap Yayasan Terengganu mempertimbangkan sebaiknya perkara ini tanpa campur tangan politik,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan Kerajaan Negeri membatalkan serta-merta penajaan pendidikan di bawah Yayasan Terengganu ke atas enam pelajar lelaki setelah didapati bersalah terlibat dalam demostrasi di Mesir baru-baru ini.

Keenam-enam pelajar yang sedang menuntut di beberapa universiti di Mesir itu didapati bersalah kerana terlibat dalam demostrasi rentetan usaha untuk mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Bersih yang menimbulkan kontroversi di dalam negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keputusan untuk menarik balik tajaan ke atas pelajar berkenaan diteliti selepas mengambil kira kesahihan penglibatan mereka yang secara jelas telah melanggar peraturan.
Pas minta Yayasan Terengganu beri pelajar peluang kedua - Politik - Sinar Harian:

Wanita dikait kes khalwat Badrolamin tuntut fasakh

Wanita dikait kes khalwat Badrolamin tuntut fasakh - Nasional - Sinar Harian:
wanita-kes khalwat
ROMPIN - Wanita dikaitkan dalam kes khalwat dengan Ahli Majlis Pimpinan PKR, Dr Badrolamin Bahron menarik balik permohonan cerainya di Mahkamah Rendah Syariah Rompin, di sini, semalam.

Wanita berusia 28 tahun itu, hadir kira-kira jam 9 pagi berseorangan­ ke mahkamah itu untuk membuat tuntutan notis penarikan balik kes tersebut di hadapan Hakim Syarie, Abu Kassim Pilus.

Bagaimanapun, alasan penarikan tuntutan penceraian tersebut tidak dinyatakan.

Malah, suami wanita terbabit guru berusia 32 tahun juga tidak hadir pada prosiding itu.

Sementara itu, wanita terbabit ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia akan mengemukakan Fasakh di Mahkamah Tinggi Kuantan.

“Saya menarik balik tuntutan kerana mahkamah rendah syariah tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan kes fasakh,” katanya.

Wanita itu sebelum ini, memfailkan penceraian pada pertengahan Januari lalu dan prosiding pertama dijalankan pada 27 Februari lalu.

Badrolamin sebelum ini, memaklumkan beliau mengenali wanita yang bekerja di sebuah institusi kemahiran di Rompin itu, sejak kira-kira setahun lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) tidak membuat sebarang dakwaan terhadap Badrolamin dan wanita tersebut.

'via Blog this'

Harga minyak: PDI-P rancang tunjuk perasaan

myMetro | Harga minyak: PDI-P rancang tunjuk perasaan:JAKARTA: Parti pembangkang terbesar negara ini, Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) sedia melancarkan tunjuk perasaan dan langkah tertentu untuk membantah rancangan kerajaan menaikkan harga bahan api subsidi mulai 1 April depan.
Lembaga eksekutif pusat parti itu telah mengeluarkan pekeliling dihantar ke semua pejabat parti hingga ke peringkat daerah yang mengandungi arahan bagi meningkatkan tindakan terhadap kenaikan harga bahan api, kata Setiausaha PDI-P, Tjahjo Kumolo. “Kami mengarahkan semua ahli Parlimen dan kaunselor daerah mengedarkan mesej bantahan di bawah pemerintahan mereka,” katanya.

'via Blog this'

Izatil tarik balik permohonan cerai

Kosmo! Online - Negara:


IZATIL ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Rompin semalam.


ROMPIN – Seorang wanita yang sebelum ini dikaitkan dengan satu kes kontroversi di Kuantan, Pahang, akhir bulan lalu bertindak menarik balik permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Rompin di sini semalam.
Sebaliknya, Izatil Iwani Rashid, 28, yang bertugas sebagai juruteknik di sebuah kolej kemahiran di sini memutuskan akan membuat tuntutan fasakh terhadap suaminya, Fazli Pungut, 32, di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.
Wanita itu yang hadir ke mahkamah seorang diri membuat tuntutan notis tarik balik tersebut di hadapan Hakim Syarie Abu Kassim Pilus di dalam kamar hakim.
Bagaimanapun, semasa ditemui pemberita, Izatil tidak menyatakan alasan tertentu berhubung tindakan menarik balik permohonan cerai tersebut.
“Saya terpaksa tarik balik tuntutan tersebut (permohonan cerai) kerana mahkamah rendah syariah tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan kes fasakh,” katanya ringkas.
Dia yang mempunyai seorang anak lelaki berumur lapan tahun hadir ke mahkamah pada pukul 9 pagi, manakala suaminya, Fazli, yang merupakan seorang guru tidak kelihatan.

'via Blog this'

Monday, March 19, 2012

Kes kanak-kanak hilang: Usah tuding jari, ambil iktibar

Kes kanak-kanak hilang: Usah tuding jari, ambil iktibar - Nasional - Sinar Harian:
kanak-kanak hilang
JANGAN cepat membuat spekulasi, sebaliknya ambil iktibar ke atas siri pembunuhan, penculikan atau kes hilang anak yang berlaku di negara ini. Kepekaan masya­rakat juga tidak boleh hanya secara bermusim atau menunggu apabila sesuatu kejadian dihebahkan menerusi media.

Sebaliknya, perasaan takut jika anak diperlakukan penjenayah adalah perlu pada setiap saat. Pada masa sama, jangan gemar mencari kesalahan orang lain sekiranya berlaku tragedi tragis melibatkan kanak-kanak.

Ini kerana, setiap kali masyarakat­ digemparkan berita anak hilang disusuli tragedi menyayat hati, ramai seolah-olah menuding jari kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit.

Berikutan beberapa siri pembunuhan dan kehilangan kanak-kanak sebelum ini, wujud segelintir pandangan yang mengecam keluarga mangsa sebagai kurang prihatin kerana membiarkan anak yang masih kecil keluar rumah tanpa pengawasan orang dewasa.

Nurin Jazlin Jazimin, 8, Sharline Mohd Nashar, 5, Asmawi Jalaludin, 11, dan kes terbaru, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, antara kanak-kanak yang ditimpa musibah selepas keluar rumah bersendirian, walaupun jarak dari tempat kediaman tidaklah sejauh mana.

Ibu Nurin Jazlin, Norazian Bistaman, 40, mengatakan, orang ramai jangan terus mencari salah atau keburukan sesiapa apabila tragedi berlaku, sebaliknya mengambil iktibar ke atas apa yang menimpa Nurin Jazlin atau kejadian seumpamanya, seperti mana dia dan keluarganya alami kini.

Suaminya, Jazimin Abdul Jalil, 38, mencelah bahawa kejadian Nurin Jazlin bukanlah semudah disangkakan oleh orang ramai kerana sememangnya mereka berdua tidak pernah membiarkan anak keduanya itu mahupun anak yang lain keluar rumah bersendirian untuk tempoh lama atau keluar bermain sehingga larut malam.

“Jika saya dan isteri seperti itu, mungkin kami boleh ditohmah cuai. Lagi pula, sebelum malapetaka tersebut, Nurin Jazlin bukan seorang yang gemar keluar bersendirian dan dia bukan mudah ikut orang tidak dikenali. Saya kenal anak saya,” tegas Jazimin.

Tambahnya, dia beranggapan anaknya itu hilang ketika berada sekitar tangga berhampiran rumah dan direntap secara pantas oleh pembunuhnya.

“Mungkin juga ini berlaku kerana tiada siapa yang tahu. Apa yang hendak saya katakan ialah, kejadian di luar dugaan dan boleh terjadi kepada sesiapa pun,” katanya.

Norazian menambah, terdapat sesetengah tohmahan orang ramai seperti keterlaluan­, namun kepahitannya ditanggung jua sambil dia sekeluarga meniti iktibar peristiwa lalu.

“Saya dan suami melalui kepahitan dahsyat sehingga saya takut melihat beg pakaian. Saya trauma untuk membayangkan mayat anak saya yang diperosok ke dalam beg. Selama hampir lima tahun ini, saya hanya menggunakan plastik. Oleh itu, saya tekad tidak mahu kejadian dulu berulang,” katanya.

Tegas wanita itu, dia tidak mahu kebahagiaan bersama kesemua permata hatinya, Nurin Jazshira, 14, Nurin Jazrina, 11, Nurin Jazlisa, 6, dan Jazley Nazril, setahun tiga bulan diragut lagi.

“Saya berpegang kepada peringatan ini, kerana pembunuh kak ngah (panggilan mesra Nurin Jazlin) masih tidak ditangkap.

“Kini kami lebih berhati-hati dengan mengajar anak-anak yang lain supaya tidak dekat dengan orang yang tidak dikenali dan selalu beri peringatan supaya mereka berjalan dalam kumpulan ketika pulang dari sekolah.

“Oleh itu, saya berpesan supaya masyarakat mengambil iktibar buat selama-lamanya. Bukan secara bermusim atau menunggu apabila kes kanak-kanak hilang dilaporkan media, baru hendak ketakutan atau berjaga-jaga,” akhiri Norazian.

Berkongsi perasaan ialah ibu Sharline, Suraya Ahmad, 32, yang juga inginkan masyarakat mengambil iktibar ke atas peristiwa menimpa kanak-kanak itu yang hilang tanpa dapat dijejak lagi.

“Apa yang berlaku kepada keluarga kami diharap menjadi pengajaran berharga buat ibu bapa lain kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya,” kata Suraya yang kini menetap di Kampung Padang Pulut, Dungun, Terengganu.

Suraya bersetuju bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya diizinkan keluar bersendirian tanpa pengawasan ibu bapa.

“Sedikit sahaja kealpaaan maka natijahnya boleh membawa derita seumur hidup,” ujar wanita tabah itu.

Walau apa juga berlaku, Suraya tetap menyemat harapan, bahawa Sharlinie akan pulang ke pangkuannya dan suami, Mohd Nashar Mat Hussain, 33, suatu hari kelak.

Seorang lagi wanita yang melalui kepahitan akibat hilang anak ialah Rozita Abu Hassan, 55.

Baginya, kehilangan Asmawi atau Awie pada 2008 sukar untuk diterjemahkan puncanya berikutan anak bongsunya itu lenyap tiada khabar sehingga sekarang.

“Pada hari kejadian, Awie tidak membawa wang dan bukan seorang diri. Sebaliknya dia berjalan dengan seorang rakan baiknya.

“Namun kawannya itu sampai ke rumah dahulu. Kemudian dia hilang dalam perjalanan pulang dan jaraknya bukanlah jauh dari rumah saya.

'via Blog this'

Isu Yahudi-Zionis: Nik Aziz pertahan Hadi - Politik

Isu Yahudi-Zionis: Nik Aziz pertahan Hadi - Politik - Sinar Harian:
Nik Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin sambil menegaskan, pihaknya hanya menentang urusniaga dengan kerajaan Zionis, yang menurutnya menguasai tanah Palestin secara haram.
Kelmarin, Abdul Hadi berkata, aktiviti urusniaga dengan Yahudi dibenarkan, tetapi bukan dengan Zionis.
Kenyataan itu mengundang kritikan pemimpin-pemimpin Umno yang menyifatkan Pas sebagai parti tidak konsisten.
"Adapun yang ditentang oleh Pas ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan Zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.
"Berurusniaga dengan kerajaan Zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu kata beliau, menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel.
Beliau seterusnya berkata, "hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalin hubungan dagang dengan negara Israel."
Dengan merujuk kepada soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd Hatta Ramli di Dewan Rakyat Selasa lalu, Nik Abdul Aziz berkata, agar mengejutkan apabila jawapan diberikan oleh Menteri Kewangan menyebut larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994.
Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
"Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel?
"Hairan saya, tidak malukah akhbar milik Umno memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia- Israel," katanya lagi.
Dalam kenyataannya hari ini, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, hakikatnya menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi.
"Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi? Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka.
"Demikian juga dengan mereka yang mengaku Muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan.
"Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi," katanya lagi.

'via Blog this'