Saturday, March 20, 2010

Pendedahan Zahrain: Rakyat harus beri perhatian serius



KUALA LUMPUR 19 Mac - Pendedahan mengejutkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berhubung 'tembelang' Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan Pusat '16 September' harus diberi perhatian serius oleh rakyat di negara ini.
Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, sekiranya benar segala yang didedahkan itu, negara ini berpotensi mempunyai pemimpin yang pandai berbohong dan membelitkan fakta.
Beliau berkata, tindakan tersebut akan menjadi amat berbahaya sekiranya pembohongan ini diperluaskan untuk mengaburi mata rakyat kerana ia menandakan sikap pemimpin jahat yang sanggup memanipulasi orang lain demi kepentingan peribadi.
"Seluruh pemimpin negara harus memberikan perhatian yang serius kepada mereka yang suka memutarbelitkan fakta atau berbohong kerana ia boleh mengancam keselamatan negara.
"Tindakan berani mendedahkan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu merupakan satu perkara yang wajar untuk dilakukan bagi menegakkan integriti moral di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan Zahrain yang menggemparkan sidang Dewan Rakyat semalam apabila beliau mendedahkan Anwar 'menjaja' nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, kononnya Seri Paduka menunggu di istana untuk mengesahkan jumlah ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang melompat parti untuk menyertai pembangkang.
Tambah Zahrain, Anwar mengakui bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan Persekutuan sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menyokong pelantikan tersebut.
Selain itu, Zahrain turut mendakwa Anwar telah berbohong kononnya salah seorang Timbalan Speaker Dewan Rakyat akan mempengerusikan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan dan menyokong pakatan pembangkang mengambil alih Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian pula menyifatkan, tindakan Anwar yang dikatakan menggunakan nama kedudukan pemimpin tertinggi dalam negara itu merupakan satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, tindakan Anwar sebegitu hanya akan mengundang keadaan yang buruk kepada negara kerana menggunakan pendekatan yang melanggar 'arus' semata-mata untuk membolehkan beliau mentadbir kerajaan.
"Masyarakat bukan sahaja mahu pemimpin yang berwibawa tetapi juga mempunyai prinsip.
"Pemimpin harus menggunakan kedudukan untuk memenuhi keperluan masyarakat dan bukannya merebut jawatan semata-mata," katanya.

No comments:

Post a Comment