Saturday, March 20, 2010

Anuar mahu pihak berkuasa siasat Aasil sepenuhnya



KUALA LUMPUR 19 Mac – Pihak berkuasa diminta menyiasat sepenuhnya pembabitan rakyat Pakistan, Aasil Kazi Ahmad dalam kes kehilangan Raja Petra Raja Kamaruddin ekoran pendedahan terbaru individu terbabit oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim di Parlimen semalam.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, dalam sesi perbahasan tersebut Zahrain telah mendedahkan Aasil yang kini bekerja sebagai Pegawai Khas kepada Anwar disifatkan sebagai seorang yang amat berkuasa.
Sehubungan itu beliau berkata, permintaan Zahrain supaya Aasil disiasat perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa kerana pegawai kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikatakan amat berbahaya.
‘‘Pihak berkuasa tidak boleh membiarkan Aasil terus bebas kerana beliau seorang yang amat berkuasa dan berbahaya walaupun hanya bekerja sebagai Pegawai Khas kepada Anwar.
‘‘Saya sendiri telah memberi maklumat mengenai penglibatan Aasil dalam usaha mengesan kedudukan terkini Raja Petra dan kali ini Zahrain pula meminta Aasil disiasat. Pihak berkuasa perlu mengambil serius tentang perkara ini,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Zahrain dalam perbahasan Parlimen semalam yang antara lain menyebut Aasil merupakan pegawai khas kepada Anwar dan dianggap amat berkuasa.
Antaranya Zahrain berkata, ialah mengenai tindakan Aasil yang cuba membatalkan satu program di Amerika Syarikat (AS) yang dihadiri oleh seorang menteri dengan cara menghubungi pihak penganjur baru-baru ini.
Anuar berkata, walaupun pihak penganjur tidak melayan permintaan Aasil, isu yang perlu timbul adalah mengenai keberaniannya untuk mensabotaj program tersebut.
‘‘Cuba kita lihat peranan yang dimainkan oleh Aasil yang bagi saya bukan hanya setakat pegawai khas tetapi lebih daripada itu. Aasil sememangnya seorang yang berbahaya dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dengan segera.
‘‘Saya percaya Aasil mempunyai hubungan cukup rapat dengan pihak-pihak tertentu di AS dan sebab itu dia berani melakukan apa saja demi menjaga survival politik Anwar,’’ katanya.
Dalam perkembangan lain, Anuar yakin pendedahan yang dibuat oleh Zahrain dalam dua sesi perbahasan sebelum ini mampu menyedarkan rakyat mengenai Anwar sebenarnya.

No comments:

Post a Comment