Friday, March 19, 2010

Radzhi sokong Zahrain


ALOR SETAR 18 Mac - Tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memecah tembelang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan '16 September' akan mendorong bekas-bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) membongkar lebih banyak 'rahsia' parti berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohammad Radzhi Salleh berkata, ini kerana apa yang dikatakan Zahrain terhadap Ketua Pembangkang itu di dalam sidang Dewan Rakyat semalam merupakan satu kebenaran.
"Saya cukup berbangga dengan Zahrain dan akan memberikan sokongan padu kepadanya untuk terus membongkar cerita-cerita sebenar mengenai kepimpinan (PKR) dan 'firaun kecil' yang terdapat dalam parti berkenaan," kata beliau yang kini menjadi ADUN Bebas ketika dihubungi hari ini.
Dalam pendedahannya, Zahraian mendakwa, bagaimana Anwar membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti menyertai pembangkang lebih daripada mencukupi.
Selain itu, kata Zahrain, Anwar 'menjaja' nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kononnya Seri Padu menunggu di istana untuk mengesahkan jumlah ahli Parlimen BN yang melompat parti bagi menyertai pembangkang.
Radzhi berkata, berikutan pendedahan Zahrain, beliau meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemimpin-pemimpin dalam PKR berhubung dengan isu 'lompat parti' itu.
"Ini kerana, ia melibatkan perjalanan ke luar negara oleh beberapa pemimpin PKR kononnya atas urusan 'lompat parti' di kalangan wakil-wakil rakyat BN, sedangkan sampai sekarang ia tiada kaitan langsung.
Menurut bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah itu, beliau akan tetap memberikan sokongan kepada Zahrain atau sesiapa sahaja bekas wakil rakyat PKR untuk terus membongkar kepincangan dalam parti berkenaan.

No comments:

Post a Comment