Friday, March 19, 2010

Tee Keat tiada masalah Ka Ting bertanding


KUALA LUMPUR 18 Mac - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat tidak menganggap kesediaan Tan Sri Ong Ka Ting untuk bertanding merebut kembali jawatan itu pada pemilihan baru parti 28 Mac ini sebagai satu masalah kepadanya.
Beliau yang mengalu-alukan langkah bekas Presiden MCA itu berkata, beliau dan Ka Ting mempunyai hubungan yang baik.
"Sebenarnya sehari sebelum pengumuman beliau akan bertanding, saya sudah berjumpa dengannya dan kami berdua mempunyai komunikasi yang baik tentang perkara ini," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Tee Keat yang akan mempertahankan jawatan itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang strategi istimewa bagi memancing undi pada pemilihan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau percaya penyokong Ka Ting bertanggungjawab di sebalik penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa bekas presiden itu mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merebut jawatan itu pada pemilihan baru parti, 28 Mac ini.
Beliau bagaimanapun tidak bimbang dengan penyebaran SMS itu kerana penyokong Ka Ting mempunyai kebebasan untuk mendakwa mereka mendapat sokongan daripada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
"Itu hak mereka (penyokong Ka Ting) untuk membuat dakwaan tersebut, tetapi saya tidak pasti sama ada Ka Ting terlibat atau tidak. Bagi saya tidak ada bezanya. Sukar untuk saya simpulkan Ka Ting di sebalik semua ini," ujarnya.
Sementara itu, bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula masih berteka-teki berhubung jawatan yang akan ditandinginya pada pemilihan berkenaan.
"Saya masih mempunyai beberapa hari lagi sebelum tarikh pencalonan pada Isnin ini. Tunggulah saya akan umum," katanya.
Dalam perkembangan lain, Tiong Lai berkata, berdasarkan Artikel 41 Perlembagaan MCA, adalah jelas bekas ahli Jawatankuasa Pusat (CC), Datuk Wong Mook Leong dan Wong Nai Chee yang meletak jawatan layak bertanding dalam pemilihan baru parti.

No comments:

Post a Comment