Friday, March 19, 2010

Empat tokoh rebut jawatan Presiden MCA?


PEMILIHAN baru MCA pada 28 Mac ini dijangka menarik apabila empat pemimpinnya yang mempunyai kekuatan tersendiri, disebut bakal merebut jawatan Presiden dan akan menggunakan kelebihan masing-masing bagi mendapatkan sokongan daripada perwakilan.
Spekulasi bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting akan membuat 'comeback' akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau mengumumkan keputusannya pada Selasa lalu untuk bertanding jawatan nombor satu itu.
Ekoran itu, pemilihan pucuk pimpinan parti akan menjadi lebih sengit kerana sebelum ini dijangkakan hanya berlaku pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan Presiden MCA.
Tiga kumpulan dalam parti berkenaan ialah kumpulan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; kumpulan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan kumpulan bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai - tiga pihak yang bertelagah sejak setahun lalu.
Ketiga-tiga kumpulan itu difahamkan mempunyai perwakilan pusat tetap yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka.
Bagi Kumpulan Tee Keat, terdapat Bendahari Agung MCA, Tan Sri Tee Hock Seng dan tiga ahli Jawatankuasa Pusat (CC), Gan Ping Sieu, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Tan Cheng Liang.
Kumpulan Soi Lek pula dilihat sebagai kumpulan terkuat dengan perwakilan pusat parti iaitu bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha dan tiga bekas ahli CC, Datuk Seri Tan Chai Ho, Datuk Chong Itt Chew dan Datuk Dr. Yeow Chai Thiam berdiri teguh bersama beliau.
Kumpulan Tiong Lai pula dilihat agak lemah kerana ia telah berpecah pada dua kumpulan kecil iaitu konco-konco yang mahu bekerjasama dengan Soi Lek dan mereka yang cenderung kepada Ka Ting.
Ini kerana beberapa penyokongnya seperti Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng dan Dr. Hou Kok Chung sebelum ini merupakan penyokong Ka Ting pada zaman beliau iaitu antara 2005 hingga 2008.
Kumpulan Ka Ting pula mempunyai bekas Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan; dua bekas Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn dan Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen serta empat ahli CC iaitu Jeck Seng, Nai Chee, Kok Chung dan Datuk Edward Khoo Keok Hai.
Dalam pada itu, spekulasi yang berlegar turut mengatakan bahawa bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lim Ah Lek; bekas Bendahari Agung, Tan Sri Lau Yin Pin dan bekas ahli CC, Wong Mook Leong merupakan perancang Ka Ting dalam pemilihan baru parti itu.
Sehubungan itu, bagi memastikan Tiong Lai tidak dikalahkan dengan teruk dalam pemilihan baru parti tersebut, beliau dikatakan sepatutnya menyertai kumpulan tertentu.
Bagaimanapun, adalah mustahil Tiong Lai akan bekerjasama dengan 'Lone Ranger' iaitu Tee Keat kerana beliau antara yang membantah transformasi Tee Keat yang terlalu bersendirian dan sentiasa menjalankan 'Operasi Pancung' dalam parti itu.
Dalam pada itu, kumpulan Soi Lek pula bukan pilihan terbaik bagi Tiong Lai kerana rekod Soi Lek telah terjejas dalam skandal seks video cakera padat digital (DVD) yang berlaku pada 8 Januari 2008.
Sehubungan itu, pilihan terbaik beliau adalah bergabung dengan kumpulan Ka Ting dan ia bukan sesuatu yang mustahil demi survival politiknya.
Pakatan antara Tiong Lai dan Ka Ting dijangka berjaya kerana Tiong Lai mempunyai kemungkinan besar bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana Ka Chuan enggan bertanding jawatan nombor dua itu kerana memberi Tiong Lai peluang untuk merebut jawatan nombor dua berkenaan. Pengumuman pakatan itu dijangka diumumkan hujung minggu ini.
Dalam pada itu, Soi Lek dijangka berpasangan dengan Cho Ha bagi bertanding dalam jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Bagaimanapun, Tee Keat dilihat tetap berseorangan dan kerana kumpulannya berkurangan calon berkedudukan tinggi seperti kumpulan lain.
Apa pun dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan mereka yang dijangka berpeluang untuk menang juga mungkin gagal dalam perebutan sebenar nanti.

No comments:

Post a Comment