Wednesday, April 7, 2010

Anwar dakwa Israel terlibat projek keselamatan

KUALA LUMPUR 6 April - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi mengaitkan penglibatan syarikat Israel dalam pengendalian projek berkaitan keselamatan dan komunikasi serta teknologi maklumat di ibu pejabat polis, Bukit Aman.
Dakwa beliau, kini terdapat dua pekerja syarikat itu bertugas di bilik pelayan Internet yang terletak di tingkat dua dan tiga, Bukit Aman.
Anwar mendakwa syarikat yang diberikan kontrak hampir RM1 bilion itu didaftarkan di Singapura dan berpangkalan di Tel Aviv, Israel serta dikuasai oleh dua bekas pegawai perisikan tertinggi tentera negara itu.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di Dewan Rakyat hari ini.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membentangkan segala dakwaannya dengan disertakan bukti surat dan dokumen berkaitan.
Ketika pembentangannya, hanya Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN - Pasir Salak) dan Datuk Seri Syed Hamid Syed Jaafar Albar (BN - Kota Tinggi) yang mencelah.
Tajuddin bertanyakan kepada Anwar, mengapa dan apakah matlamat Israel terhadap negara ini.
Sementara Syed Hamid Albar pula bangun menafikan tuduhan apabila Anwar mengaitkan namanya sebagai terlibat secara langsung dalam perkara itu semasa menjawat jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN).
Dalam pada itu, Anwar turut mengemukakan kronologi terperinci termasuk surat bertarikh 3 Disember 2008 yang dikatakan dihantar Pengarah Bahagian Logistik dan laporan Cawangan Khas polis kepada KDN meminta supaya kontrak syarikat itu ditamatkan kerana mampu menggugat keselamatan negara.
Katanya, penglibatan Israel itu sebenarnya telah diakui oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang membuat kenyataan pada Julai 2008 bahawa wujudnya penyertaan risikan Israel dalam pasukan polis.
"Kali kedua pula beliau sebut baru-baru ini (21 Mac) bahawa wujudnya tangan ketiga yang memberi tekanan kepada pasukan polis, tetapi diketepikan begitu sahaja oleh kerajaan, mungkin tangan ketiga ini ejen Israel atau Apco," katanya.
Dakwa Anwar, pada pukul 4 petang, bertempat di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 23 November 2008, Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada masa itu menerima taklimat khas daripada pengurusan tertinggi pasukan polis mengenai penglibatan Israel itu.
"Mungkin kerana tiada tindakan diambil, pada 1 Disember 2008, Pengarah Logistik polis itu telah menulis surat kepada Badan Pencegah Rasuah pada ketika itu.
"Pada 3 Disember 2008, pengarah itu sekali lagi menulis surat sama kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri untuk perhatian penasihat undang-undang mengenai isu sama, diikuti sekali lagi pada 7 Januari 2009.
"Penasihat undang-undang menjawabnya pada 12 Januari 2009, mengatakan perkara itu telah dirujuk kepada pihak berkaitan dan menyatakan prosedur penamatan akan hanya dilakukan setelah mendapat arahan pengurusan tertinggi polis," katanya.

No comments:

Post a Comment