Wednesday, April 7, 2010

Koo Ham diberi tempoh hingga Khamis



IPOH 6 April - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham diberi tempoh sehingga Khamis ini untuk hadir memberi keterangan berhubung dakwaan negatif yang dikeluarkannya terhadap polis baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, notis arahan mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah itu dikeluarkan hari ini dalam usaha polis melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut.
"Kita sudah mengambil langkah seterusnya bagi melengkapkan siasatan iaitu memanggil beliau (Koo Ham) untuk tampil memberi keterangan.
"Kita memberi tempoh kepada beliau untuk memberi keterangan. Jika beliau masih tidak memberi kerjasama, polis akan mengambil tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar selepas majlis dialog cegah jenayah Ketua Polis Perak Bersama Penduduk Buntong di sini hari ini.
Koo Ham pada sidang akhbar 30 Mac lalu mendakwa, ramai anggota serta pegawai polis hadir di Bangunan Perak Darul Ridzuan semasa sidang Dewan Undangan Negeri berlangsung.
Beliau dipetik sebagai berkata: "Saya takut jika ada perbahasan dan ada mana-mana polis tidak suka kita, mereka akan tembak mati. Ini boleh berlaku kerana mungkin ada polis tidak suka dengan kita."
Malah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, Koo Ham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan menegaskan, beliau tidak gentar disiasat polis berhubung dakwaannya itu.
Sementara itu, ketika ditanya tindakan yang bakal diambil sekiranya Koo Ham gagal menghadirkan diri, Zulkifli berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diberitahu.
Beliau bagaimanapun berkata, polis telah mengambil keterangan lima saksi terdiri daripada pengadu dan wakil media untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment