Sunday, April 4, 2010

Negara keluar dari 'tsunami politik'





MUHYIDDIN Yassin menikmati sarapan pagi bersama pemimpin tempatan, NGO dan penduduk di Machang, semalam. - MINGGUAN/Rosni Masri


MACHANG 3 April - Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya mengemudikan negara ini keluar daripada 'tsunami politik' dan kegawatan ekonomi sehingga berada pada landasan yang meyakinkan serta melegakan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam tempoh setahun, Najib juga berjaya mengukuhkan lagi jentera pentadbiran kerajaan agar perancangan dalam menjayakan agenda besar untuk rakyat menjadi lebih berkesan.
Katanya, perkembangan itu kembali mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional dan kian menyerlah melalui gagasan 1Malaysia yang telah mempengaruhi dan memaut semua lapisan masyarakat untuk membangunkan negara.
"Apa yang berlaku dalam masa 365 hari itu adalah manifestasi kepada usaha Perdana Menteri yang telah mengubah wajah negara kita dari segi kerajaan dan rakyat merasa lebih selamat serta selesa.
''Ini kerana langkah yang diambil beliau untuk menangani kegawatan ekonomi telah mula menunjukkan hasil memberangsangkan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Juara Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah I di sini hari ini.
Hadir sama, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan ketiga-tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Muhyiddin mengulas mengenai pencapaian Najib selepas setahun menjadi Perdana Menteri dan menerajui pentadbiran negara.
Beliau yang turut mengucapkan tahniah di atas pencapaian Najib itu menambah, dalam tempoh yang singkat tersebut, kestabilan politik pembangkang pula semakin goyah dan segala kepincangan mula terdedah.
Katanya, disebabkan pencapaian yang memberangsangkan, pembangkang cuba mengambil kesempatan dengan menimbulkan isu untuk mengeruhkan hubungan mereka berdua.
"Ini adalah cubaan sia-sia untuk memecah belahkan hubungan di antara saya dengan Najib, saya tahu di mana kedudukan saya untuk membantu beliau menguruskan pentadbiran negara dan parti.
"Saya selaku timbalan sentiasa bekerja rapat, tidak ada apa-apa perselisihan dan masalah di antara kami, perjuangan saya bersama UMNO tetap utuh malah sentiasa bekerja rapat dalam meneruskan agenda kerajaan," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kepimpinan Najib sebagai pemacu negara tetap diyakininya dan sebarang usaha untuk memecahkan hubungan mereka tidak akan memberikan kesan.
Katanya, keyakinan itu berasaskan tempoh genap setahun Najib mentadbir negara walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dari aspek politik dan ekonomi.
''Bermula 2008 kita tahu pelbagai krisis melanda negara menjadikan keadaan di dalam negara terumbang-ambing namun krisis itu kini berjaya diselesaikan.
''Beliau layak menerima penghargaan ini kerana tempoh setahun adalah masa yang singkat tetapi perubahan besar telah dilakukan untuk negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment