Wednesday, April 14, 2010

15 bas ekspres diambil tindakan



KUALA LUMPUR 13 April - Sebanyak 15 syarikat bas ekspres dikenakan pelbagai tindakan tegas termasuk dibatalkan lesen operasi setelah terlibat dalam kes kemalangan maut dari Ogos 2007 sehingga bulan lepas.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, daripada jumlah itu, tiga syarikat dibatalkan lesen, empat digantung lesen dan lapan pengusaha lagi diberikan amaran.
"Syarikat-syarikat terbabit telah diminta membuat penambahbaikan ke atas sistem pengurusan pemandu, kenderaan, perjalanan dan risiko serta pengurusan dokumen berpandukan kepada Kod Amalan Keselamatan Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) mengenai jumlah permit bas ekspres yang dikeluarkan dalam tempoh lima tahun dan tindakan ke atas syarikat bas ekspres yang terlibat kemalangan maut pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan sama, kata Vui Keong, sebanyak 1,325 lesen bas ekspres dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Semenanjung Malaysia sepanjang 2005 sehingga 2009.
Sementara itu, jelas beliau, SHE yang kini wajib dilaksanakan oleh syarikat bas ekspres tempatan berjaya mengurangkan kes kemalangan maut melibatkan kenderaan itu.
Katanya, ini terbukti apabila tiada sebarang kes kemalangan maut dilaporkan melibatkan bas ekspres tahun ini sehingga bulan lalu.
Bermula Januari lalu, para pengusaha bas ekspres diwajibkan mengguna pakai SHE seperti diarahkan LPKP sebagai salah satu syarat meneruskan perniagaan.
Penguatkuasaan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berikutan kemalangan maut melibatkan bas milik Sani United Sdn. Bhd. yang mengorbankan sepuluh orang pada 26 Disember lalu.

No comments:

Post a Comment