Tuesday, April 6, 2010

Serah pucuk pimpinan tentukan calon



TEMERLOH 5 April - Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu memberi kepercayaan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan calon parti yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tidak lama lagi.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, semua pihak perlu mengelak daripada menimbulkan polemik tentang soal calon itu yang akan diumumkan pada 15 April ini.
''Perdana Menteri mempunyai mekanisme dan kriteria tertentu untuk memilih calon yang diterima semua pengundi di kawasan itu supaya kemenangan besar akan berpihak kepada BN,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program 'Jom Sembang' anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Temerloh di Kampung Tanjung Batu, Seberang Temerloh di sini hari ini.
Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, BN mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali Parlimen Hulu Selangor setelah 'dipinjamkan' selama dua tahun kepada pembangkang.
Kata beliau, pada hakikatnya, Parlimen Hulu Selangor adalah kubu kuat BN tetapi disebabkan faktor tertentu, BN tewas kepada pembangkang sebanyak 198 undi pada pilihan raya umum 2008.
Beliau bagaimanapun yakin dengan kecemerlangan kepemimpinan Najib, penduduk Hulu Selangor akan kembali kepada BN.
''Pilihan raya Hulu Selangor ini sangat penting kepada BN apatah lagi ketika Perdana Menteri baru meraikan setahun menerajui negara.
''Kemenangan BN nanti akan menentukan tanda aras sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri dan dasar kerajaan BN yang terbukti membawa kebaikan kepada rakyat,'' katanya.
Saifuddin juga menasihati pengundi Hulu Selangor tidak melakukan kesilapan sekali lagi pada pilihan raya kali ini selepas menilai pemerintahan pembangkang dalam tempoh dua tahun.
Katanya, pilihan raya kecil ini perlu dijadikan peluang bagi pengundi menebus kesilapan lalu.
Tambahnya, BN yang mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang akan menggalas tanggungjawab besar memajukan Hulu Selangor tanpa sebarang janji retorik seperti yang dilakukan pembangkang.

No comments:

Post a Comment