Tuesday, April 6, 2010

Suruhanjaya Pilihan Raya digesa kaji semula peranan Mafrel



KUALA LUMPUR 5 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengkaji semula peranan Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas (Mafrel) yang mendakwa Barisan Nasional (BN) telah melakukan kesalahan kerana menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan Parlimen Hulu Selangor.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mempersoalkan kenyataan Mafrel itu berkata, badan bebas itu sebenarnya tidak layak untuk menentukan sama ada BN atau parti lain telah melakukan apa-apa kesalahan sebelum pilihan raya kecil diadakan.
"Apa yang BN buat adalah menyalurkan bantuan kepada penduduk di situ.
"Pada masa yang sama, kerajaan negeri Selangor turut memberi bantuan. Jadi kenapa badan itu hanya mengatakan BN bersalah?" katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Noh mengulas kenyataan Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh yang mendakwa kerajaan Pusat telah meluluskan pelbagai projek perumahan dan sekolah kepada penduduk Hulu Selangor sebagai 'kaedah menyogok' pengundi.
Menurut Syed Ibrahim, tindakan UMNO dan BN itu menunjukkan mereka tidak menghormati proses pilihan raya demokratik, justeru Mafrel menggesa SPR mengambil tindakan tegas terhadap parti itu.
Noh yang juga Pengarah Jentera BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor berkata, kenyataan Mafrel itu menunjukkan badan itu bukan benar-benar bertindak seperti sebuah badan bebas tetapi bersikap berat sebelah.
"Mereka ini tidak faham apa fungsi mereka sebenarnya. Kenapa mahu mempersoalkan apa yang BN buat sedangkan pada masa sama, kerajaan negeri di bawah pembangkang juga buat perkara sama?" kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.
Mengulas isu yang sama, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali AlHabshee berkata, Mafrel dinasihatkan supaya tidak menjadi 'penyibuk bermusim' sebaliknya melaksanakan tugas sebagai pemantau yang adil.
Katanya, setiap kali berlaku pilihan raya, Mafrel dilihat sibuk membuat bermacam-macam kenyataan mengkritik yang menggambarkan kerajaan tidak telus.
Menurutnya, ia termasuklah mendesak SPR mengambil tindakan tegas terhadap kerajaan BN yang kononnya tidak telus dan menyalahgunakan kuasa.
"Jelas menunjukkan Mafrel sebenarnya badan bebas yang menjadi kuda tunggangan pihak pembangkang iaitu sibuknya hanya bermusim, sekadar untuk memanaskan badan sahaja,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Syed Ali berkata, Mafrel sepatutnya membentangkan laporan mengenai pemerhatian mereka terhadap proses pilihan raya kepada SPR bukannya asyik mengkritik.
Namun, katanya, pihaknya difahamkan sehingga hari ini, SPR belum pernah menerima laporan daripada Mafrel berhubung apakah sebenarnya yang dipantau oleh badan tersebut.
''Saya mahu keanggotaan Mafrel didedahkan kepada umum supaya rakyat dapat menilai sejauh mana badan itu bebas atau sememangnya mengikut telunjuk pembangkang.
''Jika Mafrel mendapati kerajaan tidak telus dalam menghadapi pilihan raya kecil, badan itu boleh mengemukakan laporan lengkap kepada SPR,'' kata beliau.
Menurut Syed Ali, UMNO akan tetap meneruskan usaha membela nasib rakyat terutama di kawasan luar bandar tidak kira berlaku pilihan raya kecil atau sebaliknya.
Tambah beliau, tidak menjadi kesalahan kerajaan untuk melaksanakan pelbagai projek kerana pelan pembangunan untuk rakyat telah lama dirancang.

No comments:

Post a Comment