Tuesday, April 6, 2010

Zulkifli, Zahrain akan dipanggil





KUALA LUMPUR 5 April – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan pendedahan dua wakil rakyat itu di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya menunggu masa yang sesuai untuk memanggil kedua-duanya berikutan mereka pada masa ini terpaksa hadir ke Parlimen untuk persidangan.
“Siasatan mengenai pendedahan mereka di Dewan Rakyat baru-baru ini, masih lagi dijalankan.
“Kita faham, kedua-duanya sibuk untuk hadir ke Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di pejabat kementerian itu di Jalan Dato’ Onn di sini hari ini.
Pada 24 Mac lalu, Zulkifli pada sidang Dewan Rakyat ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong mendakwa, beliau diberi tugasan oleh pihak tertentu yang bagaimanapun tidak didedahkan identitinya, untuk memfitnah Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Antaranya, beliau diminta untuk mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isteri selain membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Kejutan berterusan di Parlimen apabila wakil rakyat Bebas itu membuat satu lagi pendedahan bahawa dia juga diminta mengaitkan anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung satu kes pembunuhan pada 2004.
Pendedahan Zulkifli menggemparkan arena politik negara kerana ia hadir hanya seminggu selepas bekas rakan partinya, Zahrain memecahkan tembelang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.

No comments:

Post a Comment