Thursday, April 1, 2010

Zambry dedah PKR tawar jawatan MB



IPOH 31 Mac - Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir hari ini mendedahkan beliau adalah antara tiga wakil rakyat UMNO yang ditawarkan jawatan Menteri Besar Perak jika menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas pilihan raya umum 2008 lalu.
Menurutnya, beliau adalah calon pertama yang dihubungi oleh pemimpin parti itu untuk ditawarkan jawatan tersebut bagaimanapun menolaknya atas dasar prinsip perjuangan.
Sehubungan itu, katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bukanlah orang pertama yang dicalonkan untuk jawatan Menteri Besar.
''Saya menolak tawaran itu kerana berpegang pada prinsip perjuangan," katanya ketika menggulung perbahasan usul ucapan tahniah dan menjunjung kasih atas titah ucapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Terdahulu, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali (Pengkalan Hulu-BN) ketika membahaskan usul tersebut mendedahkan tiga ADUN UMNO pernah dipelawa oleh PKR bagi jawatan Menteri Besar di Perak.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak berhak untuk mendedahkan ketiga-tiga ADUN yang dimaksudkan tersebut kerana terpulang kepada mereka sendiri untuk berbuat demikian.
Ketiga-tiga ADUN terbabit katanya, memaklumkan perkara itu kepadanya tetapi mengatakan komitmen mereka untuk terus bersama BN.
Bekas Menteri Besar Perak tersebut turut mendedahkan keangkuhan Pas yang tidak langsung mahu bekerjasama demi perpaduan dan kebajikan orang Melayu.
Menurut Zambry, selain dihubungi melalui telefon, rombongan PKR juga telah menemuinya di rumah dalam usaha memancing beliau menerima 'pinangan' tersebut.
''Cubaan ini tidak langsung mengorbankan prinsip perjuangan saya sebagai ahli politik untuk merebut jawatan," katanya.
Sementara itu, Jamaluddin Mohd. Radzi (Bebas-Behrang) ketika ditemui mengesahkan pengakuan Zambry dan menegaskan ia bukan cerita rekaan yang dibuat oleh Menteri Besar itu.
Namun, Jamaluddin enggan mendedahkan nama dua lagi ahli UMNO yang turut menerima tawaran yang sama selain memberitahu bahawa tawaran oleh PKR sentiasa berterusan.
''Biarlah Tajol Rosli yang menjelaskan siapa mereka. Cuma saya ingin nyatakan bahawa saya bukan salah seorang daripada ahli rombongan terbabit, tetapi mengetahui mengenai perkara itu.
''Saya mengagumi ketabahan dan prinsip yang dipegang oleh Zambry. Dengan janji Allah, beliau tetap menjadi Menteri Besar yang sah mewakili BN," katanya.
Jamaluddin yakin pemimpin yang dimaksudkan Zambry itu adalah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, katanya, tawaran itu diketahui ramai pemimpin PKR Perak tetapi ia dirahsiakan daripadanya kerana beliau juga adalah salah seorang daripada calon Menteri Besar.
''Anwar berdolak-dalik kerana dia ada telefon saya dan menyatakan saya sesuai menjadi Menteri Besar tetapi dalam masa sama membuat tawaran kepada orang lain," kata Jamaluddin.
Pada sesi akhir penggulungan itu, Zambry telah menawarkan perdamaian abadi kepada pembangkang dengan hati penuh ikhlas.
''Dengan suci hati, saya ingin meniup wisel perdamaian. Jawatan Menteri Besar boleh datang dan pergi tetapi perdamaian yang abadi adalah demi rakyat," katanya.
Sidang DUN Perak tamat pada pukul tiga petang dan ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

No comments:

Post a Comment