Wednesday, May 19, 2010

Azhar tidak takut digantung



PULAU PINANG 18 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim sudah bersedia malah tidak takut menghadapi kemungkinan digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka membincangkan kesnya Julai ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga itu berkata, beliau tidak akan patah semangat hanya kerana perkara itu disebabkan masih boleh membuat kenyataan dan bersuara menerusi saluran yang betul di luar.
Beliau menyifatkan tindakan kerajaan pakatan pembangkang terhadap dirinya sebagai tidak betul kerana menurutnya apabila seseorang hendak dirujuk ke jawatankuasa itu, ia perlu dibuat serta- merta.
''Bukan seperti mereka buat, bila dah habis bahas kemudian keluar minum lepas itu bila masuk balik baru nak buat usul, ini memang tidak betul, malah usul tersebut pun tidak dibahas tapi tiba-tiba bangun sokong usul dan habis.
''Kerajaan negeri tak perlu cakap pasal cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), pasal kebebasan, CAT 'tahi kucing', kerajaan negeri ini memang macam itu, siapa kritik tak puji mereka mesti kena tindakan.
''Jadi, kalau nak rujuk, silalah rujuk, mereka yang buat tuduhan dan bukan rujuk saya, mereka buat keputusan dan majoriti hakim juga mereka kerana kita hanya ada tiga berbanding mereka lima," katanya di sini hari ini.
Azhar berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Speaker DUN, Datuk Halim Hussain bahawa beliau dijangka dirujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada Julai ini.
Beliau sebelum itu merasmikan Sambutan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Peringkat Pulau Pinang yang diadakan di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri itu akan dirujuk ke jawatankuasa tersebut kerana didakwa melanggar peraturan berikutan mengeluarkan kata-kata berbau hasutan ketika hari terakhir persidangan pada 6 Mei lalu.
Beliau dikatakan menggunakan perkataan '13 Mei' ketika berlaku pertikaman lidah dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng semasa sesi penggulungan Usul Terima Kasih Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, tindakan ke atas dirinya itu adalah kerana mahu menutup mulutnya ekoran kelantangan beliau mengkritik dan mencungkil kelemahan pentadbiran Guan Eng
''Lebih 20 tahun menjadi wakil rakyat di negeri ini, Barisan Nasional (BN) tidak pernah merujuk mana-mana ADUN pakatan pembangkang ke jawatankuasa itu sedangkan kritikan dan kutukan mereka lebih dahsyat," katanya.

No comments:

Post a Comment