Wednesday, May 19, 2010

Dua ADUN digantung 12 bulan





KUCHING 18 Mei - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang digantung daripada menghadiri sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selama 12 bulan berkuat kuasa serta merta hari ini.
Dominique Ng Kim Ho (Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Padungan) dan Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) digantung atas kesalahan yang dilakukan semasa sidang DUN, Mei tahun lalu.
Dominique digantung kerana menghina Dewan dengan mengeluarkan kenyataan 'Kanggaroo Court' manakala Chieng Jen membuat tuduhan liar terhadap Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman.
Kedua-dua kes tersebut kemudian dirujuk kepada Jawatankuasa Keistimewaan DUN sebelum keputusan penggantungan dibuat menerusi kiraan undi daripada ahli dewan berdasarkan sistem kiraan majoriti.
Seramai 61 ahli terlibat dengan pengundian iaitu 53 ahli bersetuju dengan penggantungan Dominique manakala tujuh menentang dan satu undi lagi berkecuali.
Sementara itu, seramai 60 ahli dewan mengundi berhubung penggantungan Chieng Jen iaitu 54 bersetuju manakala enam lagi menentang.
Keputusan penggantungan kedua-dua ADUN berkenaan kemudiannya diumumkan Speaker DUN Sarawak, Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar.

No comments:

Post a Comment