Wednesday, May 19, 2010

UMNO P. Pinang tetap adakan ceramah



PULAU PINANG 18 Mei - Badan Perhubungan UMNO negeri akan terus menganjurkan ceramah untuk mendedahkan perkara sebenar yang dilakukan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng walaupun berhadapan pelbagai cabaran.
Ketua Penerangannya, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya akan menggunakan segala kesempatan dan kemudahan yang ada untuk membongkar kelemahan kerajaan negeri ini.
Menurutnya, UMNO akan memperhebatkan penganjuran ceramah di seluruh negeri mengikut cara yang betul iaitu dengan memohon permit daripada pihak polis kerana mereka juga berhak untuk bersuara.
Beliau yang kesal dengan tindakan kerajaan negeri membatalkan kebenaran menggunakan Dewan Balora Mastika di Pekan Kongsi, Balik Pulau Sabtu lalu untuk penganjuran ceramah, menyifatkan tindakan itu sebagai bacul.
''Kerajaan negeri takut kita bongkar cerita mereka sebab itu mereka double standard dengan batalkan program kita tiba-tiba, mereka ini memang tidak layak cakap pasal kebebasan media.
''Tidak mengapalah, tidak kira macam mana hebat tekanan yang kerajaan negeri beri, UMNO tetap akan anjurkan ceramah ini secara berterusan, tak boleh guna dewan kita guna cara lain," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Sambutan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Peringkat Negeri Pulau Pinang yang disempurnakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim di sini hari ini.
Akhbar ini pada 16 Mei lalu melaporkan, kerajaan negeri pada saat-saat akhir telah membatalkan kebenaran menggunakan Dewan Balora Mastika di Pekan Kongsi bagi penganjuran program Pentas Pemuda UMNO.
Akibat tindakan itu, penganjur terpaksa meneruskan program dengan menjadikan sebuah lori sebagai pentas serta kawasan lapang di depan dewan yang dikunci dan bergelap itu sebagai lokasi baru ceramah.
Ceramah disampaikan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam.
Polis turut merekodkan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Aziaan Ariffin, semalam.

No comments:

Post a Comment