Wednesday, June 2, 2010

172 kakitangan awam bergaji lebih dari PM



LONDON 1 Jun - Kerajaan Britain hari ini mendedahkan nama dan gaji 172 kakitangan kerajaan yang berpendapatan lebih tinggi daripada Perdana Menteri, dengan mengatakan langkah itu membolehkan orang awam melihat dengan lebih jelas tentang status kewangan pegawai.
Menteri di Pejabat Kabinet Britain, Francis Maude dalam satu kenyataan berkata, ketelusan merupakan kunci utama ke arah kecekapan kerajaan campuran baru.
Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, lebih banyak perincian akan dikeluarkan tentang maklumat sulit tahap pembayaran dan jumlah wang rakyat yang telah digunakan.
"Dengan menjalankan langkah terbuka serta bertanggungjawab, kami boleh mula memenangi kepercayaan rakyat. Keterbukaan sudah tentu bukan satu perkara yang selesa bagi kami dalam kerajaan tetapi ia membenarkan orang awam meletakkan kami di bawah tekanan," katanya.
Kedua-dua Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat semasa kempen pilihan raya lalu, berjanji akan memperbaiki ketelusan kerajaan sebagai langkah memenangi keyakinan rakyat selepas skandal perbelanjaan ahli-ahli Parlimen tahun lalu.
Pejabat Kabinet mengeluarkan satu senarai pegawai kanan kerajaan yang memperoleh gaji lebih 150,000 pound Sterling (RM719,888) setahun termasuk nama mereka, pekerjaan dan pakej pembayaran.
Ketua Eksekutif Pejabat Perdagangan Bebas, John Fingleton menerima gaji tahunan paling tinggi termasuk keistimewaan cukai dan elaun sebanyak 280,000 pound Sterling (RM1.3 juta).
Jumlah itu hampir dua ganda berbanding pendapatan tahunan David Cameron sebagai Perdana Menteri sebanyak 142,500 pound Sterling (RM684,035), walaupun Cameron turut menerima gaji sebagai ahli Parlimen.
Semasa mesyuarat rasmi pertamanya, anggota Kabinet dalam kerajaan campuran bersetuju dengan potongan 5 peratus gaji mereka berbanding yang diperolehi ahli-ahli Parlimen Parti Buruh sebelum ini, dan turut bersetuju dengan pembekuan bayaran selama lima tahun.
Kerajaan Britain berkata, potongan 5 peratus kepada gaji menteri dan pembekuan bayaran tersebut akan menjimatkan kira-kira 3 juta pound Sterling (RM14.4 juta). - Reuters

No comments:

Post a Comment