Wednesday, June 2, 2010

Tiga kapal tajaan NGO Malaysia teruskan misi ke Gaza





PUTRAJAYA: Penaung Perdana Global Peace Organization (PGPO), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tiga kapal tajaan PGPO meneruskan pelayaran ke Semenanjung Gaza untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan, tetapi akan diarah berpatah balik jika ada halangan daripada tentera Israel.
Beliau berkata PGPO menghantar tiga kapal untuk menyertai konvoi 'Flotilla Pembebasan' bagi menghantar bantuan kemanusiaan, termasuk perubatan dan bahan binaan, kepada penduduk Gaza.'Misi bantuan PGPO diketuai oleh Matthias Chang, selain dua lagi wakil PGPO, iaitu Shamsul Akmar Musa Kamal dan Ahmad Faizal Azumu. Mereka menaiki kapal kargo yang membawa bantuan perubatan untuk penduduk Gaza.'Turut serta dalam misi yang mendapat tajaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, ialah Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, wartawan dan jurugambar TV3, Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin,' katanya kelmarin.Tentera Israel kelmarin menyerang sebuah kapal Turkey, Mavi Marmara, yang dilaporkan turut dinaiki 10 sukarelawan Misi Lifeline 4 Gaza serta wartawan dan jurugambar stesen televisyen Astro Awani, iaitu Encik Ashwad Ismail, 25 tahun, dan Encik Shamsul Kamal Latip, 38 tahun. Nasib mereka belum diketahui.Dr Mahathir juga mendesak masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan tegas terhadap Israel kerana menyerang kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.Beliau berkata tindakan itu tidak wajar kerana kapal tersebut berada di perairan antarabangsa dan dinaiki aktivis pelbagai negara yang tidak dilengkapi sebarang senjata tajam seperti yang didakwa tentera Israel.'Saya marah kerana Israel menggunakan senjata api untuk menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. Walaupun kami sudah menjangkakan halangan daripada tentera Israel, tetapi sama sekali tidak menyangka mereka menggunakan peluru hidup dan kekerasan untuk menyekat usaha penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,' katanya kelmarin.Sementara itu, jurucakap TV3 ketika dihubungi berkata kapal Rachel Corrie yang membawa Encik Halim dan Encik Mohd Jufri selamat daripada serangan itu disebabkan tertinggal jauh di belakang.'Sebelum ini kapal terbabit terpaksa memperlahankan kelajuan kerana menghadapi masalah teknikal. Kapal terbabit belum sempat memasuki perairan Gaza ketika serangan Israel terhadap kapal Turkey, Mavi Marmara, yang sudah berada jauh di hadapan,' katanya. -- BHM, Harian Metro.

No comments:

Post a Comment