Saturday, June 12, 2010

Agong rasmi Masjid Tuanku Mizan




SULTAN MIZAN (tiga dari kiri) berangkat pulang setelah merasmikan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam berkenan merasmikan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 di sini.
Masjid bernilai RM200 juta yang mula dibina pada 5 April tahun 2004 menggunakan 70 peratus besi dan selebihnya daripada konkrit itu siap sepenuhnya pada 19 Ogos tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, masjid tersebut merupakan masjid pertama di negara ini yang menggunakan 6,000 tan besi dalam pembinaannya.
"Masjid ini mampu menampung sehingga 20,000 jemaah dan dilengkapi dengan dewan solat utama, tiga unit kuarters dua tingkat, 10 unit kedai, dewan orang ramai dan kemudahan WiFi," katanya pada majlis perasmian masjid tersebut semalam.
Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut bersolat Jumaat bersama Tuanku Mizan dan jemaah lain.
Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin juga merupakan salah satu mercu tanda baru bagi pusat pentadbiran di Putrajaya serta lambang kebanggaan umat Islam Malaysia.

No comments:

Post a Comment