Saturday, June 12, 2010

Amerika ikut telunjuk rejim Zionis

SEORANG aktivis Korea Selatan mengangkat sepanduk mengutuk kekejaman Israel terhadap   anggota misi bantuan Gaza.




SEORANG aktivis Korea Selatan mengangkat sepanduk mengutuk kekejaman Israel terhadap anggota misi bantuan Gaza.
Panel siasat pembunuhan aktivis Gaza tiada kuasa menghukum

BAITULMAQDIS: Amerika Syarikat memberi persetujuan kepada cara Israel menyiasat insiden komandonya menyerang dan membunuh sembilan aktivis Gaza, seorang daripadanya warga Amerika, berhubung pembentukan jawatankuasa menyiasat kematian mangsa di perairan antarabangsa.
Kemarahan antarabangsa terhadap Israel dalam kejadian itu juga menyaksikan Presiden Shimon Peres disambut dengan laungan ‘pembunuh’ ketika lawatannya ke Korea Selatan, semalam.
Akhbar Haaretz melaporkan, Israel merancang membentuk jawatankuasa diketuai bekas hakim mahkamah agung termasuk pemerhati Amerika dan Eropah untuk menyiasat serbuan maut 31 Mei lalu ke atas kapal membawa misi bantuan ke Gaza, Mavi Marmara, lapor media.

Komando tentera laut menembak mati sembilan aktivis Turki, termasuk seorang yang memegang kerakyatan Amerika.

Presiden Amerika Barack Obama Rabu lalu berkata mana-mana siasatan perlu memenuhi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa ‘siasatan telus, segera, adil dan boleh dipercayai mengikut standard antarabangsa.’

Netanyahu dan pegawai atasan lain dijangka memberi keterangan di hadapan jawatankuasa itu, namun perdana menteri terbabit menegaskan bahawa tentera yang melakukan serbuan hanya akan disoal oleh satu panel tentera berasingan.
Akhbar Haaretz Israel, berkata Israel dan Amerika bersetuju dengan jawatankuasa itu, namun media Israel lain berkata Washington masih belum memberi kelulusan akhir.

Panel itu tiada kuasa termasuk hak untuk mengeluarkan sapina dan kes tidak akan dibukukan.

Ia menyebabkan Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata, Israel sepatutnya tidak dibiarkan menjalankan siasatan ke atas serbuan komandonya ke atas Mavi Marmara.

“Siasatan tidak seharusnya dibiarkan ke tangan Israel,” kata Mahmud kepada kumpulan pemikir Washington.

“Israel tidak boleh menyiasat diri sendiri.” kata Mahmud yang ada di sini untuk berunding dengan Obama.

Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad menggesa sempadan di Gaza dibuka selaras dengan perjanjian yang memberi peranan kepada kerajaan Tebing Barat pimpinannya mentadbir kawasan berkenaan.

Fayyad berkata, pembukaan kawasan sempadan itu seperti perjanjian 2005, akan membantu menyatukan semula Tebing Barat dan Gaza – yang ditadbir kerajaan berasingan sejak Hamas memperoleh kuasa di Gaza pada 2007.

“Pembukaan semula sempadan mewujudkan persekitaran lebih baik bagi menyatukan semula negara ini dan institusi Palestin,” kata Fay-yad. – Agensi

No comments:

Post a Comment