Monday, June 21, 2010

Jalan Gambang-Segamat wajar dinaik taraf jadi lebuh raya


PELBAGAI cerita suka duka terpahat sepanjang cuti persekolahan selama dua minggu bermula 5 Jun lalu.
Antara yang menceriakan musim cuti persekolahan kali ini adalah bermulanya aksi perlawanan Piala Dunia yang menyebabkan ada kalangan kaki bola yang tidak cukup tidur.
Berita gembira terbaru bagi penduduk Pahang pula apabila negeri ini diumumkan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2012 selepas temasya dwitahunan itu melabuhkan tirainya di Melaka Bandaraya Bersejarah kelmarin.
Namun di sebalik keceriaan itu, ada dua peristiwa hitam yang sepatutnya boleh dielakkan daripada berlaku.
Dua tragedi menyayat hati apabila 11 nyawa daripada dua keluarga terkorban dalam kemalangan ngeri yang berlaku di Jalan Gambang-Segamat, Pekan dalam tempoh sembilan hari.
Kemalangan pertama berlaku pada 8 Jun lalu di Kilometer 78 melibatkan enam sekeluarga maut selepas kereta Proton Iswara yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori bermuatan kayu.
Kejadian didakwa berpunca daripada kegagalan pemandu kereta terbabit yang cuba memotong sebuah lori di hadapannya sebelum bertembung dengan lori bermuatan kayu dari arah bertentangan.
Dalam kes kedua pada 17 Jun lalu, lima sekeluarga yang berhasrat untuk bercuti di Melaka menemui ajal apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung sebuah treler di Kilometer 87.
Insiden itu juga dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu treler terbabit yang gagal memotong sebuah lori di hadapannya menyebabkan ia bertembung dengan MPV yang dinaiki lima sekeluarga itu.
Lokasi kejadian antara kedua-dua kemalangan tersebut hanya sembilan kilometer dan tempoh antara kedua-dua kemalangan itu ialah sembilan hari.
Beberapa pengajaran boleh diambil daripada dua tragedi berdarah ini.
Faktor utama berlaku kejadian itu disebabkan kecuaian manusia apabila pemandu cuba memotong kenderaan di hadapan secara gopoh gapah.
Kejadian tersebut sepatutnya boleh dielakkan jika pemandu benar-benar memastikan tiada kenderaan lain datang dari arah bertentangan.
Satu lagi faktor manusia yang mungkin menyumbang kemalangan tersebut ialah memandu melebihi had yang ditetapkan.
Difahamkan dalam kes kedua, ia berlaku di kawasan berbukit dan berselekoh.
Sekiranya pemandu mengurangkan kelajuan apabila tiba di kawasan terbabit, mungkin tragedi tersebut tidak menjadi berita muka depan kebanyakan akhbar pada keesokan harinya.
Faktor jalan tidak boleh dipersalahkan bulat-bulat kerana keadaan Jalan Gambang-Segamat boleh dianggap sempurna walaupun ia berbukit-bukit dan mempunyai banyak selekoh.
Jalan itu juga menjadi laluan utama kebanyakan penduduk terutama dari Kuantan ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta agak sibuk pada musim cuti persekolahan dan perayaan.
Laluan itu juga menjadi tumpuan bas ekspres dan pemandu lori ke selatan tanah air untuk membawa muatan kayu-kayan dan hasil sawit berikutan sebahagian besar kawasan yang dilalui ialah tanah rancangan Felda dan hutan rimba.
Apa yang penting, setiap pemandu perlu meningkatkan tahap keselamatan dengan mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan ketika melalui jalan tersebut.
Tahap kesabaran adalah amat penting buat setiap pemandu apabila melalui jalan tersebut terutama ketika mengekori kenderaan berat di kawasan yang berselekoh dan berbukit.
Ada juga cadangan daripada pihak tertentu supaya Jalan Gambang-Segamat sepanjang lebih 200 kilometer itu dinaik taraf menjadi lebuh raya bagi mengurangkan kadar kemalangan maut di laluan itu.
Kerajaan negeri seharusnya mengkaji cadangan itu dan menjadikannya sebagai salah satu agenda dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment