Monday, June 21, 2010

Komponen BN kena serang balas fitnah pembangkang: Najib




2010/06/21

HUTAN MELINTANG: Datuk Seri Najib Razak mahu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan memperbetulkan persepsi buruk rakyat terhadap parti dan kerajaan akibat manipulasi dan pembohongan pembangkang. 

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, BN perlu melakukan serangan balas terhadap tuduhan pembangkang bagi mengelak rakyat terus membenci dan menolak kerajaan.“Pembangkang sering menimbulkan persepsi salah di kalangan rakyat dengan 'memusingkan' sesuatu isu hingga fakta yang kadang kala hanya sedikit benar diperlihatkan seolah-olah kebenaran mutlak."Kadangkala 10 peratus cerita tu (benar) dan kadangkala tak sampai 10 peratus pun benar, tetapi dijadikan sebagai fakta atau kebenaran mutlak dan kita berdepan soal mainan persepsi pembangkang yang hari ini saya akui kita tidak berapa cekap untuk memperbetulkannya. 

"Masalahnya bukan UMNO tak baik, bukan UMNO tak memperjuangkan nasib rakyat, bukan BN tak baik, bukan BN tak banyak jasa membangunkan negara kita, tetapi kerana soal mainan politik pembangkang menjadi masalah kepada kita. 

"Sebab itulah hari ini, jika dulu tak perlu kita lakukan perkara ini (perbetulkan persepsi), dulu (pentingkan) soal pembangunan saja... sekarang ni politik mesti perbetulkan persepsi. 

“Kalau kita beri peruntukan saja tak cukup, kita beri peruntukan kepada sekolah Cina pun tak cukup, sebab akibat persepsi ada lagi yang tak puas hati. Jadi kita kena betulkan persepsi ini, buat serangan balas macam pasukan Piala Dunia,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh di Wisma Umno bahagian itu di sini, semalam. 
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan projek pembinaan limbungan kapal NGV Tech Sdn Bhd dan menyampaikan lesen menduduki sementara (TOL) kepada penduduk setinggan serta menyampaikan surat tawaran Program Bantuan Rumah oleh FELCRA. 

Pada sebelah petang, beliau menghadiri majlis mesra rakyat bersama masyarakat Cina di Bagan Cina, Kampung Sungai Tiang diikuti tinjauan mesra. 

Perdana Menteri berkata, dua isu yang dicanangkan pembangkang hingga wujud persepsi buruk terhadap kerajaan ialah kerosakan kapal selam dan kehilangan dua enjin pesawat F5E milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Perdana Menteri yakin sokongan rakyat kepada kerajaan dan parti akan dipulih dan diperteguhkan, malah lebih teguh menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, asalkan semua pihak mengambil iktibar daripada tsunami politik 2008. 

Di PAGOH, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pimpinan BN memberi penjelasan kepada rakyat termasuk mendedahkan penipuan, pembohongan dan fitnah disebarkan pembangkang dengan mengambil pendekatan ‘menyerang’, bukan lagi bertahan. 

Timbalan Perdana Menteri, berkata seruan Najib supaya BN berhenti bertelagah dan bersatu bagi memastikan BN terus kekal perlu diberi perhatian semua pemimpin BN. 

“Jika kita bertahan dan tidak ‘menyerang’, banyak fitnah (akan terus) disebarkan pembangkang mengenai kerajaan, parti, berkaitan ekonomi, politik dan sosial yang kadang-kadang boleh memperdayakan," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sewajarnya mempertikaikan ancaman Jemaah Islamiah (JI) di negara ini kerana ia berdasarkan fakta dan bukannya sentimen politik. 

No comments:

Post a Comment