Monday, June 21, 2010

PKR mungkin lakukan rombakan kepemimpinan - Saifuddin



21/06/2010 8:38pm

KUALA LUMPUR 21 Jun – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka membuat beberapa perubahan pada barisan kepemimpinannya dalam satu rombakan yang mungkin diumumkan hujung minggu ini.
Beberapa ketua perhubungan dan ketua biro parti dijangka diganti, manakala beberapa lantikan baru akan mengisi jawatan majlis tertinggi, badan pembuat keputusan parti.
"Terdapat beberapa perubahan kecil yang akan diumumkan kemudian oleh kepimpinan parti,” kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin berkata, parti itu dijangka mengumumkan rombakan tersebut selepas mengadakan permukiman di sebuah hotel di Shah Alam hujung minggu ini.
Terdapat spekulasi bahawa dua bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim dan Chua Jui Meng, yang merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat, akan diberi peranan lebih besar.
Zaid kini mengetuai sekretariat pakatan pembangkang PKR-DAP-Pas, manakala Jui Meng menganggotai biro politik parti.
Terdapat desas-desus bahawa ketua komunikasi parti, Jonson Chong akan diganti dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. – Bernama

No comments:

Post a Comment