Friday, June 18, 2010

Masalah air Kampung Macang dijangka berakhir



KUANTAN 17 Jun - Penduduk di Kampung Machang, Panching di sini boleh menarik nafas lega apabila masalah kesukaran mendapatkan bekalan air paip yang dihadapi sejak 50 tahun lalu berakhir tidak lama lagi.
Ketika memberi jaminan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd. Zaili Besar berkata, pihaknya memang menyedari masalah yang dihadapi lapan keluarga yang menetap di kampung itu berikutan permohonan yang dibuat selama ini masih belum diluluskan.
''Pada 29 April lalu saya telah mengemukakan permohonan mendapatkan peruntukan khas sebanyak RM95,000 kepada Pejabat Pembangunan negeri bagi kerja-kerja pemasangan paip ke rumah penduduk dan ia masih dalam pertimbangan untuk diluluskan.
''Sementara itu, Jabatan Bekalan Air (JBA) juga telah pergi ke kampung tersebut hari ini dan mendapati masalah utama yang menyebabkan penduduk tidak dapat menikmati bekalan air ialah jarak antara rumah dan paip utama agak jauh iaitu kira-kira 1.4 kilometer.
''Tambahan pula, kerja-kerja pemasangan paip terpaksa melalui kawasan kebun getah milik persendirian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai keluhan penduduk Kampung Machang yang terpaksa menggunakan air Sungai Panching sebagai bekalan utama untuk melakukan kerja-kerja harian terutama membasuh pakaian, memasak dan mandi sejak 50 tahun lalu.
Lebih membimbangkan, paras air sungai yang dalam dan deras amat berbahaya kepada penduduk terutama ketika musim hujan.
Menurut Mohd. Zaili, pihaknya telah memohon kebenaran daripada pemilik kebun getah terbabit dan mereka telah bersetuju membenarkan tanah masing-masing digunakan bagi pemasangan paip.
''Oleh itu, saya akan berusaha bagi memastikan penduduk di kampung berkenaan menikmati bekalan air paip dalam masa terdekat ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment