Friday, June 18, 2010

Sepakat heret Israel ke pengadilan





JAKARTA 17 Jun - Malaysia dan Indonesia sepakat untuk mendapatkan sokongan antarabangsa bagi mengheret Israel ke muka pengadilan atas tindakannya menyerang pasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini yang turut disertai rakyat kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kedua-dua buah negara akan mencari ruang bagi membawa rejim Zionis ke pengadilan melalui forum keadilan antarabangsa.
"Malaysia dan Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan oleh tentera Israel pada 30 dan 31 Mei lalu.
"Kita akan menggunakan apa juga ruang yang ada membawa rejim Tel Aviv ke muka pengadilan supaya sekatan ke atas penduduk Palestin di Gaza dapat dihentikan," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Luar Indonesia, Dr. Marty Natalegawa.
Terdahulu, Anifah mengetuai delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan Marty di Bangunan Pancasila di Kementerian Luar Indonesia di sini hari ini.
Pertemuan itu adalah yang pertama kali diadakan selepas rundingan tahunan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Marty berkata, kedua-dua negara bertekad untuk membawa perkara tersebut ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya Israel bertanggungjawab sepenuhnya di atas tindakan menyerang kapal Mavi Marmara tempoh hari.
Dalam pada itu, Anifah berkata, pertemuan hari ini turut membincangkan lebih lanjut berhubung usaha menghidupkan semula Jawatankuasa Bersama (JCM) yang dipimpin oleh menteri luar kedua-dua negara.
JCM itu dijadual diadakan pada September atau November depan dan berperanan mengendalikan perbincangan awal mengenai isu semasa dua hala sebelum dilaporkan kepada ketua negara.
Bagaimanapun, kata Anifah, dalam tempoh tersebut kedua-dua buah negara bersetuju mengadakan pertemuan secara tidak formal dengan lebih kerap bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
"Jika ada keperluan boleh berhubung secara langsung melalui telefon, saling berkunjung untuk selesai apa juga masalah yang wujud, kerana sebagai negara jiran dekat masalah seharian berlaku.
"Ia membolehkan perbincangan secara tulus dan masalah kedua-dua buah negara dapat diselesaikan dengan baik," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment