Saturday, June 19, 2010

Nik Aziz saran wanita tunaikan solat Jumaat



BACHOK - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan wanita turut mengerjakan solat Jumaat sebagaimana lelaki menunaikannya di masjid dengan mempunyai ruang khas bagi mengerjakan ibadah itu.

Beliau berkata, walaupun amalan itu adalah sunat bagi wanita tetapi ia digalakkan dalam Islam kerana di Tanah Suci Mekah, wanita boleh melakukannya.

“Saya nampak benda ini sepatutnya sudah lama diamalkan, tetapi kerana kita tidak mempunyai tempat cukup kerana melibatkan percampuran antara jemaah lelaki dan wanita,” katanya di sini, hari ini.

Nik Aziz menyarankan imam masjid di Kelantan agar mencontohi amalan di Arab Saudi yang mengamalkan solat Jumaat dalam kalangan Muslimat.

Ditanya sama ada ia akan menimbulkan suatu kejutan kerana baru diperkenalkan di negeri ini, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, ia tidak menjadi masalah selagi tidak bercanggah dengan Islam.

“Memanglah sesuatu yang terpendam, setelah baru didedahkan akan menimbulkan kejutan,...tetapi ia tidak akan menjadi masalah selagi ia tidak bercanggah dengan agama.

“Biasalah...malah sejak Pas baru lahir dulu pun menimbulkan kejutan dalam kalangan masyarakat macam mana politik dengan agama boleh dicampuradukkan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan wanita sanggup menunggu suami dalam kereta mengerjakan solat Jumaat kerana tiada ruang khas untuk mereka disebabkan kebanyakan ruang di masjid digunakan lelaki.

“Tetapi jika ada ruang cukup untuk wanita, ia tidak jadi masalah. Kalau hari-hari biasa wanita boleh bersolat jemaah, tidak ada sebab wanita juga boleh mengerjakan solat Jumaat di masjid,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masjid yang bakal dibina di sini akan dijadikan masjid contoh untuk memperkenalkan wanita mengerjakan solat Jumaat di negeri ini. - Bernama



No comments:

Post a Comment