Saturday, June 19, 2010

Sultan tidak perkenan tindakan Pemangku Raja Kelantan



KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra tidak perkenan dengan tindakan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menarik balik pelantikan Jaksa Pendamai (JP) dan anugerah lain terhadap seorang keluarga diraja, Tengku Ahmad Zahiri Tengku Abdul Kadir.

Tengku Ahmad Zahari mendakwa, Sultan Kelantan kesal terhadap penarikan pelantikan tersebut selepas dimaklumkan mengenai tindakan itu ketika menghadap baginda di Istana Mahkota di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, beliau menghadap Tuanku Ismail selepas menerima surat itu daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias pada 9 Mei lalu, beberapa hari selepas penarikan gelaran itu.

Beliau yang juga pegawai lantikan kontrak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berkata, penarikan balik pelantikan itu terhadapnya juga berkuat kuasa 9 Mei lalu.

“Selain JP, anugerah saya yang lain ditarik balik ialah Seri Kelantan (SK), Ahli Kelantan (AK) dan Pingat Taat (PT),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Akhbar 17 Jun lalu melaporkan, Kerajaan Kelantan mengumumkan penarikan balik darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk daripada tujuh individu oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Pada masa sama, Tengku Muhammad Faris juga menarik balik pelantikan Jaksa Pendamai (JP) terhadap tiga individu lain.

No comments:

Post a Comment