Saturday, June 19, 2010

Pasangan tinggal dalam khemah dapat pembelaan



Jamawi Jaafar (tiga dari kiri) bersama rombongan Pergerakan Pemuda UMNO Tenom membawa bantuan makanan untuk diserahkan kepada Ampakat Magindul dan Sinang Bangsian di Kampung Kalibatang Lama, Kemabong, Sabah, baru-baru ini.


TENOM 18 Jun - Kedaifan hidup warga emas, Ampakat Magindul, 90, dan pasangannya, Sinang Bangsian, 87, yang hanya tinggal dalam khemah di Kampung Kalibatang Lama, Kemabong dekat sini berakhir apabila mendapat pembelaan Pergerakan Pemuda UMNO Sabah.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, pihaknya terpanggil membela pasangan berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kisah hidup mereka oleh penduduk setempat.
Katanya, keadaan hidup pasangan berkenaan yang banyak bergantung simpati sumbangan masyarakat sekeliling amat menyedihkan dan tidak terurus.
''Kita bukan sahaja melawat dan menghantar bantuan tetapi akan mengambil langkah penyelesaian jangka panjang bagi membantu pasangan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat pasangan berkenaan baru-baru ini.
Jamawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Tenom berkata, antara penyelesaian jangka panjang itu adalah mendapatkan sebuah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk pasangan tersebut.
Tambahnya, pasangan tanpa anak itu turut dipelawa untuk dihantar ke rumah kebajikan bagi memastikan kehidupan mereka lebih terurus.
''Bagaimanapun kedua-dua langkah berkenaan bergantung kepada keputusan pasangan berkenaan dan keluarga mereka.
''Kita tidak boleh terlalu memaksa tetapi sedia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa dan memastikan bantuan tersebut disegerakan," ujarnya.
Beliau menambah, walaupun pasangan berkenaan sudah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan sebanyak RM300 sebulan, ia masih belum memadai kerana pasangan tersebut sudah terlalu uzur untuk mengurus hidup masing-masing.
Oleh itu beliau berharap Jabatan Kebajikan tampil dengan kaedah lain untuk membantu pasangan berkenaan.
Sementara itu, Jamawi berkata, pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi perlu lebih peka kepada masalah masyarakat dengan melaporkan segera masalah itu kepada pihak berkaitan.
Katanya, dengan itu tindakan susulan dapat diambil bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk itu.

No comments:

Post a Comment