Sunday, June 13, 2010

Pas sengaja buat gimik



SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mempersoalkan tindakan Pas mengajak beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk dirinya untuk menyertai parti itu. 

Jamil Khir berkata, cubaan mengaitkan namanya dengan parti itu hanya bertujuan sebagai gimik untuk menarik perhatian masyarakat kerana beliau tidak pernah terfikir untuk menyertai perjuangan Pas. 

“Saya tidak pasti betul atau tidak tentang hal ini kerana kita nak tahu apa matlamat sebenar mereka.Ini kerana ucapan gimik hebat seperti ini boleh dibuat siapa sahaja untuk menarik perhatian rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan dalam Muktamar Tahunan Pas menasihati beberapa pemimpin BN untuk menyertai dan kembali berjuang bersama parti dengan slogan ‘Jom Sertai Pas’. 

Selain Jamil Khir, antara nama yang disebut ialah Mennteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Chik dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mohd Puad Zarkashi. 

Jamil Khir berkata, rakyat perlu menilai semula parti tersebut yang bersungguh-sungguh menjayakan pelan bersama DAP dan PKR semata-mata mahu ‘menguasai’ Putrajaya. 

“UMNO sentiasa bersikap pintu terbuka tetapi nampaknya terdapat sebahagian individu tertentu telah tanam kebencian terhadap kami,” katanya. 

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika dihubungi berkata, tiada sebab pemimpin BN akan menyertai Pas kerana tidak mempercayai perjuangan parti itu.: 

“Rakyat tetap memilih BN kerana hampir 72 peratus masih percaya dengan perjuangan kami untuk membangunkan negara demi kebaikan bersama. 

“Pas perlu mengajak pemimpin kalangan PKR untuk menyertai Pas kerana mereka sendiri tidak sensitif terhadap Melayu,” katanya.

No comments:

Post a Comment