Sunday, June 13, 2010

PAS sudah enam kali berdialog dengan gereja

KOTA BHARU, 13 Jun: PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasional sudah berdialog dengan enam buah gereja di negara ini dan akan meneruskan lagi usaha ini untuk membolehkan persefahaman tercapai antara PAS dengan penganut Kristian.

Pengerusinya, Dr Mujahid Yusof (gambar) berkata, dialog dengan pelbagai pihak ini dibuat sebagai satu medan baru yang diambil oleh lajnah itu selepas selesai menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

"Selepas berjaya diselesaikan, kita serahkan pengawasannya kepada Lembaga Penasihat DHPP yang dipimpin oleh naib presiden Salahudin Ayub," kata Mujahid.

Melalui lembaga ini, kata Mujahid, badan baru dalam PAS ini akan dibimbing yang antara lain untuk memastikan mereka memahami budaya PAS dengan baik.

Semasa penubuhan DHPP Mei lalu, semua ahlinya telah berikrar untuk memastikan mereka sentiasa bersama PAS dan tidak menyusahkan PAS.

"Antara ikrar mereka, atau bai'ahlah bagi kita, adalah menjunjung dasar PAS, mentaati perintah pimpinan PAS, menjaga nama baik..ini janji mereka," kata Mujahid ketika menggulung perbahasan ucapan dasar PAS di hari ketiga muktamar.

Dalam ucapannya, Mujahid memaklumkan, lajnahnya melaksanakan  konsep untuk melibatkan sepenuhnya muslimat dalam organisasi PAS.

"Timbalan saya adalah muslimat iaitu Dr Halimah Ali (Exco kerajaan negeri Selangor), begitu juga setiausaha lajnah ini adalah muslimat," kata Mujahid.

Mujahid juga memaklumkan, kejayaan besar penubuhan DHPP adalah hasil pertolongan yang dibuat oleh Ustaz Hasan Shukri yang mengetuai jawatankuasa teknikal untuk mengkaji perlembagaan PAS bagi membolehkan orang bukan Islam mempunyai kedudukan yang jelas dalam parti Islam PAS ini.

"Draf perlembagaan yang disiapkan oleh Ustaz Hassan dan pasukannya telah diluluskan sebulat suara oleh pimpinan PAS dan kemudiannya oleh Majlis Syura Ulamak.

"Setahu saya PAS adalah parti Islam yang pertama mempunyai ahli bukan Islam dan ada hak-hak tertentu," kata Mujahid dalam ucapannya.

No comments:

Post a Comment