Sunday, June 27, 2010

Rais kunjungi S. Shamsudin


DR. Rais Yatim berbual mesra dengan S. Shamsudin semasa berkunjung ke rumahnya di Singapura, semalam. Turut hadir isteri Shamsudin, Puteh Esmoon (kiri), Mustafa Maarof dan Aziz Satar.


SINGAPURA 26 Jun - Pelakon komedi terkenal filem Melayu, S. Shamsudin tidak menduga seorang menteri Malaysia sanggup datang ke Singapura semata-mata untuk menziarahi beliau.
Hari ini, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bertemu Shamsudin, 81, di rumah anak bongsunya di flat Bukit Batok di sini.
Shamsudin adalah seniman komedi sepanjang zaman yang seangkatan dengan seniman agung Allahyarham P Ramlee, Allahyarham A. R Tompel dan Datuk Aziz Satar, dan telah berlakon dalam lebih 30 filem.
Anak kelahiran Singapura ini mula berlakon pada tahun 1948 dalam filem-filem Melayu terbitan Studio Jalan Ampas di sini dan namanya mula memuncak setelah berlakon bersama Ramlee dan Aziz dalam filem-filem siri Bujang Lapok.
Ketibaan Rais, yang diiringi Aziz, pelakon Datuk Mustafa Maarof dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim di sambut Shamsudin, isterinya, Puteh Esmoon, serta beberapa anak dan cucunya.
Shamsudin yang kelihatan kurus dan kurang sihat setelah demam sejak dua hari lalu, menggagahi dirinya untuk bangun bertemu dengan Rais dalam suasana yang penuh mesra dan terharu.
Beliau kelihatan kurang bercakap dan hanya menjawab sepatah dua apabila ditanya Rais mengenai perkembangan dirinya dan ketika mengenang kembali lakonan lampau Shamsudin.
Rais memberitahu Puteh, beliau mendapat tahu Shamsudin agak uzur dan sebab itu beliau datang untuk menengok suaminya hari ini dan berharap Puteh sentiasa berkomunikasi dengan suaminya supaya beliau ceria semula.
Rais kemudian menyampaikan kepada Shamsudin sumbangan RM10,000 daripada dana bantuan untuk seniman yang dikendalikan oleh kementerian dan Finas setelah meluangkan masa hampir sejam bersama Shamsudin.
Rais berharap Shamsudin akan cepat sembuh dan kembali sihat serta mengajak beliau dan isterinya ke Kuala Lumpur untuk bertemu rakan-rakan lama beliau serta menyertai acara-acara yang dianjurkan kementerian.
Rais juga sempat bergambar bersama Shamsudin, isteri dan anak cucunya sebelum beredar.
Puteh kemudian memberitahu pemberita Malaysia yang beliau pada mulanya tidak percaya Rais, seorang menteri Malaysia, akan bertandang ke flatnya untuk bertemu Shamsudin.
Katanya, Aziz yang menelefon rumahnya dua hari lepas memberitahu mengenai keinginan Rais untuk datang bertemu suaminya dan beliau mula percaya setelah Aziz meminta alamat penuh flatnya semalam.
"Kami sungguh terharu dan cukup gembira serta berterima kasih dengan kedatangan beliau," kata Puteh dengan tergenang air matanya, sambil menyambung,"tidak pernah seorang menteri datang ke rumah kami sebelum ini." Shamsudin pula sempat meminta media Malaysia menyampaikan rasa terima kasihnya kepada menteri kerana sudi menziarahnya serta atas sumbangan yang diberikan Rais.
Shamsudin yang berkahwin dengan Puteh pada 1954 mempunyai tujuh anak dan 14 cucu. - Bernama

No comments:

Post a Comment