Thursday, July 1, 2010

Anwar bina 'kubu' di Selangor


KUALA LUMPUR 30 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang berusaha membina 'kubu' di Selangor bagi memastikan pemerintahan mereka kekal selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.
Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berkata, hasrat tersebut menjadi antara punca Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semakin hilang kuasa kerana dilihat tidak menunjukkan ketegasan dikehendaki PKR dalam mentadbir negeri itu.
"Anwar dan parti-parti pembangkang lain akan berusaha bertahan di Selangor memandangkan negeri itu paling kaya dan mempunyai banyak anak syarikat kerajaan negeri untuk dieksploitasi secara peribadi atau keseluruhan.
"Untuk itu, golongan elit atau terdekat dengan kepimpinan PKR mahu mengambil alih politik dan pentadbiran di Selangor untuk melaksanakan apa sahaja strategi bagi menghadapi pilihan raya kelak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas perkembangan politik di Selangor dan tujuan Anwar memberi lebih fokus kepada negeri tersebut berbanding negeri-negeri lain yang diperintah pembangkang.
Menurutnya, perpecahan di Selangor kini semakin jelas dengan DAP mengawal Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Khalid mengawal pentadbiran negeri dan Anwar mengawal ekonomi selaku penasihat ekonomi kepada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, jelasnya, PKR tidak mungkin dapat menolak sepenuhnya DAP atau Pas di Selangor kerana Anwar memerlukan kedua-dua parti tersebut untuk mencapai cita-cita sebagai Perdana Menteri.
"DAP menyokong kuat Anwar untuk menarik sokongan orang Melayu. Ketua Pembangkang itu pula memerlukan Pas dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana beliau mempunyai beberapa masalah dari segi keagamaan terutama melibatkan dakwaan sebagai penyokong Yahudi dan kes liwatnya," jelasnya.
Zainal berkata, kesan negatif pentadbiran pembangkang semakin dirasai rakyat di Selangor berikutan tiada program pembangunan yang baik serta masalah kewangan yang dihadapi negeri tersebut.
"Perkara paling buruk berlaku di bawah kepimpinan pembangkang adalah usaha untuk meruntuhkan pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) terutama kemajuan di kalangan usahawan bumiputera di negeri itu," dakwanya.
Tegasnya, keuntungan daripada sumber alam seperti air, hasil hutan dan terutama sekali perlombongan pasir juga dieksploitasi untuk keuntungan kumpulan tertentu sahaja.
Tambah beliau, rakyat Selangor akhirnya hanya menikmati sedikit hasil daripada janji-janji kecil seperti bantuan bil air sementara keuntungan besar dikaut para pengikut parti tersebut.
Sementara itu, pensyarah politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, perebutan kuasa di Selangor berlaku kerana pihak tertentu mengejar kesempatan mendapatkan peluang dan projek kerajaan negeri.
"Jika tidak pegang jawatan, susah untuk dapatkan peluang. Kerana itu juga pembangkang tidak boleh melepaskan negeri yang kaya seperti Selangor.
"Peralihan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor daripada Abdul Khalid kepada Naib Presiden parti, Azmin Ali sukar diterima sebagai satu tindakan mengukuhkan parti kerana persepsi umum melihatnya sebagai sesuatu yang melemahkan parti.
"Saya rasa Anwar dan Abdul Khalid kini dalam kumpulan berbeza dan akhirnya rakyat Selangor yang akan menanggung kerugian berikutan kepimpinan pakatan pembangkang mementingkan puak dan rakan mereka sahaja," ujarnya.
Bagi seorang penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula, perbalahan dalam politik dan pemerintahan di negeri Selangor tidak berlaku jika perhatian benar-benar diberi kepada rakyat dan bukannya kepada kepentingan ahli politik semata-mata.
"Ini semua permainan politik. Abdul Khalid kini sudah hilang akar umbinya dan ini memudahkan Anwar mengambil alih," katanya.

No comments:

Post a Comment