Thursday, July 1, 2010

Warga Felda serah memo kepada Suara Keadilan


SHAH ALAM 30 Jun - Kira-kira 300 warga Felda hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib di pejabat akhbar itu di Seksyen 13 di sini.
Mereka yang datang dengan lima buah bas persiaran tiba di pejabat Suara Keadilan kira-kira pukul 2.45 petang dan menyerahkan memorandum itu kepada Dzulkarnain kira-kira 15 minit kemudian.
Menurut Presiden Majlis Belia Felda Selangor, Azizi Ngah Mat Daud yang menjadi jurucakap warga Felda tersebut, memorandum itu diserahkan sebagai membantah tuduhan akhbar itu yang dikatakan melaporkan berita berunsur fitnah terhadap Felda.
Antaranya, kata beliau, memfitnah Felda telah bankrap dan mendakwa pelaburan Felda di Amerika Syarikat tidak mendatangkan hasil dan pulangan modal untuk warga peneroka.
Sehubungan itu, katanya, kesemua warga Felda yang datang dari Selangor, Negeri Sembilan dan Johor berkumpul di hadapan pejabat akhbar Suara Keadilan bagi membantah penyiaran berita tersebut.
''Kami juga ingin menyatakan sokongan terhadap tindakan yang diambil oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan untuk menyaman Suara Keadilan kerana tindakan tidak bertanggungjawab akhbar itu memfitnah dan merosakkan maruah serta masa depan Felda.
''Kami juga mendesak agar lesen penerbitan akhbar-akhbar yang menyiarkan berita seperti ini ditarik balik kerana pembohongan dan fitnah mereka boleh memecah-belahkan masyarakat Felda khasnya dan masyarakat Malaysia amnya," kata Azizi kepada pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian mendapati kira-kira 30 anggota polis mengawal keadaan yang sedikit tegang semasa Dzulkarnain menerima memorandum daripada Azizi.
Ini kerana warga Felda yang tidak dapat menahan perasaan meluahkan kekecewaan mereka kepada Dzulkarnain hingga memaksa polis mengarahkan editor akhbar itu masuk ke dalam pejabatnya.
Warga Felda yang tidak berpuas hati kemudian bertindak membakar salinan artikel yang dikatakan berunsur fitnah di depan pejabat akhbar tersebut.

No comments:

Post a Comment