Thursday, July 1, 2010

Bukan turun pangkat




KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menjelaskan bahawa semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang terbabit dengan pertukaran portfolio bersetuju dengan perubahan dilakukan. 

Menurut beliau, sehingga ini tiada sebarang bantahan diterima daripada lima Exco yang terlibat dengan rombakan seperti mana diumumkan pada 24 Jun lalu. 

“Semua Exco tiada masalah dengan pertukaran portfolio ini, malah tiada seorang pun yang kata mahu melepaskan jawatan. 

“Sebenarnya, tiada apa-apa masalah dengan perubahan ini, pertukaran ini untuk beri peluang kepada mereka bertukar pengalaman, malah gaji dan ‘seniority’ mereka tetap sama, tak ada pun yang turun pangkat,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mempe-ngerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. 

Pada sidang akhbar berkenaan Ahmad turut menafikan bahawa beliau sengaja menyalahkan pihak lain berhubung isu kerja pembersihan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak yang sehingga kini masih tertangguh. 

Sebaliknya, beliau sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Negeri masih belum menerima laporan mengenai penilaian tender daripada Jabatan Kerja Raya (JKR). 

“Jawatankuasa tender memang terletak di bawah Kerajaan Negeri, tetapi laporan penilaian tender dibuat oleh JKR, jadi jika laporan penilaian belum diperoleh bagaimana jawatankuasa tender mahu bersidang dan membuat keputusan (untuk memilih kontraktor). 

“Bukan kita mahu ‘pass’ (tolak) masalah ini kepada pihak lain macam main bola, tetapi memang betul kita masih belum menerima laporan,” katanya. 

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, apabila laporan telah diterima, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan segera. 

“(Misalnya) kalau JKR hantar (laporan) esok, Rabu minggu depan kita akan arahkan lembaga tender bersidang untuk membuat keputusan. Saya malu kerana selepas setahun lebih sisa runtuhan itu masih gagal dibersihkan sekali gus menggambarkan ketidakcekapan kita. 

“Kes ini sama seperti (Dewan Bedah) Hospital Setiu, walaupun sudah beberapa kali bercakap (dibangkitkan), namun sampai sekarang belum lagi selesai,” katanya.

No comments:

Post a Comment