Wednesday, July 28, 2010

Elak keluar surat sokongan berunsur perniagaan: MB Selangor


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menasihati semua pemimpin di negeri ini supaya mengelak daripada mengeluarkan surat sokongan berunsur perniagaan.

Beliau berkata, hal berkenaan ditujukan kepada semua pemimpin termasuk wakil rakyat, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelak timbulnya konflik kepentingan serta boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

"Satu surat pekeliling akan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dalam masa terdekat berhubung saranan ini dan kita minta semua pemimpin mengambil perhatian terhadapnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, surat sokongan bagi tujuan untuk mendapatkan bantuan kebajikan amat digalakkan terutamanya bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.

"Surat sokongan seperti anak mahu masuk universiti, orang susah untuk dapatkan bantuan dan bantuan untuk warga emas amat dialu-alukan," katanya.


No comments:

Post a Comment