Wednesday, July 28, 2010

Tidak peduli jalan rosak


Cindy Leong (duduk) bersama beberapa penduduk menunjukkan salah satu daripada lubang besar yang terdapat di Jalan Bunga Mawar, Taman Muda di Ampang baru-baru ini.


AMPANG 27 Julai - Masalah jalan berlubang dan rosak teruk di persimpangan Jalan Bunga Mawar berhampiran pasar pagi Taman Muda di sini terus menjadi kebimbangan pengguna.
Walaupun masalah itu sudah sering kali diajukan kepada pihak berkuasa tempatan, penduduk mendakwa sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil untuk mengatasinya.
Penduduk juga mempersoalkan kepekaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee terhadap masalah tersebut, sekali gus menunjukkan beliau jarang meronda di kawasan jagaannya.
Jalan sepanjang 10 kilometer itu adalah jalan utama yang digunakan oleh penduduk sekitar dan beberapa taman perumahan di sepanjang jalan berkenaan untuk ke pasar berkenaan serta ke Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MMR2) melalui Pandan Indah.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi berkenaan mendapati, pada satu jajaran sepanjang kira-kira 50 meter di situ, keadaan jalan berada dalam situasi yang amat teruk.
Terdapat 10 lubang sedalam kira-kira 15 sentimeter dengan kelebaran sehingga satu meter, yang cukup membahayakan pengguna terutama penunggang motosikal.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Pandan, Cindy Leong berkata, keadaan itu sudah berlarutan selama satu bulan dan selama itulah, pengguna kenderaan terpaksa berhadapan dengan risiko kemalangan.
Katanya, berdasarkan aduan penduduk, boleh dikatakan setiap minggu pasti berlaku kemalangan terutama melibatkan penunggang motosikal.
"Ada yang terbabas sendiri, ada pula motosikal bertembung kenderaan lain kerana cuba mengelak jalan yang rosak dan kemalangan itu biasanya berlaku pada waktu malam," ujarnya ketika meninjau ke lokasi berkenaan di sini.
Beliau berkata, alasan tidak mempunyai peruntukan oleh pihak berkuasa tidak boleh diterima oleh penduduk kerana ia melibatkan soal keselamatan.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyegerakan kerja-kerja baik pulih jalan di situ demi keselamatan dan keselesaan semua pengguna.
Dalam pada itu, penduduk mengucapkan terima kasih kepada Alam Flora kerana bertindak segera melakukan kerja-kerja memperbaiki keadaan longkang yang tersumbat di Jalan Bunga Tanjung 10, yang menjadi punca banjir di kawasan berhampiran.
Cindy berkata, penduduk juga kecewa dengan Jenice yang seolah-olah tidak mengambil berat masalah yang dihadapi penduduk walaupun masalah itu sudah dimaklumkan kepada beliau pada minggu lalu.
"Selepas isu longkang selesai, harapan penduduk ialah agar pihak bertanggungjawab akan memulakan kerja-kerja menampal jalan di sini bagi kemudahan penduduk dan pengguna jalan di situ," ujarnya.

No comments:

Post a Comment