Wednesday, July 28, 2010

halang Melayu miliki hartanah


KUALA LUMPUR 27 Julai - Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan, cadangan agar kerajaan Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu sebagai usaha terancang menghalang orang Melayu memiliki hartanah di kawasan bandar.
Justeru Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan pergerakan itu, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua tersebut perlu menjadi peringatan awal kepada orang Melayu bahawa lebih banyak hak keistimewaan golongan itu akan diganggu gugat jika DAP memerintah.
Sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai melambangkan sikap cauvinis DAP, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Selayang berkata, DAP sengaja bermain api apabila membangkit atau mencadangkan sesuatu perkara yang boleh mengguris perasaan orang Melayu.
''DAP memang sentiasa mencari ruang untuk merampas dan menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu dengan pelbagai helah terancang dan cadangan Tony itu adalah salah satu daripada contohnya," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ketika mengemukakan cadangan itu Tony yang juga Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP turut mengkritik pelaksanaan diskaun itu yang disifatkan tidak adil kerana mungkin digunakan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan..
Sohaimi berkata, tindakan DAP itu secara tidak langsung boleh dianggap sebagai usaha halus parti tersebut untuk melemahkan orang Melayu daripada memiliki hartanah terutamanya di kawasan bandar.
Beliau juga menggesa pemimpin-pemimpin Melayu di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan pendirian mereka berhubung isu berkenaan.
''DAP sudah menunjukkan belang mereka, apakah pemimpin-pemimpin Melayu PKR hanya diam sahaja sedangkan sebelum ini mereka yang melaung-laungkan soal negeri berkebajikan,'' tegasnya.

No comments:

Post a Comment