Thursday, July 15, 2010

Felda: Mazlan sedia berdialog dengan Ahmad - Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri
Jul 15, 10
2:37pm
Pengerusi Pertubuhan Anak-anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman menyahut pelawaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Ahmad Maslan untuk berdialog berhubung dakwaan kemerosotan rezab tunai Felda.

Katanya beliau menerima pelawaan tersebut dengan syarat dialog itu dibuatt secara terbuka kepada rakyat.

"Setelah mengambil kira kepentingan masyarakat Felda, maka saya bersedia untuk berdialog dengan syarat ia dibuat secara terbuka.

"Kalau tertutup, saya tidak berhasrat (untuk menerimanya)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi ini berhubung dakwaan tersebut.

Mazlan (kiri) yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata antara isu yang boleh dicadangkan untuk berdialog ialah isu tanam semula dan isu kadar perahan minyak.

Sebelum ini Mazlan telah menyerahkan surat mencabar Ahmad untuk berdebat berhubung dakwaan tersebut. Bagaimanapun, pada yang sama, Ahmad menyarankan supaya ia ditukar kepada majlis dialog.

Pada 16 Jun lalu, Ahmad dilapor berkata di Parlimen bahawa status kewangan Felda merosot sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

Mengulas perkara itu, Mazlan berkata beliau akan menghantar surat rasmi kepada Ahmad yang juga ketua penerangan Umno dalam masa terdekat sebagai tanda menerima pelawaannya untuk berdialog.

Beliau berhasrat untuk berdialog dengan Ahmad (kiri) sebelum bulan Ramadhan.

"Saya tidak kisah di mana. Saya cadangkan kita buat di dewan Felda (di ibunegara) yang boleh memuatkan kira-kira 1,500 orang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata, beliau akan menghantar dokumen berkaitan Felda kepada ahli jawatankuasa kira-kira (PAC) Datuk Kamaruddin Jaafar bagi mendesak jawatankuasa itu bersidang untuk "melihat apa yang berlaku dalam Felda".

"Kalau PAC boleh bersidang (menyiasat) isu PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang), kenapa tidak (menyiasat isu) Felda yang mewakili rakyat," kata Mazlan.

No comments:

Post a Comment