Thursday, July 15, 2010

mula-mula projek pasir lepas tu jadi projek kolam ikan he he he


BEKAS Menteri Besar Selangor merangkap Ketua Pembangkang negeri itu, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (bertopi) meninjau satu lagi kawasan yang musnah dipercayai akibat kegiatan melombong pasir yang tidak terkawal di Kampung Chuang, Rasa, Hulu Selangor, 14 Julai. - Utusan/NOORADZRENE 

Pasir: Tamparan hebat kepada Pakatan

PUTRAJAYA 14 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan isu perlombongan pasir secara tidak terkawal di Selangor seperti didedahkan oleh media sejak kelmarin merupakan satu tamparan hebat kepada kewibawaan kerajaan negeri yang diterajui oleh pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.
Perdana Menteri berkata, ini kerana kerosakan yang berlaku akibat kegiatan mengorek pasir di negeri itu begitu dahsyat dan keadaan sedemikian tidak sepatutnya dibiarkan terus berlaku.
''Oleh kerana ini merupakan bidang kuasa kerajaan negeri, maka mereka patut memantau dan mengambil keputusan yang membolehkan ia tidak berlaku lagi kerana apa yang terjadi kepada keadaan rupa muka bumi begitu berat sekali.
''Jadi saya harap kerajaan negeri akan mengambil tindakan untuk memulihkan keadaan kerana isu tersebut telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia yang melihatnya sebagai satu kelemahan besar kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Perdana Menteri mengulas isu aktiviti perlombongan pasir di Bukit Changgang berdekatan Paya Indah Wetlands di Dengkil Sepang yang menyaksikan kegiatan mengorek pasir dilakukan secara tidak terkawal.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang mendedahkan perkara itu Ahad lalu melahirkan rasa bimbang jika kegiatan tersebut tidak dihentikan, tanah di Selangor akan dipenuhi lubang yang sukar dipulihkan.
Mengenai cadangan yang ditimbulkan oleh Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim untuk menubuhkan 'Perkasa Cina' bagi membalas kenyataan yang dikeluarkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Najib berkata, kerajaan tidak boleh menyekat mana-mana pihak untuk berbuat demikian.
Namun, beliau menegaskan, kerajaan tidak mahu perbalahan berlaku akibat sentimen perkauman yang menjadi-jadi dalam negara ini.
''Ini yang mesti kita bendung kerana saya mengacukan semangat 1Malaysia itu menjadi panduan kita, jadi saya harap tidak ada sesiapa yang mengambil tindakan keterlaluan dalam memperjuangkan kepentingan mana-mana kaum.
''Sebab kita perlu melihat kepada konteks negara secara keseluruhannya," katanya.
Berhubung syor Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah supaya kuasa pendakwaan kes-kes rasuah diletakkan di bawah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Najib berkata, kerajaan masih mengkaji cadangan itu.

No comments:

Post a Comment