Friday, July 16, 2010

Kereta nasional terjejas





SHAH ALAM 15 Julai - Proton Holdings Bhd. (Proton) sedang berbincang dengan beberapa institusi kewangan tempatan bagi mengkaji kesan kenaikan kadar faedah pinjaman kepada pembeli, khususnya kereta buatan tempatan.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, tiada sebarang maklumat terperinci boleh didedahkan kerana ia masih di peringkat awal dan pengumuman akan dilakukan sebaik sahaja perbincangan antara Proton dan institusi kewangan terbabit selesai.
"Kenaikan kadar faedah pinjaman sedikit sebanyak menjejaskan penjualan kereta kerana pembeli merasai beban kewangan yang sedikit tinggi berbanding sebelum ini dan usaha kami adalah bertujuan mencari jalan penyelesaian agar industri automobil tempatan tidak terjejas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Proton Exora versi dipertingkatkan di sini hari ini.
Menurut Syed Zainal Abidin, tindakan yang dilakukan oleh Proton ini adalah sebagai usaha membantu meringankan beban pembeli kereta tempatan sekali gus merancakkan semula industri automobil tempatan.
Ketika ini difahamkan kadar faedah yang dikenakan bagi pembeli kereta ialah antara 3.85 peratus hingga 4.1 peratus mengikut kapasiti enjin kenderaan yang dibeli. Kadar yang dikenakan terhadap kereta nasional dikatakan tinggi.
Bagi pinjaman sewa beli kereta nasional baharu untuk tempoh sembilan ialah 4.1 peratus, tujuh tahun (empat peratus) dan lima tahun (3.85 peratus).
Manakala bagi kereta bukan nasional kadar faedah bagi tempoh sembilan tahun ialah 3.85 peratus, tujuh tahun (3.75 peratus) dan lima tahun (3.5 peratus).
Syed Zainal Abidin menambah, Proton dan Perodua kini perlu memikirkan kerjasama antara satu sama lain bagi memastikan kepentingan perniagaan dan pembeli diutamakan.
Ini kerana katanya, kedua-dua pengeluar kereta tempatan itu dilihat mungkin akan terjejas jualannya jika kadar faedah pinjaman jual beli meningkat.
Ujarnya, kerjasama antara kedua-dua pihak amat diperlukan jika mahu terus meningkatkan jumlah jualan kenderaan masing-masing dan mengekalkan penguasaan pasaran sedia ada.
"Secara peribadi saya percaya institusi kewangan juga sedang berkira-kira bagaimana untuk menarik minat pembeli dengan menawarkan kadar faedah yang menarik kerana hasil jualbeli merupakan pendapatan terbesar bagi sesebuah bank," katanya.

No comments:

Post a Comment