Wednesday, August 11, 2010

Akhirnya 25 dibenar berniaga Bazar Ramadan



PULAU PINANG 10 Ogos - Peniaga Bazar Ramadan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini yang sebelum ini tidak dibenarkan berniaga di tingkat tiga bangunan itu seperti tahun-tahun lalu, akhirnya dibenarkan berbuat demikian.
Kebenaran tersebut dicapai hasil perbincangan pihak peniaga dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Komtar di sini selama hampir dua jam bermula kira-kira pada pukul 2.30 petang hari ini.
Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar (KMA), Mohamed Ghani Abd. Jiman yang membuat pengumuman itu memberitahu, semua 25 peniaga yang dihalang berniaga sebelum ini boleh memulakan operasi mereka esok dengan kadar sewa RM50 sehari.
"Hasil perbincangan antara kami (dengan PDC) hari ini bersetuju apa yang berlaku adalah disebabkan kesilapan teknikal dan ia sudah pun diperbetulkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Mingguan Malaysia kelmarin melaporkan, pihak pengurusan Komtar, PDC iaitu sebuah agensi kerajaan negeri menghalang para peniaga Melayu daripada berniaga di Bazar Ramadan yang diwujudkan di tingkat tiga kompleks tersebut pada setiap kali bulan puasa.
Kesemua 27 peniaga terbabit hanya dimaklumkan Jumaat lalu tentang keputusan PDC itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk mereka memulakan perniagaan kelmarin.
Sebelum itu, kira-kira 200 orang terdiri daripada peniaga terbabit dan orang ramai berhimpun hampir sejam bagi membantah serta menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri.
Tambah Mohamed Ghani, pihak para peniaga juga telah membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah peniaga daripada 27 kepada 25 gerai sahaja kerana mahu mengelak daripada berlaku kesesakan di bazar itu kelak.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan bahawa halangan untuk berniaga dibuat berikutan kegagalan KMA membayar sewa perniagaan di tempat itu, Mohamed Ghani berkata, dakwaan berkenaan tidak tepat.
"Bagaimanapun, perkara yang berlaku itu telah pun dijelas dan diperbetulkan pada mesyuarat sebentar tadi iaitu ia hanya sebahagian kesilapan teknikal dan salah faham yang berlaku sebelum ini," katanya.

No comments:

Post a Comment